Wed | May 31, 06 | 05:20:37 PM
Oleh Nabila Abdullah KUALA LUMPUR, 31 Mei (Hrkh) - Kegagalan media arus perdana menyiarkan 'tragedi berdarah' bantahan rakyat di pekarangan KLCC Ahad lalu membuktikan media gagal menjalankan tanggungjawab sebagai lidah rakyat, dakwa Ketua Pengarang Suara Keadilan, Zulkifli Anuar (Zunar).
Media bertanggungjawab memaparkan berita seimbang dan tidak menyebelahi mana-mana pihak, katanya yang menyiarkan secara meluas 'tragedi berdarah' itu dalam buletin terbaru 'Suara Keadilan'.
Buletin dwi bulanan terbitan 1-12 Jun itu, pada halaman pertama menyiarkan gambar-gambar tragedi berkenaan termasuk seorang pemuda berlumuran darah dengan tajuk besarnya ZALIM.
"Demonstrasi di KLCC baru-baru ini menunjukkan media perdana berat sebelah kerana tidak menyiarkan keadaan sebenar. Malah kebanyakan akhbar tidak melaporkannya langsung," katanya kepada Harakahdaily.
Beliau berkata tindakan ganas polis menahan dan memukul peserta perhimpunan itu memperlihatkan penyalahgunaan kuasa pihak berkenaan.
"Ia amat bertentangan dengan hak kebebasan bersuara dan berkumpul yang tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan. Sepatutnta ia disiarkan agar rakyat mengetahui kezaliman polis," katanya.
Kongkongan media di Malaysia keterlaluan kerana kerajaan berhak menarik permit akhbar yang tidak selari dengan kehendaknya, katanya.
"Tindakan ini memperlihatkan kerajaan bila-bila masa boleh menggunakan kuasa veto," katanya.
Beliau berpendapat jurang indeks kebebasan media di Malaysia sangat jauh berbanding Indonesia memandangkan akhbar di sana bebas mengkritik kerajaan. Indonesia ada unsur kebebasan media kerana setiap parti politik berhak menerbitkan akhbar, katanya.
"Rakyat bebas untuk memilih dan pembatalan permit tidak terletak pada kerajaan sebaliknya hanya mahkamah boleh menarik balik permit berdasarkan kesalahan akhbar," katanya.
"Di tanah air keadaan tidak akan berubah selagi tiada tekanan kuat daripada pihak pembangkang bagi mencapai kebebasan akhbar," katanya.
Orang ramai yang ditemui juga menyatakan kekesalan kerana media arus perdana tidak menyiarkan 'tragedi berdarah' di KLCC.
Mereka berkata amat menghairankan jika media berkenaan boleh menyiarkan tunjuk perasaan rakyat di kota-kota jauh seperti Manila, Bangkok dan Jakarta tetapi tidak langsung menyebut apa yang berlaku di depan mata mereka.
Kata mereka akhbar tempatan menepati peribahasa 'kuman di seberang lautan nampak, bangkai gajah di depan mata tak nampak'. - lanh
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment