Friday, June 09, 2006

Muktamar PAS Pusat ke 52 melabuh tirai

Fri | Jun 09, 06 | 12:31:32 PM

Oleh Wan Nordin, Helmi, Sabri, Bashir, Saidatul, Nyza dan Nabila ALOR STAR, 9 Jun (Hrkh) - Setelah empat hari perwakilan dan pimpinan PAS berkubu di Komplek PAS Kedah bagi menghadam segala input berhubung perbahasan dan ucapan, Muktamar PAS kali ke 52 telah melabuhkan tirainya hari ini.

Muktamar kali ini lebih bermakna dengan sambutan rakyat Kedah dan kawasan sekitarnya lebih-lebih lagi bila lautan manusia mengunjungi Komplek PAS Kedah dalam empat hari ini .

Malah kemuncaknya malam tadi kira-kira 50 ribu manusia berhimpun mendengar Ceramah Perdana yang menampilkan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Hari ini pula segala persoalan dari perbahasan perwakilan telah dijawab oleh pemimpin yang mewakili posisi masing-masing.

Bermula dari lajnah-lajnah hinggalah kepada ketua-ketua dewan dan penghabisannya pimpinan tertinggi. Bernas atau tidak, semuanya telah dilunaskan dengan harapan agar perwakilan berpuas hati dengan jawapan.

Memetik ucapan penggulungan Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar sebentar beliau amat berterima kasih kepada penganjur iaitu PAS Kedah dalam bertungkus lumus menyediakan Kompleks PAS Kedah untuk keselesaan perwakilan dan pimpinan.

Beliau juga berharap agar segala yang dibincangkan dalam Muktamar ini akan memberi satu momentum baru kepada petugas parti dalam menghadapi pilihan raya akan datang. Kenyataan ini sejajar dengan hasratnya dalam laporan Harakah keluaran terdahulu sebelum Muktamar ini bermula.

Sementara itu Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayob pula menarik perhatian perwakilan dengan suara lantangnya memugar semangat ahli PAS dengan seruan agar sedia berkorban hatta mengorbankan nyawa untuk mempertahankan Islam.

Seruan itu disambut dengan laungan takbir oleh perwakilan menggegar segenap ruang dewan Dato' Fadzil Mohd Noor di Komplek PAS Kedah.

Selain itu Naib Presiden PAS, Dato' Dr Hasan Mohd Ali pula berkata beliau kecewa dengan tohmahan yang menyatakan beliau tidak membuat kerja yang dilempar kepadanya yang akhirnya disiarkan oleh Malaysiakini.com.

Ini kerana tohmahan itu telah tersebar luas malah dibaca oleh rakan-rakan dan anaknya yang sangsi dengan laporan itu, katanya.

Seorang lagi Naib Presiden, Muhammad Sabu pula berkata semua ahli perlu memperjuangkan soal membebaskan demokrasi di negara ini yang kini dicengkam oleh pemimpin Umno terutamanya sejak era Tun Dr Mahathir dan Abdullah Ahmad Badawi.

"Saya mahu semua orang lelaki turun ke jalan raya berdemonstrasi. Mutakhir ini saya bangga dengan Muslimat PAS terutama Ketua Muslimat, Ustazah Azizah yang basah disembur air ketika demonstari membantah kenaikan harga minyak," katanya.

"Lebih dasyat lagi Aiman Athirah yang berdemonstrasi mengambil alih tugas pegang pembesar suara setelah kaum lelaki lari dikejar FRU.ni perlu dicontohi. Jika takut baik duduk kat rumah pakai kain batik.Biar saya dan muslimat untuk tuntut demokrasi," katanya.

Ucapan Muhammad Sabu itu disambut dengan laungan takbir yang sangat kuat dari perwakilan.

Di pihak perwakilan, samada bersetuju dengan pendapat pemimpin atau tidak, ianya terpaksa dilayan untuk semusim lagi menanti Muktamar ke 53 akan datang yang belumpun diputuskan lokasinya.

No comments: