Tuesday, June 06, 2006

Salahuddin sedia terima bala Allah jika berniat mahu bawa Pemuda kepada dasar lain

JERAI, 6 Jun (Hrkh) - "Saya minta semua perwakilan memahami mengapa saya menyebut nama Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucaptama saya dengan menyebut bahawa Tun sebagai Ketua Pembangkang Malaysia.Sebenarnya saya perli, bukan saya mengiktiraf beliau," kata Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayob ketika mengadakan sidang media di Sekolah Agama Integrasi Faizzin (SAIF) dekat sini hari ini.

Menurut Salahuddin, nama Mahathir sengaja disebut dalam ucaptamanya kerana, baginya bekas Perdana Menteri (PM) mutakhir ini banyak mengkritik kepimpinan PM, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam isu-isu seperti permit import (AP) dan jambatan bengkok.

Perwakilan sebenarnya tidak mengerti maksud yang cuba disampaikan dalam ucaptama kerana tindakan menyebut nama bekas PM itu sengaja dibuat kerana mahu Mahathir sedar bahawa ketika beliau sudah tidak berkuasa, suaranya hari ini tidak didengari, katanya.



Saya minta semua perwakilan memahami mengapa saya menyebut nama Tun Dr Mahathir Mohammad dalam ucaptama saya dengan menyebut bahawa Tun sebagai Ketua Pembangkang Malaysia - Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayob.Guna isu untuk kepentingan rakyat

Selain itu, isu-isu yang dibangkit Mahathir ada banyak faedahnya kepada rakyat dengan pengalamannya sebelum ini mentadbir negara lebih 22 tahun, katanya.

Malangnya, niatnya itu tidak difahami oleh perwakilan yang rata-ratanya terdahulu dalam perbahasan pagi tadi menghentam Ketua Pemuda PAS supaya menarik semula ucapan itu, katanya.

Untuk menjadikan Mahathir sebagai Ketua Pembangkang bukan niat Pemuda PAS tetapi, Pemuda PAS akan terus mengingatkan bekas PM itu betapa teruknya pimpinan Umno dan kerajaan hari ini, katanya.

Itu bukan satu jawatan rasmi tetapi ianya sinikal yang biasa diguna dalam pidato-pidato yang bukanlah niat Pemuda PAS untuk menidakkan kezaliman yang pernah dilakukan Tun Dr Mahathir, katanya.

"Pemuda PAS tidak akan dibawa kepada satu dasar yang lain dan saya bersedia terima bala dari Allah," katanya.

Sementara itu hujah Salahuddin itu disokong oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Idris Ahmad dengan menyatakan bahawa Pemuda PAS sebelum ini tidak pernah mahu menjadikan bekas PM itu sebagai ketua pembangkang.

Sebaliknya menggunakan apa yang disebut dan didedah itu untuk memperlihatkan betapa buruknya sikap pimpinan Umno dalam melayani suara pembangkang selama memerintah negara sejak merdeka lagi, katanya.

Ummah Centric perlu dijauhi

Selain itu Ustaz Idris dalam menggulung perbahasan perwakilan berkata, Pemuda PAS hari ini perlu berhati-hati terhadap dakyah Ummah Centric yang cuba memecahbelahkan gerakan Islam.

Katanya, golongan ini kini sedang menggarab usaha di institut pengajian tinggi (IPT) bagi menyesat dan memecahbelahkan jamaah Islam dengan provokasi ke atas soal wala' ke atas pemimpin yang didakwa mereka tiada dalam jamaah.

Golongan ini perlu dipantau dan dimusnahkan fahamannya yang dilihat menjadi agen Umno, katanya.Beliau meminta Pengarah Jabatan Pembangunan Mahasiswa (JPM) memantau perkara tersebut.

No comments: