TIMBALAN PRESIDEN PAS, USTAZ NASHARUDIN MAT ISA, menyelar pihak polis dan menyifatkan tindakan pihak berkuasa terhadap perhimpunan aman membantah kenaikan harga minyak di KLCC hari ini sebagai tindakan yang tidak bertamadun.
"PAS berasa amat dukacita dengan tindakan polis, kerana kami berhimpun secara aman untuk mewakili rakyat Malaysia mambantah kenaikan harga minyak dan tarif elektrik baru-baru ini.
"Malangnya tindakan polis hari ini amat tidak bertamadun dan tidak berperikemanusiaan," tegas beliau semasa dihubungi semasa berada di Pusrawi bagi melawat Amran Zulkifli yang berlumuran darah akibat kecederaan dipukul polis di kepala.
Menurut Ustaz Nasharuddin, tindakan ganas ini sebenarnya hanya meletakkan imej polis ke pada tahap yang paling rendah pada pandangan rakyat jelata.
FRU pukul secara membabi buta
Timbalan Presiden PAS itu menegaskan, apa yang beliau saksikan hari ini menjadi bukti jelas bahawa pihak polis dan FRU memukul orang ramai yang berada dalam perhimpunan aman tersebut secara membabi buta.
Beliau juga menyifatkan tindakan tidak profesional polis tersebut sebagai suatu tindakan yang didorong oleh tekanan pihak lain.
"Kita kesal selepas pelbagai laporan mengenai polis (laporan suruhanjaya) dan perilaku yang bercanggah dengan sistem keadilan negara, pihak polis tetap tidak mengambil iktibar.
"PAS tidak akan berdiam diri dan kami akan mengambil tindakan susulan," tegasnya kesal.
Peristiwa pada pagi semalam, menjadi hangat apabila Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub, Ronnie Liu (DAP) dan Badrul Hisham Shahrin (KeADILan) antara pemimpin utama pembangkang beserta 15 aktivis lain, dan dua orang wanita ditangkap dalam demonstrasi membantah kenaikan harga minyak di hadapan KLCC kira-kira jam 10.50 pagi.
Semua yang ditahan telah dibawa ke Balai Polis Pudu, bagaimanapun ke semua aktivis telah dibebaskan jam 3.30 petang
Namun semua mereka dikehendaki melaporkan diri di Balai Polis Dang Wangi pada 28 Jun ini.Sehingga dibebaskan kesemua mereka tidakpun dikenakan pendakwaan kata, Salahuddin yang keluar selang beberapa minit selepas Ronnie Liu dibebaskan.
Menurut Salahuddin, dalam soal siasat kesemua aktivis yang ditahan mengambil pendekatan untuk tidak mahu menjawab sebarang soalan dari pihak berkuasa, katanya.
"Kita cabar polis agar mendakwa kami ke mahkamah.Kita akan berjumpa di sana," katanya.
Mengulas kejadian Salahuddin berkata, penahanan beliau dan beberapa aktivis lain menunjukkan betapa tidak demokratiknya kerajaan yang dipimpin Abdullah Ahmad Badawi.
Tuesday, June 06, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment