Friday, June 16, 2006

ULAMA MUDA SEBAGAI SATU PENYELESAIAN

Oleh : Omar Mohamed
Ketua Urusan Ulama Puchong.

ULAMA MUDA SEBAGAI SATU PENYELESAIAN

Bismillah

Kalimah ulama adalah kalimah keramat bagi seluruh ahli PAS suatu ketika dahulu. Ia bermula dengan penonjolan konsep ‘Kepimpinan Ulama’ awal tahun 80-an. Kini mungkin hanya sebahagian sahaja melihatnya sebagai keramat. Perkara ini menggusarkan pihak tertentu, khususnya golongan ulama itu sendiri. Apakah puncanya? Kita perlu mencarinya.

Ulama adalah mereka yang memiliki ilmu agama yang mantap dan mampu menghasilkan natijah agama daripada sebarang persoalan semasa. Saya tidak perlu mentakrif erti istilah ini secara akademik kerana ini bukan tempatnya. Ringkasnya, kalimah ini untuk mereka yang mahir ilmu agama, samada ilmu itu sahaja atau ditambah nilai dengan ilmu-ilmu lain yang sangat penting. Begitu juga, samada ilmu itu hanya berkaitan fiqh sahaja, atau hadis, juga aqidah dan lain-lain.


ULAMA SERING DIMUHASABAH

Isu siapa ulama dan apakah ulama memiliki tongkat Nabi Musa alaihissalam pernah dibangkitkan sebelum ini. Ramai juga mempersoalkan peranan ulama di dalam PAS. Ringkasnya, ulama PAS telah lali dikritik. Baik yang mengkritik itu adalah pengkritik kuat PAS seperti bekas PM, atau ahli PAS sendiri yang terdiri daripada latar pendidikan yang berbeza. Di muktamar baru-baru ini, sekali lagi mereka disentuh, tetapi agak lembut berbanding tahun lalu.

Mahathir mengkritik ulama PAS yang dilihatnya seoalah-olah dewa oleh pengikut, dan kononnya memiliki tongkat Musa, memutuskan segala-galanya sehingga tiada ruang pihak lain mencelah. Bagi sesetengah ahli, persoalan yang dibangkitkan oleh mereka ialah kemampuan ulama itu sendiri untuk menjadi pemimpin yang berwibawa di dalam parti. Paling tidak, mampu menggerakkan dewan sendiri secara lebih agresif dan mampan.

Harapan ahli PAS terhadap ulama ini sangat tinggi. Tidak jauh bezanya apa yang mereka harapkan dengan apa yang mereka saksikan daripada hasil perjuangan para Nabi, mujahidin dan tokoh-tokoh ulama masa sepanjang zaman. Nabi berjaya menjadi ketua negara, ketua turus angkatan tentera dan pendidik kepada pengikut dan masyarakat. Itulah juga yang dikehendaki berlaku terhadap golongan ulama PAS. Ia cukup berat untuk dipikul dan dibuktikan. Begitulah juga harapan mereka apabila membandingkan pengorbanan yang ditunjukkan oleh ulama semasa yang telah berjaya.

Terlalu malang jika hal ini tidak disedari oleh mereka yang menganggotai dewan bagi golongan ulama ini. Lebih malang jika tiada apa-apa yang dilakukan setelah kritikan demi kritikan diluahkan oleh ahli yang terlalu sayang kepada parti dan kepimpinan ulama. Kita tahu perbezaan antara Kepimpinan Ulama dan Dewan Ulama, tetapi ia bukan bermakna Dewan Ulama tidak perlu menonjol dan lebih agresif. Lupakan kepada kritikan pihak luar, kerana banyak yang tidak berasas. Atau kritikan pihak yang sememangnya prejudis terhadap parti. Tetapi jangan menolak apa sahaja yang dikoreksi oleh ahli sendiri. Sangat merbahaya kepada Dewan Ulama dan parti, jika segala teguran dan pandangan ‘luar’ dibiarkan sahaja.


PERBANDINGAN TIDAK ADIL

Saban tahun, Dewan Pemuda banyak memberi pandangan terhadap ulama PAS. Ia suatu tindakan yang baik jika perbandingan yang dibuat tepat dan maudu’ tegurannya relevan. Tetapi jika tersalah, maka inilah yang boleh menimbulkan masalah antara kedua dewan ini. Salah jika Dewan Pemuda membandingkan kerja buat Dewan Ulama dengan apa yang telah mereka lakukan. Ia ibarat membandingkan orang muda dengan orang tua. Orang yang bertenaga dengan orang yang telah letih. Ia tidak adil. Apatah lagi kalau inginkan mereka membuat kerja-kerja orang muda, tidak patut!!

Saya berpandangan sedemikian kerana melihat realiti pada Dewan Ulama itu sendiri. Kebanyakan daripada anggotanya adalah individu-individu yang melepasi usia muda ahli PAS. Bukan setakat usia yang lanjut, ramai juga yang selayaknya berehat di rumah sambil melakukan kerja parti yang bersesuaian daripada turun ke padang demonstrasi.

Tidak lojik, jika kita bandingkan mereka ini dengan keterlibatan anak-anak muda PAS dalam Dewan Pemuda di semua peringkat. Ibarat membandingkan orang sihat dengan orang sakit? Mungkin juga. Tanpa menafikan kewujudan golongan ulama muda dalam dewan ini, seperti yang dapat dilihat pada Muktamar Ulama di Dewan Tuan Guru Hj Osman al-Yunusi baru-baru ini, tetapi ia masih lagi belum mencukupi untuk menggerak-aktifkan dewan mereka.

Jika begitu, apakah masalah ini tiada penyelesaian? Tidak juga. Sesuatu perlu dilakukan oleh semua pihak untuk menggerakkan Dewan Ulama di semua peringkat. Bagaimana? Tindakan awal ialah mengenal pasti secara tepat masalah Dewan Ulama di semua peringkat serta puncanya, termasuk Jawatankuasa Urusan Ulama di peringkat kawasan-kawasan.

Tidak adil jika saya senaraikan di sini kelemahan mereka tanpa membuat kajian terperinci dan tanpa melibatkan mereka sendiri. Kajian juga perlu dilakukan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat secara terperinci dan penuh keinsafan. Kemudian mereka perlu duduk semeja bersama kepimpinan Dewan Ulama PAS Pusat untuk menggerakkan ayahanda-ayahanda mereka. Bukan hanya mengkritik di muktamar sahaja. Setelah selesainya muktamar baru-baru ini, mereka boleh membincangkan perkara ini secara lebih serius lagi.

Ketika ini, ulama perlu lebih menerima dan mendengar daripada anak-anak muda ini. Ini kerana, bebanan yang dipikul oleh ulama ini adalah terlalu besar, bebanan yang membawa imej dan reputasi parti, di bawah konsep ‘Kepimpinan Ulama’.



GEMBLENG TENAGA MUDA

Namun, saya juga ingin menyarankan di sini betapa pentingnya tenaga-tenaga ulama muda yang berada di dalam PAS digerakkan untuk membantu Dewan Ulama. Tambahan pula Dewan Ulama sendiri telah mewujudkan satu lajnah baru di peringkat pusat dan negeri, iaitu Lajnah keahlian dan Ulama Pelapis. Selama ini mungkin Dewan Ulama dilihat hanya sesuai untuk golongan ustaz yang telah hampir meninggalkan usia muda mereka sahaja, tetapi dengan adanya lajnah ini, tanggapan itu mungkin berubah.

Jika dilihat ke dalam Dewan Pemuda di semua peringkat, ramai juga penggerak dewan ini terdiri daripada golongan ustaz muda yang baru menamatkan pengajian di universiti tempatan dan luar negara. Bayangkan jika semua golongan ustaz ini menyertai Dewan Ulama Pusat dan Negeri-Negeri!!! Tidak dapat dinafikan, jika ia berlaku, sesetengah dewan pemuda akan pincang dan hilang taringnya. Tetapi kita tidak mengharapkan ia berlaku sebegitu. Apa yang boleh dilakukan ialah mereka ini perlu menggerakkan kedua-dua dewan ini secara serentak. Pengagihan tenaga muda ini mesti dilakukan oleh parti.

Kita tidak mahu ulama@ustaz muda hanya mengisi Dewan Pemuda sahaja sehinggakan Dewan Ulama kekurangan tenaga muda yang boleh memberi impak besar kepada dewan ini. Mulai sekarang, Dewan Ulama perlu berkempen secara besar-besaran supaya ramai ustaz muda ini menyertai mereka. Kemudian, baru adil dibandingkan Dewan Pemuda dan Dewan Ulama, sebagai satu persaingan positif menyemarakkan perjuangan parti.

No comments: