Krisis Dr M - PM: Agong mesti bubar Parlimen - Impak
Fri | Jun 09, 06 | 02:31:08 PM
Oleh Harakahdaily KUALA LUMPUR, 9 Jun (Hrkh) - Yang diPertuan Agong mesti membubarkan Parlimen atau memecat Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad bagi memastikan institusi Yang diPertuan Agong tidak terjejas, kata Pengerusi Institut Pengemblengan dan Pembangunan Komuniti (Impak) Mahfuz Omar.
"Apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberikan undi tidak percaya kepada Abdullah untuk menjadi Perdana Menteri negara ini, undi tidak percaya itu sebenarnya mewakili rakyat dari bukan dari Dr Mahathir seorang sahaja," kata beliau mengulas kenyataan tanpa selindung Dr Mahathir yang menolak kepimpinan Abdullah.
Menurut Mahfuz, apa yang disebut oleh Dr Mahathir sebenarnya memberikan kesan yang tidak boleh diperbaiki lagi ke atas integriti dan maruah kepimpinan Abdullah dan kabinetnya.
Lebih dari itu, katanya, keadaan negara hakikatnya amat meruncing apabila pemimpin yang sepatutnya menerajui negara ke arah kebaikan dilondehkan kelemahannya oleh orang yang melantiknya sehingga menjadi Perdana Menteri.
"Mana mungkin negara kita terbiar di bawah kepimpinan orang yang dipertikaikan kebolehannya untuk memimpin oleh rakyat dan disuarakan dengan tegas dan jelas oleh bekas Perdana Menteri sendiri?" tanya beliau.
Apabila rakyat termasuk bekas Perdana Menteri memberi undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, kata Mahfuz, ia pasti memberi kesan kepada kestabilan negara terutama dari segi ekonomi.
"Perdana Menteri yang mengalami krisis keyakinan dan undi tidak percaya yang begitu ketara akan menyebabkan para pelabur umpamanya menjauhi negara kita," kata beliau.
Oleh sebab itulah, jika Abdullah dan kabinetnya serius untuk mempertahankan kewibawaan institusi Yang Dipertuan Agung dan lebih dari itu jika mereka benar-benar bersikap patriotik kepada negara ini, mereka mesi meletak jawatan untuk membolehkan Yang Dipertuan Agung membubarkan Parlimen dan menyerahkan kembali mandat kepada rakyat.
Sementara itu, wartawan yang mahu mendapatkan ulasan Abdullah mengenai kritikan keras Dr Mahathir terhadap kepimpinannya kecewa selepas dilarang berbuat demikian oleh beberapa pegawai perdana menteri.
Ketika wartawan menunggu peluang untuk menemui Abdullah selepas majlis pelancaran rasmi Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia (WICFF) di sebuah hotel di ibu negara malam tadi, pegawai berkenaan telah mengingatkan wartawan supaya tidak bertanya mengenai kritikan keras Dr Mahathir terhadap Abdullah.
Sebelum ini, apabila ditanya sama ada beliau kesal kerana memilih Abdullah sebagai penggantinya, Dr Mahathir berkata: "Saya telah membuat banyak kesilapan sepanjang kerjaya saya. Saya telah membantu ramai orang tetapi mereka telah menikam saya dari belakang...saya ada tabiat silap memilih orang."
Apabila terus didesak sama ada Abdullah telah menikamkan dari belakang, beliau menjawab: "Calar-calar sikit".
"Siapa yang tahu apa seseorang itu akan lakukan apabila dia tidak lagi di bawah kawalan kita. Jadi, saya sangka saya telah membuat pilihan yang baik," kata bekas Perdana Menteri itu.
Bagaimanapun, Dr Mahathir menafikan beliau sedang berkempen untuk menjatuhkan Abdullah sebagai pemimpin parti pemerintah Umno.
"Mana boleh saya membuangnya, ia terpulang kepada partinya untuk berbuat demikian, bagi Umno untuk membuangnya. Saya tidak membantu atau berkempen dan memberitahu orang, 'tolong buang orang ini'.
Dr Mahathir juga mengakui beliau mungkin telah membuat keputusan yang silap dengan memilih Abdullah sebagai penggantinya.
Friday, June 09, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment