Tuesday, December 12, 2006

Ustaz Ghani Jual ikan laut tangkapan ayah

Salmiyah Harun
Mon | Dec 11, 06 | 04:03:00 AM
Ada yang menganggapnya garang walaupun sebenarnya beliau peramah dan penyayang. Selain berdakwah, beliau turut berkecimpung aktif dalam dunia perniagaan. Pernah menjadi peniaga ikan sewaktu masih kanak-kanak, dan profesyen perniagaan itu diteruskan sehingga usianya mencecah 61 tahun.

Ikutilah temubual wartawan Salmiyah Harun bersama Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman yang juga Pengerusi Usahawan Melayu, Bandar Tun Razak, Cheras.

Latar belakang ustaz.
Saya dilahirkan pada 1945, bapa seorang nelayan dan ibu suri rumah. Untuk menampung pendapatan ibu mencari pendapatan lebih dengan menoreh getah. Adik-beradik sepuluh orang, dan kini hanya tinggal empat beradik, yang lain sudah kembali ke rahmatullah.

Saya mulanya sekolah kebangsaan dan pada sebelah petang sekolah agama. Tetapi saya masuk juga sekolah Inggeris sebab waktu itu sijil agama tidak diiktiraf.

Kalau kita pandai dan bijak macam mana sekali pun dalam agama ia tidak diiktiraf. Masa depan gelap. Inilah modalnya.

Biarlah sijil sekolah agama tidak diiktiraf asalkan ada ilmu agama. Saya paling minat matematik. Cukup minat. Selepas itu saya melanjutkan pelajaran di Maahad Dakwah (Nilam Puri) tahun 1969 seterusnya sambung ke Mesir dalam bidang Syariah.

Zaman kanak-kanak ustaz macam mana?
Saya ni orang susah. Bila orang susah kami sering ke laut di Tanjung Bidara, tolong bapa tangkap ikan. Memang saya minat sehingga sekarang, tapi masa tidak mengizinkan saya nak ke laut mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak.

Saya berniaga jual ikan, ketika itu saya berfikir arwah bapa saya penat ke laut, kadang-kdang dapat kadang-kadang tidak. Tengah malam kena pergi, ribut tengah-tengah laut. Tetapi orang tengah yang untung.

Lepas itu saya terfikir sampai bila saya nak bergantung pada orang tengah. Dari sini saya bertekad jual sendiri ikan yang ditangkap, banyak sikit untung. Daripada duit inilah saya gunakan untuk melanjutkan pelajaran di Nilam Puri.

Bagaimana ustaz boleh terlibat dengan dunia politik?
Dalam usia muda pula saya sudah berjinak-jinak menjiwai sifat kepimpinan. Dalam usia 14 ataupun 15 tahun saya mula mendekati parti politik dan ketika ini sudah menjadi jawatankusa pemuda. Waktu itu saya pun terlibat sama dalam program ceramah (ketawa).

Saya ada asas bagaimana untuk bersyarah dan menjadi pemidato terbaik sebab pada masa belajar di sekolah agama dulu ada subjek syarahan. Jadi saya cuba praktikan ketika menjadi pimpinan muda. Bahkan masa menuntut di Nilam Puri pun setiap tahun ada pertandingan syarahan.

Tahun 1976, masuk UTM dan saya jadi pensyarah di situ. Dan waktu ini juga saya aktif berceramah dan pernah di anugerahkan Pendakwah Terbaik Wilayah Persekutuan pada 1986.

Selepas mendapat gelaran pendakwah terbaik, ada lagikah anugerah itu? (Ketawa) Terus tak ada. Sayalah yang pertama dan terakhir mendapat anugerah itu, sebab selepas itu kerajaan terus 'gam' program-program dakwah termasuklah saya baik di luar ataupun dalam program TV.

Sekarang buat bisnes apa?
Adalah sikit-sikit, kedai runcit, lagipun saya dah tak larat. Kalau ada pun saya cuma suntik modal bagi mereka yang berminat dengan perniagaan. Kini pula saya dilantik menjadi pengerusi Usahawan Melayu Bandar Tun Razak.

Bagaimana pula rumah tangga ustaz?
Mula membina rumah tangga ketika usia 32 tahun. Almaklumlah orang miskin sebab itulah tak dapat kahwin awal (ketawa). Selepas balik dari Mesir sudah ada peminat, ye lah ... ustaz. Jadi mak saya aturkan jodoh saya dengan Maya Sulaiman (isteri pertama, 47 tahun) kemudian saya dipertemukan jodoh lagi dengan Aziah Mohd Saad (isteri kedua, 45 tahun).

Saya ada dua isteri hasilnya kami mendapat 13 cahaya mata, lapan lelaki lima perempuan. Tetapi baru dapat satu cucu (ketawa). Masing-masing nak belajar, dan ada juga anak lelaki belajar dipondok. Saya bersyukur kedua-dua isteri memahami situasi saya dan kerja-kerja saya dan kami hidup aman damai.

Mesti ustaz ada tips macam mana boleh wujud aman damai?
Eh, tak ... tak, yang penting kita kena jujur dan saya gunakan budi bicara dalam menjaga keharmonian rumah tangga. Tak ada pula persatuan poligami Malaysia, kalau ada saya nak masuk. Sebab apa, kita nak betulkan persepsi sesetengah pihak yang menentang amalan poligami.

Pengalaman indah dan pahit yang sukar dilupakan?
Pengalaman paling gembira sekali ialah saya boleh kumpulkan dua isteri, walaupun saya ada rumah, dan kereta, tetapi apabila dapat kumpulkan dua insan yang pada sesetengah pihak agak sukar mengatasi cabaran ini tetapi saya berjaya. Itulah saat paling bahagia.

Bagaimana ustaz membahagikan masa untuk kedua-dua isteri?
Dalam hidup, undang-undang nombor dua, yang pertama ialah budi bicara. Jelaskan kepada mereka kerja kita, dan mereka faham kita.

Bersyukurlah ustaz dapat kedua-dua isteri yang faham kerja-kerja ustaz. Ya, tapi kita kenalah bentuk mereka supaya faham dengan kerja kita. Mesti ada tolak ansur.

Yang paling pahit?
Ketika diwar-warkan akan masuk ISA (ketawa).

Ustaz ni sebenarnya garangkah?
Tak. Saya bukan garang. Dua-dua orang isteri saya tu tak pernah saya jentik. Tapi semasa jadi pensyarah saya garang dan tegas. Sebab apa, kita nak bentukkan pelajar mempunyai sahsiah yang baik. Saya bukan garang tetapi tegas. Kalau orang tak kenal saya mereka akan kata saya garang.

Macam mana didik anak?
Yang paling penting saya tekankan soal solat. Baik anak bujang ataupun dah berumah tangga. Saya akan tegur, dah sembahyang? Insya-Allah anak-anak saya macam kawan-kawan saya boleh tolong saya. - mr

Tuesday, October 24, 2006

Perutusan Aidilfitri Mursyidul Am PAS

Ramadan adalah bulan bengkel untuk umat Islam membaiki nafsu masing-masing. Daripada nafsu amarah bis su', bertukar menjadi nafsu lawwamah dan seterusnya menuju kepada nafsu mutmainnah. Sebuah motokar boleh dihantar ke bengkel, tetapi nafsu kita tidak boleh secara berpanjangan dipantau dan diselenggara oleh ibu bapa, polis, Badan Pencegah Rasuah, ustaz atau Tok Guru selama-lamanya. Perlu tiap suatu masa daripada hidup kita, di mana nafsu kita hendaklah dikendali dan diselenggarakan oleh diri kita sepenuhnya.


Dalam menjalani kehidupan, anak-anak kita banyak menghadapi gangguan untuk mencapai cita-cita. Jika mahu ke universiti sekalipun, gangguan dalam bentuk kesihatan, kecerdasan dan kewangan boleh mengganggu kelancaran mereka.

Bagaimanapun, untuk menuju ke akhirat, manusia tidak langsung terganggu. Suka atau tidak suka, masing-masing diseret ke akhirat. Manusia akan mati dan memasuki alam kubur. Sesungguhnya jalan hidup dan cara hidup yang dipilih di dunia, sama ada beriman atau munafik atau kufur. Pilihan itulah yang akan menentukan nasib seseorang sama ada ia akan menuju ke syurga atau ke neraka.

Sebab itu, kita semua mestilah berhati-hati dan beringat-ingatlah dalam menjalani kehidupan ini. Kita mesti memahami dan menghayati sepenuhnya, segala butiran akujanji kita dengan Allah SWT yang selalu kita ucapkan baik dalam sembahyang mahupun di luar sembahyang, iaitu: "Sesungguhnya sembahyangku, dan semua ibadatku, semua aktiviti hidupku dan kesudahan matiku digunakan untuk mendekatkan diriku kepada Allah, Tuhan yang memelihara sekalian alam."

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS

Perutusan Aidilfitri Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

DEWAN Pemuda Pas Pusat mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri Mubarak kepada seluruh warga Dewan Pemuda Pas dan keseluruhan umat Islam di negara ini. Kita mengharapkan kedatangan Syawal yang mulia ini akan memperkukuhkan keazaman dan iltizam kita kepada perjuangan Islam yang kita dukungi selama ini.


Di sebalik kegembiraan dan kesyukuran, jangan lupa kepada nasib dan keadaan yang sedang melanda sahabat dan saudara kita yang sedang menghadapi perjuangan yang lebih getir khususnya di Palestin, Lubnan, Afghanistan, Iraq dan seluruh dunia Islam umumnya.

Kita mestilah memperingatkan diri, keluarga serta masyarakat tentang ancaman yang menggugat masalah aqidah dan hak umat Islam hari ini.

Segala percubaan serius untuk memurtadkan umat Islam dan serangan golongan “Islam liberal” mestilah kita hadapi dan garapi dengan penuh keberanian dan tanggungjawab.

Segala usaha dan percubaan Dewan Pemuda Pas untuk melaksanakan “engagement” dengan mana pihak yang bersedia untuk bersama perjuangan kita diharapkan dapat dipertingkatkan demi mempamerkan keluasan dakwah kita terhadap manusia keseluruhannya.

Saya yakin akan keupayaan kita semua untuk menjayakan misi utama Dewan Pemuda Pas Pusat untuk menjadi “Duta Penyelamat dan Kasih Sayang” supaya golongan belia dan remaja ini dapat kita dekati dengan penuh hikmah dan bijaksana.

Dewan Pemuda Pas Pusat sekali lagi memohon kemaafan di ats segala keterlanjuran semasa kami melaksanakan tugas dan tanggungjawab perjuangan ini , maaf zahir dan batin. Mudah-mudahan Allah SWT akan mengurniakan kekuatan dan keberkataanNya kepada kita semua.

Salahudin Ayub
Ketua Pemuda PAS Pusat

Friday, October 20, 2006

Perutusan Hari Raya Aidilfitri 1427H Presiden PAS

Perutusan Hari Raya Aidilfitri 1427H Presiden PAS

Fri | Oct 20, 06 | 12:42:34 PM

Oleh Harakahdaily BAGI pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri, hari kebesaran kurnia daripada Allah SWT setelah kita menunaikan ibadat puasa dalam masa sebulan, berjihad dan bermujahadah dengan mengerjakan ibadat dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT, melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang.

Ibadat yang melatih kita untuk menjadi orang-orang yang bertakwa kepada Allah Taala. Hanya orang yang bertakwa sahaja yang menjadikan al-Quran sebagai petunjuk dan Allah Taala melakukan nuzul al-Quran pada bulan Ramadan. Al-Quran menjadi petunjuk kepada orang-orang yang beriman dan bertakwa.

Dalam masa yang sama, bagi menegakkan petunjuk ini, kita berdepan dengan cabaran. Al-Quran menjadi furqan, yang membezakan di antara hak dan batil, benar dan salah. Dengan petunjuk al-Quran, kita menegakkan yang benar, menentang perkara yang bercanggah dengan al-Quran.

Dengan semangat tarbiah melalui Ramadan, menjadikan diri kita orang yang beriman, yang bertakwa, yang kuat, yang sanggup menghadapi cabaran selepas Ramadan dengan mendapat pertolongan daripada Allah SWT, walaupun kita dikelilingi oleh musuh-musuh yang ramai yang tidak akan memberi kesempatan kepada Islam untuk tegak semula di bumi Allah ini.

Dengan takwa dan iman yang yang kuat, kita yakin semua musuh itu adalah kecil apabila kita bersama dengan Allah SWT dan Allah SWT memilih pula di bulan Ramadan berlakunya kemenangan kepada umat Islam.

Dalam peristiwa Badar, Fathul Makkah, Ain Jalut dan penawanan Kota Belgrade di Balkan pada zaman Kerajaan Othmaniah dalam keadaan orang Islam dianggap lemah tetapi hati mereka ikhlas menyumbangkan pengorbanan harta benda dan jiwa raga disertakan dengan iman yang kuat, percaya kepada Allah dan percaya kepada janji Allah, dunia dan akhirat. Berbekalkan perkara-perkarta itu, Allah Taala memberikan kemenangan kepada generasi awal Islam.

Saya yakin dan percaya sekiranya umat Islam di zaman kini melaksanakan contoh dan teladan tersebut, mereka juga akan diberikan kemenangan sekali lagi oleh Allah Taala.

Marilah pada kesempatan ini, kita membaharukan semangat untuk meningkatkan lagi kerja dan amal kita dalam meningkatkan ibadah kepada Allah SWT dan menyungguhkan lagi perjuangan kita untuk meninggikan agama Allah supaya agama ini tegak sebagaimana dinyatakan oleh Allah, yang bermaksud:

"Supaya agama ini zahir, menang, mengatasi segala ajaran yang lain walaupun dibenci oleh orang-orang musyrikin." (Surah as-Saff: 9)

Dalam masa yang sama, pada kesempatan ini, marilah kita menguatkan ukhuwah, persaudaraan di kalangan kita dengan ukhuwah iman dan Islam yang menyatukan umat Islam sehingga mereka tidak ada beza di antara satu sama lain. Mereka adalah satu ummah, laksana satu jasad yang bersambung di antara satu sama lain, sama-sama memikul tanggungjawab, bertolong menolong sama ada yang berkait dengan urusan agama dan dunia.

Dalam masa yang sama, membolehkan kita menyampaikan mesej kita kepada seluruh manusia untuk menyatakan bahawa kitalah yang menyelamatkan manusia yang sebenar di dunia dan di akhirat.

Mudah-mudahan dengan semangat ini, kita berjaya menjadi seorang Islam yang diterima oleh Allah SWT dan merealisasikan apa yang diperintahkan oleh Allah, firman-Nya yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam." (Surah Ali Imran: 102)

Sekian, terima kasih.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillah il-hamd.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Perutusan Aidilfitri Ketua Dewan Ulama PAS & Anwar Ibrahim

Perutusan Aidilfitri Ketua Dewan Ulama PAS Fri | Oct 20, 06 | 12:19:56 PM
Oleh Harakahdaily

DEWAN Ulama PAS Pusat mengucapkan Selamat Aidilfitri kepada seluruh umat Islam dunia. Aidilfitri merupakan ibadat dan tidak sepatutnya dicampur-adukkan dengan unsur-unsur negatif.

Dewan Ulama menyeru supaya umat Islam tidak melakukan amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam dalam sambutan Aidilfitri yang suci itu.

Umat Islam jangan mencampurkan amalan hari raya dengan berkongsi raya dengan sambutan Deepavali yang kebetulan berdekatan dengan sambutan Aidilfitri.

Semoga ibadat puasa yang kita lakukan diterima oleh Allah SWT, diampunkan dosa kita dan diselamatkan kita daripada api neraka.

Dato' Haji Haron Taib


Perutusan Aidilfitri Dato' Seri Anwar Ibrahim
Fri | Oct 20, 06 | 02:29:16 PM
Oleh Anwar Ibrahim

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada umat Islam keseluruhannya.

Sudah sebulan kita menjalani ibadah puasa. Bulan Ramadan mempunyai signifikan yang cukup besar, melatih umat Islam untuk berkorban dan mengekang keinginan kita, sekali gus memperkukuhkan akidah kita. Ia seharusnya memperkuatkan iltizam dan semangat kita untuk meneruskan perjuangan.

Justeru, Aidilfitri ini seharusnya dirayakan sebagai kejayaan mengharungi Ramadan, diraikan dengan rasa penuh syukur dan tawaduk kepada Allah SWT. Usah kita lupakan nasib golongan yang kurang bernasib baik berbanding kita dalam melalui hari lebaran ini.

Islam telah mengajar kita untuk cintakan kebenaran, keadilan dan kedamaian. Saya menyeru agar muslimin dan muslimat akan dapat menghayati nilai-nilai ini dalam menghadapi cabaran hari ini.

Selamat Menyambut Aidilfitri 1427 Hijrah. Maaf zahir dan batin.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilham.

FENOMENA MURTAD: ANCAMAN KEPADA FITRAH MUSLIM

KHUTBAH KHAS SEMPENA AIDIL FITRI 1427H
(Selasa, 24 Oktober 2006M)

TAJUK:

FENOMENA MURTAD: ANCAMAN KEPADA
FITRAH MUSLIM

KHUTBAH PERTAMA

اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ * اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ *
اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، * وَِللهِ الْحَمْدُ.

لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الكَافِرُونَ. لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ.
أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْـكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ الْمَبْعُوْثُ رَحْمَةً لِّلْعَالَمِيْنَ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِْينَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، ، أُوْصِيكُم وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ
اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، وَ ِللهِ الْحَمْدُ.


Para Hadirin dan Hadirat yang dirahmati Allah sekelian:

Sempena hariraya aidilfitri yang mulia ini marilah sama-sama kita merakamkan kesyukuran yang tak terhingga kepada Allah di atas segala nikmat yang dianugerahkan kepada kita semua terutamanya nikmat Islam dan nikmat iman. Dalam pada itu marilah kita sama-sama memaksikan satu azam yang tinggi untuk terus kembali kepada fitrah; iaitu Islam, sejajar dengan roh sambutan aidilfitri yang menyarankan kita kembali kepada fitrah Islam dan iman.

Khatib pada kesempatan khutbah hariraya aidilfitri 1427H hari ini akan berkhutbah dibawah tajuk “fenomena murtad: ancaman kepada fitrah muslim masa kini”, satu gejala yang boleh membunuh iman dan islam, kuman yang memusnahkan fitrah muslim yang sama-sama kita dokong di hari raya ini.

Menurut Ibn Taimiyah, murtad bermaksud:

“Bentuk kekufuran yang berlaku selepas Islam bagi sesiapa yang mengsyirikkan Allah atau menafikan rububiahNya atau salah satu daripada sifat-sifatNya , kitab-kitabNya atau rasul-rasulNya”.


Manakala Kamus Dewan pula mendefinisikan murtad dengan maksud:

“Seseorang itu keluar daripada agama Islam samada melalui perbuatan, perkataan atau niat. Orang yang melakukan yang demikian adalah orang yang kafir”

Sementara itu terdapat takrifan lain tentang difinisi murtad yang dilihat lebih relevan dan menepati realiti yang berlaku pada masa kini. Ia dikemukakan oleh Said Hawwa dengan katanya:

“Murtad seseorang itu boleh berlaku dengan seseorang itu tunduk dan patuh kepada orang-orang kafir, redha dengan dasar-dasar yang ditentukan oleh mereka walaupun sebahagian kecil daripadanya. Ini kerana ianya membabitkan soal keimanan dan keyakinan seseorang terhadap ajaran Islam yang datang dari Allah”.

Berdasarkan beberapa paparan definisi murtad sebagaimana di atas, maka dapatlah disimpulkan bahawa apa yang dimaksudkan dengan murtad itu ialah tindakan seseorang yang mukallaf, dengan niatnya sendiri tanpa dipaksa oleh sesiapa atau keadaan tiba-tiba keluar dan menganut agama lain, ataupun bertindak samada melalui iktiqad, perkataan ataupun perbuatan yang bercanggah dengan dasar-dasar Islam.

Proses perpindahan agama itu dinamakan “riddah” dan apabila individu itu mula menganut agama baru atau sesuatu bentuk kepercayaan yang bertentangan dengan Islam maka dia disebut sebagai seorang yang murtad.

Di dalam surah al-Baqarah ayat 217 Allah telah menjelaskan ancaman dan risiko kepada sesiapa yang murtad. Firman Allah (SWT) yang berbunyi:

ومن يرتدد منكم عن دينه فيمت وهو كافر فأولئك حبطت أعملهم في الدنيا والآخرة، وأولئك أصحب النار هم فيها خلدون.

Yang bermaksud:

“Barang siapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya”

اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، وَ ِللهِ الْحَمْدُ.


Para Hadirin dan Hadirat yang dirahmati Allah sekelian:

Tanpa kita menafikan bahawa sejarah murtad telah berlaku semenjak di zaman Rasulullah (SAW). Ia dikesan seawal berlakunya kisah Isra dan Mikraj. Di mana menurut perkiraan sesetengah pihak kedua-dua peristiwa ganjil itu dianggap amat bertentangan dengan lojik akal pemikiran manusia terutama apabila Rasulullah (SAW) dapat sampai ke al-Masjid al-Aqsa di Palestin dari Masjid al-Haram di Kota Mekah dalam tempoh tak sampai sehari semalam, seterusnya naik ke langit dan kemuncaknya bertemu Allah (SWT).

Menurut al-Syahid Syed Qutb, kepada mereka yang terpengaruh dengan hukum alam semata-mata tanpa merujuk kepada kebesaran Allah yang mengatasi segala-galanya maka sudah tentulah peristiwa israk dan mikraj ini mampu menyentap iman seseorang dan akhirnya menjadi murtad. Namun apa yang lebih jelas dari kisah Isra dan Mikraj ialah kejahilan terhadap agama Islam telah mendasari punca sebenar murtad berlaku.

Justeru tidak peliklah jika terdapat kenyataan yang menyatakan bahawa sekarang ini wujudnya kumpulan yang dinamakan “black metal” yang jumlah mereka hampir mencecah 8,000 orang, rata-ratanya melayu Muslim, lantaran kejahilan mereka terhadap Islam telah mula menunjukkan biadap mereka terhadap Islam sehingga sanggup kencing di atas al-Quran, membakar naskhah al-quran, menyalibkan tubuh mereka dengan lambang-lambang salib. Walhal mereka mereka itu beragama Islam. Demi sesungguhnya kita amat rimas dan khuatiri tentang diri mereka kalau-kalau dipenghujungnya menjadi murtad.

Dalam pada itu tinta sejarah juga memaparkan bahawa di antara punca murtad berlaku ialah terpengaruh dengan keseronokan serta cintakan kebendaan sehingga sanggup menjual agama Islam dengan harga yang murah. Fenomena ini pernah berlaku di zaman Rasulullah (SAW) di mana terdapat seorang sahabat Nabi yang bernama Tha’labah bin Hatib al-Ansari. Beliau awalnya amat terkenal sebagai seorang `abid (kuat beribadah) yang sentiasa berulang-alik ke masjid. Di suatu hari beliau meminta supaya Rasulullah s.a.w berdoa kepada Allah untuknya supaya menjadi seorang yang kaya-raya. Setelah memperolehi kekayaan yang melimpah-ruah, Tha’labah enggan mengeluarkan zakat dan berakhir menjadi murtad.

Allah (S.W.T) berfirman:

ومنهم من عهد الله لئن ءاتانا من فضله لنصدقن ولنكونن من الصلحين. فلما ءاتاهم من فضله بخلوا به وتولوا وهم معرضون .

Yang bermaksud:

“Dan di antara mereka ada orang yang telah berikrar kepada Allah: “Sesungguhnya jika Allah memberikan sebahagian kurniaNya kepada kami, pastilah kami akan bersedekah dan pastilah kami termasuk orang-orang yang soleh”. Maka setelah Allah memberikan kepada mereka sebahagian dari kurniaNya, mereka kikir dengan kurnia itu dan berpaling, dan mereka memanglah orang-orang yang selalu membelakangi (kebenaran)”.

Berdasarkan ayat di atas, Ibn Kathir menjelaskan bahawa Allah telah memurkai Tha’labah dan sesiapa saja yang mempunyai sifat tidak mensyukuri dengan nikmat Allah sehingga membawa kepada kekufuran dan seterusnya murtad dari Islam.

Dalam konteks hari ini masalah pengaruh kebendaan telah dikenal pasti sebagai punca murtad berlaku. Fenomena ini menjadi lebih kritikal apabila ia dirancang secara halus oleh massionary kristian dan fanatik hindu. Di mana di antara modus operandi mereka ialah dengan mengumpan belia dan remaja muslim dengan melonggokkan kemewahan harta benda, peralatan berharga seperti pemberian hand-phone berjenama secara percuma, menyediakan kelengkapan spare-part untuk ubahsuai motorsikal bagi golongan remaja & mat rempit, mendampingi pelajar-pelajar yang bermasalah kewangan, menyediakan bayaran perubatan di pusat-pusat perubatan swasta yang mahal, memberikan bantuan makanan-makanan asas dan pelbagai muslihat-muslihat halus yang tidak dicedari, namun hakikat sebenarnya ia merupakan satu tipu muslihat dalam usaha memurtadkan mereka daripada Islam.

اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، وَ ِللهِ الْحَمْدُ.


Para Hadirin dan Hadirat yang dirahmati Allah sekelian:

Seterusnya punca murtad juga berlaku kerana terpengaruh dengan kehidupan jahiliah. Ini dapat dibuktikan apabila ada sekelompok perempuan yang tinggal di Hadramaut telah memeluk Islam di zaman Rasulullah s.a.w. Serentak dengan itu mereka mulai menjalani corak kehidupan sebagai seorang muslim dan mula meninggalkan adat-adat Jahiliah. Akan tetapi apabila mereka mendengar berita kewafatan Rasulullah s.a.w, kebanyakan wanita ini mulai kembali kepada adat-adat Jahiliah seperti menampar pipi mereka masing-masing, mengoyak baju, meraung, menangis dan memukul duf (gendang). Kononnya perbuatan itu dilakukan sebagai tanda kesedihan, kekecewaan dan ratapan di atas kematian nabi s.a.w sedangkan apa yang mereka lakukan itu merupakan adat dan tradisi Jahiliah. Akhir sekali apabila kepimpinan berpindah tangan kepada Abu Bakar al-Siddiq maka perempuan-perempuan tadi terus murtad dari Islam dan kembali semula ke zaman Jahiliah mereka.

Berpandukan fenomena di atas, menjadikan kita yang ada sekarang dalam suasana rimas dan gundah gulana. Ini kerana susana jahiliah di zaman kini lauh lebih sumbing dan kritikal berbanding dengan apa yang terdapat di zaman silam. Daripada satu sumber yang sahih, khatib cuba menyingkap beberapa angka kajian kuantitatif berkenaan dengan beberapa indeks jahiliah, yang menjadi asas keruntuhan jati diri sebagai seorang muslim. Sebagai contoh; Sepanjang tahun 2005, seramai 32 ribu orang penagih dadah telah dikesan di seluruh negara. Mereka terdiri daripada 15 ribu penagih baru dan 17 ribu penagih lama. manakala jumlah penagih berdaftar yang terkumpul di seluruh negara mulai 1988 hingga 2005 adalah seramai 289 ribu orang.

Manakala bilangan penduduk Malaysia yang dijangkiti HIV & AIDS ialah 51 ribu. Seterusnya jumlah pelacur di Malaysia pula dianggarkan seramai 142 ribu pelacur, dimana mereka bukan sahaja beroperasi di bandar-bandar besar semata-mata, tetapi turut beroperasi di kawasan pekan-pekan kecil. Dalam pada itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pula mendaftarkan 70 ribu anak luar nikah bagi tempoh lima tahun iaitu daripada 1999 hingga 2003. Berdasarkan statistik mengikut agama, anak luar nikah orang Islam adalah yang paling ramai didaftarkan iaitu 30 ribu orang. Daripada paparan di atas, apakah yang mengamankan hati kecil kita untuk berkata bahawa kumpulan-kumpulan ini masih terus mampu menjaga akidah mereka dari dipesongkan? Apakah mereka mampu menongkah arus murtad yang datang bagaikan thunami di hadapan mereka? Sedangkan kepincangan akhlak dan moral sebagaimana paparan di atas adalah berpunca daripada kemelesetan akidah. Justeru kumpulan-kumpulan di atas amat berpotensi untuk di penghujungnya menjadi murtad dari Islam seandainya keadaan terus berlarutan.

Menyingkap fenomena-fenomena di atas, tidak pelik apabila Mufti Kerajaan Negeri Perak; Shohibul Samahah Dato Seri Harussani Zakaria memberitahu kini terdapat hampir 250 ribu umat Islam murtad di Malaysia, termasuklah di antara mereka 100 ribu orang Melayu yang mengistiharkan keluar agama Islam. Manakala katanya lagi 100 ribu orang lagi sedang membuat permohonan menunggu murtad. Ini tidak termasuk dengan individu yang langsung tidak solat, tidak berpuasa dan yang menentang hukum Islam, di mana kesemua mereka ini semestinya diragui akan tahap keislaman dan keyakinan mereka terhadap Islam itu sendiri.

Seterusnya kitaran ganas murtad mulai menjadi semakin parah apabila murtad bukan sahaja meragut akidah si jahil semata-mata, tetapi mula memamah iman seseorang yang sudahpun memiliki asas agama. Jangan kita lupa kepada seseorang yang bernama Noraisyah binti Hj Bukhari yang akhirnya menjadi murtad. Beliau adalah seorang muslimah yang lahir dari keluarga yang kuat beragama, beliau seorang yang bukan sahaja mahir membaca al-Quran tetapi mampu menghafaz surah yasin, manakala bapanya adalah seorang guru agama. Namun berakhir dengan murtad. Begitu juga dengan kes Siti Mariam binti Mohd Ismail, beliau awalnya seorang wanita Islam yang memakai tudung labuh sebagai lambang kewarakannya, namun berakhir dengan murtad.

Keadaan nasib akidah umat Islam semakin kritikal apabila kumpulan fanatik Hindu turut bertindak ganas dan samseng sehingga sanggup bertindak memukul seseorang yang mahu menyelamatkan akidah seseorang. Ini boleh dirujuk dalam kes Hartinah binti Hj. Kamarudin, dimana beliau bukan sekadar dimurtadkan oleh sekumpulan fanatik hindu, tetapi sanggup pula membelasah ayahnya sehingga separuh mati lantaran mahu menyelamatkan akidah anaknya yang dimurtadkan.

اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، وَ ِللهِ الْحَمْدُ.


Para Hadirin dan Hadirat yang dirahmati Allah sekelian:

Seterusnya thunami murtad semakin menggila di negara kita apabila cuba menyerang sistem perundangan malaysia untuk akur kepada sseorang yang mahu murtad dari Islam tanpa dikenakan apa-apa tindakan undang-undang. Untuk itu, Kumpulan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) dan Kumpulan Artikel 11 kini mula bergerak aktif dengan mengadakan seminar dan forum rakyat bagi mencambahkan kekeliruan ummah berhubung dengan hak kebebasan beragama. Malah lebih jauh, apabila mereka jua turut memperjuangkan agar semua kes, termasuk kes agama seperti murtad dan sebagainya, tidak lagi dibicarakan di Mahkamah Syariah tetapi di mahkamah Sivil. Kumpulan IFC, dalam objektif penubuhan mereka jelas menunjukkan perjuangan mereka ke arah memurtadkan ummat Islam di Negara ini. Amat malang sekali wujudnya di kalangan penggerak kumpulan-kumpulan kebebasan beragama ini adalah terdiri daripada mereka yang mengaku berpegang beragama Islam. Ini terserlah melalui beberapa tuntutan mengarut yang dipinta oleh mereka, antaranya;

1. Seseorang anak yg dilahirkan oleh Ibubapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam
2. Orang–orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam, hendaklah memberi kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang
3. Sebarang kes pertukaran agama seseorang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh Mahkamah Syariah tetapi dikendalikan oleh mahkamah Sivil
4. Tidak perlu dicatatkan di dalam kad pengenalan seseorang Muslim bahawa ia beragama Islam.
5. Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang
6. Seseorang atau pasangan suami Isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak
7. Orang-orang yang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang yang memeluk Islam, hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya
8. Kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah-rumah ibadat orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang sama untuk masjid. Kerajaan juga perlu membenarkan pembinaan rumah-rumah ibadat orang bukan Islam tanpa perlu adanya peraturan tertentu
9. Orang–orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya
10. Bibel dalam bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia sepatutnya dibenarkan untuk diedarkan secara umum secara terbuka
11. Pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar di semua sekolah
12. Program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam pula hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing–masing.
13. Orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang-orang bukan Islam.
14. Sepatutnya Islam tidak disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.

Dalam menrialisasikan 14 perkara di atas, detik kini sedang tertumpu kepada penghakiman kes bekas seorang muslimah kita yang bernama Saudari Azlina binti Jailani, iaitu seorang anak Melayu yang telah dimurtadkan oleh kekasihnya menjadi Kristian, dan telah menukarkan nama beliau kepada Lina Joy. Seandainya beliau menang dalam kes permohonannya untuk murtad dan membuang status Islam daripada kad pengenalannya, bermakna satu demi satu apa yang disebutkan di atas akan datang merempuh dan memulas akidah kaum muslimin di Malaysia yang sememangnya sudah sedia rapuh. Apakah dikala itu bermulanya titik mula kepada hilangnya Melayu Islam di Malaysia? Kes murtad beliau mendapat perhatian serius satu dunia yang dikepalai oleh negara Amerika Laknatullah & sekutunya yang mengumpulkan pelbagai dana dan perkhidmatan guaman untuk memastikan mereka berjaya mempengaruhi sistem perundangan di Malaysia, dan seterusnya berjaya menreliasasikan kesemua 14 perkara yang disebutkan di atas. Namun kita sebagai seorang umat Islam, dimanakah kita di dalam menghadapi dan menghalang perkara seperti ini dari terus berleluasa???

Sesungguhnya samada kumpulan artikel 11, maupun IFC, mereka sebenarnya telah mengeksploitasi Perlembagaan Persekutuan dalam perkara 3(1), Perkara 11, Fasal (1) bab kebebasan beragama di Malaysia untuk menyokong gerakan terkutuk mereka.

Peruntukan undang-undang Perkara 11, Fasal (1) berbunyi;

“Setiap orang adalah berhak menganut dan mengamalkan ugamanya”

Manakala perkara 3 (1), pula menjelaskan:

“Agama Islam adalah ugama bagi Persekutuan, tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”

Umum mengetahu bahawa isu yang paling besar di sebalik ungkapan dan kod perundangan ialah bagaimana menafsirkan undang-undang yang termaktub. Maka di sini timbul satu kemushkilan besar iaitu kenapa perkara 3(1) dan Perkara 11, Fasal (1) ditafsir secara pemikiran barat maupun secara sekuler dan bukan secara Islam. Di mana keadaan ini sudah pasti akan berpihak kepada pengacau-pengacau yang sememangnya anti kepada agama Islam. Dua tokoh penggubal undang-undang Inggeris terkenal iaitu Sheridan dan Groves telah menafsirkan bahawa perkara 3 (1) dalam perlembagaan Persekutuan hanyalah menentukan bahawa adat istiadat dan upacara persekutuan hendaklah dibuat mengikut adat istiadat Islam dan ia tidak melibatkan pemakaian undang-undang Islam di peringkat persekutuan

Sedangkan dalam masa yang sama tokoh-tokoh perundangan di Malaysia telah membuat penafsiran yang lebih Islamik dan relevan dengan status Malaysia yang sering dilebalkan konon-kononnya sebuah negara Islam. Umpamanya Bekas Ketua Hakim Negara, Hakim Hashim Yeop Sani dalam tulisannya mengulas dengan mengatakan:

“Saya menentang keras pendapat ini kerana tidak berdasarkan kepada apa-apa penulisan dalam perlembagaan. Oleh sebab perkara 3(1) dan Perkara 11, Fasal (1) Perlembagaan ini sangat jelas dan tidak boleh diputar-belit lagi bahawa agama negara ini ialah Islam, maka mana-mana tafsiran yang mewujudkan satu percanggahan di antara dokumen ciptaan manusia (perlembagaan) dengan perintah Allah (al-Qur’an dan al-Sunnah) maka tafsiran itu tidak dipakai.

Pendapat yang hampir sama dikemukakan oleh Allahyarham Prof. Ahmad Ibrahim (tokoh pengamal undang-undang yang terkenal) dalam masalah ini beliau menegaskan bahawa konflik yang berlaku sehingga menyempitkan peranan Islam dalam menaungi sistem perundangan di Malaysia adalah berpunca daripada sikap sesetengah di kalangan umat Islam sendiri yang masih menerima penafsiran penjajah yang bermatlamat untuk mengekalkan sistem sekuler. Persoalannya kenapa kita umat Islam harus terus terikat dengan kedudukan penjajah, sedangkan kita sudahpun mengecapi kemerdekaan. Sebaliknya peruntukan perlembagaan yang sedia ada sebenarnya sudah cukup untuk dijadikan asas kepada penguasaan Islam dalam sistem perundangan di Malaysia. Namun malang sekali apabila kita memaksa diri kita sendiri untuk diikat dengan tafsiran yang diambil oleh pihak penjajah. Apakah ini yang dimaksudkan penjajahan era baru yang dimainkan oleh anak-anak watan sehingga menjerut leher akidah bangsanya sendiri???

Inilah persoalan-persoalan yang menghantui umat Islam di Malaysia hari ini yang memerlukan kita berfikir secara lebih serius. Oleh itu marilah kita sama-sama jadikan permasalahan yang dikhutbahkan ini sebagai satu tanggungjawab bersama yang mesti ditangani. Mudah-mudahan dengan kepekaan dan prihatin kita kepada permasalahan ummah akan mempercepatkan pertolongan daripada Allah demi menyelamatkan ummah dari ambang kebinasaan.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِيْ القُرْءَانِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنِيْ وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ، إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيمٌ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْن وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.



KHUTBAH KEDUA

اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ *
اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ * اَللهُ أَكْبَرُ،
اَللهُ أَكْبَرُ كِبِيرًا، وَالْحَمدُ ِللهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكرَةً وَأَصِيلاً، لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إيَّاهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ.

اَلحَمْدُ ِللهِ وَأَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْـكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ الَّذِيْنَ فَازُوْا بِالْجَنَّةِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيُّهَا الْمُسْلِمُوْنَ، اِتَّقُوا اللهَ حَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَقَدْ فَازَ المُتَّقُونَ.
اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، وَللهِ الحَمد.

Dalam menangani masalah murtad yang dibincangkan pada khutbah pertama tadi, maka khatib ingin menegaskan bahawa tanggungjawab menyelesaikan masalah ini merupakan satu tanggungjawab bersama yang mesti dipikul secara bersepadu & kolektif. Di peringkat individu mestilah berusaha memperkasa dan terus meningkatkan prestasi keimanan di lubuk hati masing-masing. Manakala di peringkat keluarga pula, ibu dan bapa wajib memainkan peranan mereka sebagai murabbi; yakni pentarbiyyah kepada anak-anaknya. Pengenalan pertama yang perlu diberikan kepada anak-anak kiata adalah pemahaman & pemantapan aqidah itu sendiri, melampaui dari segala ilmu-ilmu duniawi yang kita bekalkan kepada mereka. Sedarlah wahai ibu dan bapa sekelian! Bahawa masalah besar yang dihadapi oleh sebilangan anak remaja ialah kemelesetan jati diri sebagai warga muslim, kebejatan akhlak dan moral, kegersingan ilmu pengetahuan tentang Islam, serta pengaruh-pengaruh luar yang merosakkan mereka seperti budaya berhibur yang melampau batas, kongkongan media massa yang liberal dalam memaparkan adengan-adengan lucah dan tak bermoral serta sogokan untuk hidup enjoy semata-mata. Justeru, jadikanlah barah-barah yang disebut ini untuk dirawat di peringkat keluarga.

Manakala di peringkat pihak berkuasa dan kerajaan pula hendaklah menyedari bahawa kuasa yang ada pada kamu sebagai pemerintah di dalam negara Malaysia merupakan amanah begitu tinggi daripada Allah (SWT), justeru melaksana syariah dalam sistem pemerintahan merupakan tanggungjawab & jawapan yang paling lunak dan tepat didalam menyelesaikan masalah murtad dan apa jua masalah yang menjadi labialiti ummat Islam masa kini, termasuk masalah ekonomi, sosial, pendidikan dan seumpamanya. Inilah makna kepada firman Allah (SWT) yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu menurut kehendak hawa nafsu mereka dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkan kamu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah ke atas kamu”.
(Terj. Surah al-Ma’idah (5):49)

Firman Allah lagi yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah maka mereka itulah orang-orang kafir”.
(Terj. Surah al-Ma’idah (5):44)

Manakala Rasulullah (s.a.w.) bersabda yang bermaksud:

“Dengar dan taatlah ketua kamu sekalipun dia hanyalah seorang hamba Habsyi, selagi mana di menegakkan ajaran kitab Allah (syariah) pada kamu semua”.

Para Hadirin dan Hadirat yang dirahmati Allah sekelian:

Yusuf al-Qaradawiy dalam mengulas ketiga-tiga nas di atas menjelaskan bahawa pihak berkuasa yang diberi amanah memegang tampok pemerintahan wajib melaksanakan syariah Islam dalam pemerintahannya demi menyelesaikan sebarang konflik yang berlaku. Seandainya mereka ini terus bebal dan enggan tunduk kepada syariah Allah, maka menjadi tanggungjawab & amanah setiap warga muslim untuk memilih dan menggantikan dengan kepimpinan yang lebih baik dan bertanggungjawab, terutamanya kepimpinan yang mengistiharkan diri mereka ingin kembali merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah sebagai teras panduan. Ini tidak lain dan tidak bukan demi kebaikan umat Islam dan survival mereka di masa-masa yang akan datang.

اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، وَللهِ الحَمْدُ.

إِنَّ اللهَ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ، يَاأَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيْمًا. اَللّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِى العَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

اَللَّّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ. إِنَّكَ سَمِيْعٌ قَرِيْبٌ مُجِيْبُ الدَّعْوَاتِ وَقَاضِىَ الْحَاجَات.
رَبَّنَا افْتَحْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ قَوْمِنَا بِالْحَّقِ وَأَنْتَ خَيْرُ الْفَاتِحيْنَ. رَبَّنَا لاَتُزِعْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبَ لَنَا مِنْ لَّدُنْكَ رَحْمَةَ إِنَّكَ أَنْتَ الوَهَّاب.
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَهً وَفِى اْلأَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار.

عِبَادَ اللهِ, إِنَّ اللهَ يَأمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ, وَإِيْتَاءِ ذِى الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنْكَرِ وَالبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ.فَاذْكُرُوا اللهَ العَظِيْمَ يَذْكُرُكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَر. واللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُوْنَ.



Kajian & penyediaan teks oleh;

DR AZHAR BIN YAAKUB
Front Bertindak Anti Murtad (FORKAD)

Thursday, October 05, 2006

Jika Musharraf boneka AS, Abdullah pula bagaimana?

Tue | Oct 03, 06 | 02:28:53 PM Harakahdaily.Net

Oleh Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat

Saya tidak terkejut sedikit pun dengan pendedahan Musharraf dalam memoir terbarunya berjudul 'In The Line Of Fire'. Pertama, CIA telah menyogok berjuta-juta dolar untuk Pakistan memburu 369 suspek al-Qaeda dan kedua, ugutan ke atas Pakistan untuk bersedia dibom dan kembali ke zaman batu jika tidak mematuhi Amerika Syarikat.

Walaupun kedua-duanya cuba dinafikan bekas Timbalan Setiausaha Negara AS Richard Armitage tetapi inilah kemelut yang berlaku dalam momokan Islamfobia tajaan musuh-musuh Islam kontemporari.

Saya cuma terlintas, jika presiden Pakistan itu boleh diheret ke dalam keadaan tekanan yang semacam itu, apakah diluar kemungkinan untuk orang ramai turut berfikir yang jangan-jangan langkah menyekat bantuan perkapita kepada SAR, menahan sebahagian bekas-bekas graduan dari universiti-universiti Pakistan dan Timur Tengah di bawah ISA (termasuk anak saya) oleh Perdana Menteri Malaysia juga adalah akibat dari mematuhi telunjuk-telunjuk khianat dari Washington?

Jika Hamid Karzai adalah boneka mereka di Afghanistan dan Shinzo Abe adalah Perdana Menteri pro-AS yang baru dilantik di Jepun, maka tidak mustahilkah dasar-dasar anti terrorisme Malaysia juga adalah dirangka di Rumah Putih?

Ia adalah sekeping memo arahan dari botol dakwat jahat dari meja ketua polis dunia bernama George W Bush.

Bahkan, jika dibaca rentak Kuan Yew yang seakan-akan cuba mencampuri hal-hal dalaman di Malaysia dengan 'komen-komen nakal' seperti yang distilahkan oleh Najib Tun Razak dan turut dilihat 'menghina oleh Bambang Susilo' (Berita Harian 27 September 2006), komentar biadap Pope Benedict XVI ke atas junjungan Nabi kita SAW yang mengutip kutukan maharaja kristian di zaman Medieval sewaktu berucap di Regenburg University di Jerman pada 12 September yang lalu, propaganda hitam akhbar berpengaruh Perancis yang mendakwa Osama telah mati diserang typhoid serta Musharraf yang kononnya telah diguling adalah antara serangan-serangan gerak saraf yang tidak sukar difahami.

Berita yang terburai di Baitulmaqdis yang melaporkan halalnya dibunuh Hasan Nasrallah yang mengisytiharkan kemenangan Hizbullah dalam konflik 34 hari dengan Israel itu cukup menjelaskan lagi keadaan.

Berita arahan ini keluar dalam Radio Tentera (Galei Tzahal), yang memetik pengakuan bekas pengarah agensi perisikan Mossad, Shabtai Shavit sendiri. Beliau mengarahkan pembunuhan ke atas Nasrallah ketika sedang berucap di Selatan Beirut pada hujung minggu lalu.

Sekali-sekala, kita wajar menyentuh beberapa insiden dunia terkini supaya umat Islam khususnya dan seluruh warga Malaysia amnya mampu memahami peralihan jarum kompas yang ligat bergerak di peta bumi.

Road map dunia dan rentak masa depan umat tampak terlalu banyak dicatur dan diatur oleh AS dan sekutu-sekutunya.

Semua orang sudah semakin meragui kejujuran AS dan rakan-rakannya dalam peristiwa 9/11 di New York pada 2001. Bersifat degil demi mengukuh dan mengekalkan buruk sangka penghuni dunia terhadap Islam, FBI dan CIA masih mati-matian terus menerus menasihati Rumah Putih agar terus mengolah siri-siri keganasan palsu.

Ini boleh dibaca rentetannya dari serangan ke atas Iraq yang dituduh memiliki WMD sedangkan ia memang sebuah pembohongan.

Berita kononnya lima lelaki Pakistan telah memasuki AS melalui Kanada dan merancang untuk melakukan serangan senjata biologi dan bom-bom beracun adalah satu lagi percubaan mereka untuk melahirkan fitnah.

Ia terbongkar setelah suspek yang diburu oleh Associated Press misalnya; Mohammad Ashgar itu sebenarnya seorang lelaki gemuk yang menjalankan perniagaan barangan kemas di Pakistan dan tidak pernah sekalipun menjejakkan kaki ke Amerika!

Beliau tidak ada kena mengena dan tidak tahu menahu pun dengan insiden berdarah yang cuba ditekapkan kemukanya itu.

Terkini, AS mengarut lagi dengan sengaja mengada-adakan berita kemunculan pelbagai Nexus Points di pelbagai paksi dunia Islam.

Dengan itu, AS mahu munculkan dirinya sebagai predator yang sedang bertungkus lumus cuma menyelamatkan dunia dari serangan keganasan.

Tentu sekali kita masih ingat betapa 10 pesawat di Heathrow pernah diancam bom pada 10 Ogos 2006 oleh militan Islam (?) kemudian berjaya dipatahkan oleh seorang Superman. Tony Blair lah, siapa lagi!

Demikian jugalah dengan kononnya Sears Tower di Chicago yang telah diancam bom oleh proksi al-Qaeda yang kononnya dipimpin oleh Nasir Batiste diawal Jun 2006. Semuanya adalah bohong.

Nampak sangat yang AS dan UK sedang dengan ghairahnya ingin mengumumkan berita- demi berita kejayaannya kerana pantas menyekat huru-hara yang dicipta, dicetak dan dibuat-buat oleh mereka sendiri.

Sasaran akhir mereka ialah Islam dan pejuang Islam. Mereka lalu khayalkan bagaimana rakyat sedunia akan memuja dan mengangkat mereka sebagai wira suci dan sekali gus melihat Islam dan penganutnya sebagai terroris yang sehina sampah dan sejijik najis.

Ini boleh dilihat melalui cara layanan mereka terhadap pejuang Islam dipenjara tertutup Guantanamo dan Abu Gharib, Saddam yang pernah digari dari lubang persembunyian dan kini menggigil di mahkamah, Osama yang merempat terhina, hidup ceret beret di gua misteri, dua anak lelaki Saddam yang mati disembelih, penangkapan Al-Zarqawi, ratusan pemimpin Islam yang digari di Indonesia, Selatan Filipina, Palestin, Thailand, Acheh dan Bali.

Dalam plot cerita dan skrip-skrip drama kusut yang berlingkar-lingkar itulah, Islam mahu diconteng semahu-mahunya dengan jambang terroris.

Jika tidak, masakan Bush menghubungkan terus peristwa memerangi keganasan dengan Perang Salib sejurus selepas menara WTC di New York itu di bom. Dendam kristian yang tidak sudah-sudah itulah juga rupanya yang sedang menyimbah darah umat Islam di mana-mana.

Ancaman AS berbunyi 'sama ada kamu bersama kami atau kamu bersama mereka' sesungguhnya bukan ultimatum yang adil untuk dipilih oleh warga dunia. Bukan begitu caranya mencari perdamaian. Mustahil AS tidak faham bagaimana seharusnya PBB itu berfungsi?

Saya hanya ada satu soalan pendek untuk bertanya. Malaysia sedang berada di mana dalam membina dasar luarnya dan sewaktu memilih rakan kongsi?

Bersama mereka yang menjadi mangsa keganasan atau berpihak kepada pihak yang mengganas? Lagipun, maksud ganas, mengganas, pengganas dan mangsa keganasan itu apa sebenarnya?

Sentiasa ingatlah bahawa Allah SWT itu mampu membaca segala niat kita walau bagaimana nyata atau sulitnya ia di sembunyi. Dan, inilah yang akan menentukan nilai amal kita yang sebenar. Bukankah kita semua akan berdiri di padang mahsyar untuk nantinya di tanya ?

"Jika mereka mendustakan kamu,maka sesungguhnya rasul-rasul sebelum kamupun telah di dustakan (pula) mereka membawa mukjizat-mukjizat yang nyata ,zabur dan kitab yang memberi penjelasan yang sempurna." (Surah Al- 'Imran Ayat 184).

(Penulis adalah Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan) -

Friday, September 29, 2006

FIQH AMAL ISLAMI

Dewasa ini, kita seringkali mendengar, melihat dan direncanakan dengan pelbagai bentuk program dan aliran tentang usaha-usaha keIslaman (‘amal Islami). Namun, malangnya tidak semua aliran tersebut mengikut prinsip-prinsip yang benar dan sihat. Situasi seumpama ini boleh mengaburi sesebuah gerakan yang akhirnya memberi impak yang negatif kepada para pejuangnya.

Di sini, ‘kefahaman’ adalah suatu perkara utama dalam setiap tindakan terutamanya dalam melaksanakan sesuatu gerakkerja agar setiap yang terlibat mampu berfikir, menilai dan seterusnya mencetuskan keputusan dan amal yang selari dengan kehendak Islam.

1.0 BAGAIMANA MEMAHAMI ISLAM

Pada dasarnya, sebagaimana yang kita maklum, Islam itu bermaksud sejahtera yang membawa erti tunduk dan patuh kepada perintah Maha Pemerintah dan laranganNya tanpa batahan. Dalam usaha memberi kepatuhan tersebut, sudah pasti perlu mengenal Tuhannya dan sifat-sifatNya dan ini sebenarnya telah mebuka gelanggang ilmu dan amal yang tiada pilihannya melainkan jalan yang benar dan lurus.

Islam begitu cantik dan unik sehingga mampu mencakupi seluruh ruang lingkup kehidupan manusia. Baik dari sudut akidah, ibadah, syariat, muamalat dan sebagainya, dari seorang individu hinggalah ke peringkat negara dan daulah. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya” . (Surah al-Baqarah, ayat 208)

Maka usaha membetulkan pemahaman asas seperti akidah dan ibadah ini perlu dilakukan secara konsisten supaya kita sentiasa berada di putaran roda Islam tersebut.

Selain itu, adalah amat penting memahami bahawa Islam itu didasari dan mendasari setiap sesuatu melalui al-Quran, as-Sunnah, al-Ijma’ dan al-Qias. Ia adalah rujukan paling utama. Sesiapa sahaja yang menolak apa-apa daripadanya tidak patut dipatuhi. Manakala pemimpin yang tidak bercanggah dengan prinsip dari sumber-sumber tersebut, perlu dihormati dan ikuti sekalipun berbeza dengan pendapat sendiri. Firman Allah SWT:

"Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul(Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, Maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Qu'ran) dan (sunnah) Rasul(Nya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian..." (Surah an-Nisa' ayat 59)

Seterusnya, sebagai Muslim yang belum mencapai martabat ijtihad, kita tidak digalakkan membicangkan secara serius tentang perkara-perkara furu’. Sebagai contoh, tentang masalah pembacaan doa Qunut di dalam solat Subuh. Di sini kita perlu jelas dan mempertahankan yang wajib dahulu iaitu solat itu sendiri. Sikap terlalu membicarakan tentang hal-hal furu’ sebegini hanya akan mengundang perselisihan yang boleh merobohkan persaudaraan Islam.

Dalam masalah ‘kafir-mengkafir’ pula, kita perlu faham bahawa tidak boleh mengkafirkan seseorang yang mengucap dua kalimah syahadah selama mana ia beramal dengan tuntutan dan kehendak dua kalimah syahadah itu dan selama mana ia tidak mengeluarkan kata-kata yang menjadikan seseorang itu terkeluar daripada Islam atau ia mengingkari sesuatu yang diketahui secara dharuri atau secara mudah dan tidak payah berfikir di dalam Islam. Misalnya, mengingkari haramnya ‘arak’ atau ia mengingkari seperti wajibnya menjalankan syariat Islam dalam pemerintahan negara atau selama mana ia tidak melakukan perbuatan yang boleh jatuh kufur, seperti ia menyembah berhala atau seperti ia menghina kitab suci al-Quran al-Karim. Disebut dalam sebuah hadis:

Abdullah bin Umar r.a: Sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda: Apabila seseorang mengkafirkan saudaranya, maka ucapan mengkafirkan itu akan kembali kepada salah seorang di antara keduanya iaitu yang berkata atau yang dikata. - Hadith Sahih dari Imam Muslim

2.0 ‘AMAL ISLAMI DALAM PERJUANGAN ISLAM

Dalam usaha memberi kefahaman Islam, pasti akan ada susur galur jalan yang perlu diikuti dan tempuhi serta hakikat tersebut perlu dihadam dalam setiap langkah perjuangan.

Islam berkembang dan terserlah dengan adanya mata rantai-mata rantai pejuang yang cintakan Allah. Ia bermula sejak Nabi Allah Adam a.s sampailah kepada perjuangan Nabi Muhammad SAW yang disambung semula secara terus-menerus oelh para sahabat, tabi’in dan orang-orang yang datang selepas mereka hingga ke hari ini dan hari yang akan datang. Situasi ini jelas dirakamkan dalam Al-Quran:

"Hendaklah ada di antara kalian sekelompok umat yang mengajak kepada kebaikan (Islam) serta menyeru kepada kemakrufan dan mencegah kemungkaran, mereka itulah orang-orang yang beruntung " (Surah Ali-Imran ayat 104)

Sunnatullah juga, dalam usaha menyebarkan risalah Islam ini, akan berlaku muwajahah dengan pihak yang lebih berkuasa dalam masyarakat terutamanya yang mempunyai penyakit di dalam hatinya yang tidak mahu melihat Islam itu bangkit. Mereka ini bukan sahaja menghalang kerja-kerja Islam malah mahu berlawan mempertahankan kekuasaan yang mereka ada. Inilah yang berlaku di dalam kisah perjuangan Nabi Ibrahim a.s yang ditentang oleh Namrud, Nabi Musa a.s ditentang oleh Firaun dan lain-lain. Golongan ini juga menyusun strategi tertentu bagi memastikan pemerintahan mereka tidak tergugat.

Dan perlu diingat bahawa muwajahah yang berlaku ini bukanlah atas dasar hal-hal peribadi tetapi adalah atas faktor pertembungan aqidah dan dasar. Sebagaimana Nabi Muhammad SAW yang disanjung masyarakat Quraish dengan panggilan ‘al-Amin’, akhirnya digelar pula sebagai ahli sihir, gila, pendusta dan lain-lain apabila bermulanya sahaja dakwah baginda.

3.0 GERAKKERJA DALAM ‘AMAL ISLAMI

Setelah kita memahami tentang dasar Islam, memahami tentang apa itu hakikat perjuangan Islam, maka seterusnya kita perlu faham bahawa perlu adanya gerakkerja yang bersepadu dan seimbang dalam memastikan usaha memberikan pemahaman tersebut berjaya dilaksanakan.

Untuk memahami Islam dari sudut ini pula, kita haruslah memerhatikan beberapa ayat yang antara lainnya seperti firman Allah, maksudnya:

“Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka; kamu lihat mereka ruku’ dan sujud mencari kurniaan Allah dan keredhaanNya, tanda-tanda mereka nampak pada muka mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan sifat-sifat mereka dalam Injil, iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya, maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu menjadi besarlah ia dan tegak lurus di atas pokoknya; tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mu’min). Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh di antara mereka ampunan dan pahala besar”. (Surah al-Fath, ayat 29)

Jelas menunjukkan kepada kita bahawa gerakan ini bermula dari seorang individu (dalam konteks ayat di atas ialah nabi Muhammad SAW) yang akhirnya bercambah seorang demi seorang sehingga berhasilnya satu ketumbukan yang kuat dan tegar.

Proses gerakkerja ini kita boleh manifestasikan daripada apa yang lebih awal Rasulullah SAW lalui dulu. Bermula dengan wahyu yang pertama di Gua Hira’, dengan firman Allah maksudnya:

“Bacalah dengan menyebut nama Tuhan engkau yang mencipta”. (al Alaq : 1)
Asasnya di sini, sesuatu gerakkerja Islam itu perlu disandarkan dengan ilmu yang tulen. Melalui ilmulah sesebuah gerakan itu boleh bertahan kerana di samping berdakwah, ahli gerakan juga mampu berjidal secara ilmiah apabila berhadapan dengan pihak musuh. Sebaliknya, sesuatu amal yang tidak didasarkan kepada ilmu akan memberi fitnah semula kepada gerakan kerana tidak mampu memahami dan mengamalkan prinsip yang sebenarnya.

Seterusnya, Allah SWT berfirman:
“Dan berikanlah peringatan kepada keluargamu yang terdekat”.(as- Syu’ara : 214)

Dengan ayat ini, bermulanya dakwah secara rahsia (sirriyah) nabi SAW yang memerintahkannya supaya memberi peringatan dan amaran kepada kaumnya dan mengajak mereka menyembah Allah SWT. Kita dapat melihat bahawa, pada peringkat ini, gerakkerja yang dilaksanakan adalah berdasarkan pemilihan. Penyahut utama terhadap dakwah Nabi SAW ialah isteri baginda sendiri iaitu Saidatina Khadijah r.a., diikuti Saidina Abu Bakar iaitu sahabat karib baginda dan seterusnya.

Usaha ‘amal Islami di peringkat ini adalah melalui keperibadian da’i dan kedudukannya dalam masyarakat. Sikap mudah didekati merupakan satu sifat yang menjamin kekuatan untuk menembusi dan mendekati orang lain.
Setelah itu, gerakkerja ini memasuki era keterbukaan seperti mana Firman Allah, maksudnya:

“Maka berterus teranglah dengan apa yang diperintahkan kepada kamu dan janganlah kamu menghiraukan tindakan golongan musyrikin”. (al-Hijr : 94)
Rasullullah SAW berdakwah kepada masyarakat umum setelah mendapat jaminan daripada Allah SWT. Usaha Islam ini dapat dilakukan dengan adanya bantuan dan sokongan daripada keluarga terdekat yang didakwah oleh baginda sebelum ini. Di sini, kita boleh mengambil iktibar bahawa dakwah kepada keluarga yang terdekat adalah penting demi memastikan kesinambungan gerakkerja yang lebih lancar dan konsisten pada masa akan datang.

Dan dalam usaha menjayakan gerakkerja Islam tersebut, perlu juga ada persediaan yang sempurna dalam semua aspek samada fizikal, mental mahupun material. Ini dalah perlu bagi memastikan para pendokong dakwah tersebut lebih bersemangat dan yakin dalam kerja buat mereka. Sebagaimana saranan daripada Allah SWT, maksudnya:

“Dan siapkanlah untuk mereka kekuatan semampu mungkin”. (al-Anfaal : 60)

Apabila seruan dan kefahaman Islam tersebut disahut beramai-ramai, maka akan berlaku penentangan daripada golongan yang bencikan agama suci ini. Maka individu-individu mestilah mempunyai pemahaman yang jelas, di mana apabila ‘amal islami ini dijalankan secara meluas, hakikatnya ia merupakan langkah yang mendedahkan mereka kepada kesulitan dan seksaan. Mereka ini akan dikecam, ditindas, difitnah, dicaci, dipulau, dibunuh dan lain-lain lagi. Keadaaan inilah yang kita lihat berlaku di Mesir apabila pelbagai tindakan diambil ke atas pimpinan dan ahli Ikhwanul Muslimin yang berusaha memberi dan menyebarkan kefahaman Islam kepada masyarakat. Begitu juga seperti mana yang terjadi di Bosnia, Palestin dan lain-lain.Dan yang terbaru, saudara kita di Lubnan menerima kecaman yang hebat daripada pihak Zionis. Apabila berlakunya situasi sebegini, maka wajib bagi kita mempertahankan kembali kesucian agama kita sebagaimana disebut dalam Firman Allah, maksudnya:

“Diizinkan bagi mereka berperang (untuk melakukan sesuatu tindak balas) kerana mereka telah di zalimi…”. (al-Hajj : 39)

4.0 KESIMPULAN

Dalam merangka sesuatu usaha yang lebih besar hingga ke peringkat menubuh dan menjalankan sebuah gerakan, kefahaman tentang ‘amal Islami adalah merupakan satu prioriti yang tidak seharusnya diabaikan oleh sesiapa pun individu dalam gerakan tersebut. Bermula dari kefahaman yang jelas dan jitu, akan terhasilnya ‘amal Islami yang mantap dan berkesan. Ibaratnya, sepohon pokok yang rendang dan kuat adalah berasal dari sebiji biji benih yang baik dan sihat yang mampu mengadaptasi dirinya dalam semua keadaan di sekelilingnya.

PERSIAPAN PARA DA’I; ILMU SENI BERDAKWAH (USLUB DAKWAH)

1.0 MUQADDIMAH

Dewasa ini kita melihat semakin ramai mad'u yang diabaikan oleh para da'i rentetan ketidakfahaman tentang cara pendekatan/uslub yang sebetulnya, mengikut keadaan masa dan aqal mad'u. Bagi memastikan kesinambungan dakwah, para da’i hendaklah memiliki beberapa persiapan bagi memastikan mereka terus bersedia dan beristiqamah dalam mengajak manusia kepada mengenal Allah SWT. Persiapan-persiapan ini termasuklah persiapan ilmu, mentaliti, jasmani, rohani, akhlak dan daya kepimpinan.

Senjata pertama yang perlu dimiliki oleh seorang da’i ialah persiapan ilmu. Secaranya umumnya setiap da’i hendaklah memahami persoalan aqidah, akhlak, hukum-hukum fiqh dan seterusnya ke peringkat yang lebih besar dalam persoalan dakwah dan jihad.

Keberkesanan dakwah berkadar terus dengan selok belok dakwah yang antara lainnya menyentuh tentang uslub dakwah itu sendiri. Ilmu dakwah dan uslubnya adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan, umpama aur dengan tebing, yang menjadi penentu kepada kejayaan dakwah yang hendak dibawa.

2.0 DEFINISI DAN PENGERTIAN USLUB DAKWAH

‘Uslub’ adalah perkataan Arab yang membawa maksud jalan atau seni dalam percakapan atau pekerjaan. Juga didefinisikan sebagai metodologi atau cara melakukan sesuatu atau sistem melakukan sesuatu.

Usaha yang lebih berkesan dan realisasi mesej hanya boleh dicapai apabila dakwah itu mempunyai method atau uslub yang relevan dan terkini. Dengan ini, methodologi itu merupakan satu ilmu, yang perlu dipelajari, dikaji dan dikuasai sebaiknya bagi memudahkan segala urusan dalam lapangan kehidupan.

Uslub dakwah merupakan suatu sistem tersendiri yang tidak boleh dicipta oleh mana-mana sistem di alam cakerawala ini. Ianya bersifat rabbani; diwahyukan oleh Allah SWT kepada semua RasulNya untuk diaplikasikan mengikut tahap dan situasi. Uslub tersebut tidak ketinggalan zaman kerana ianya bersifat terkini selamanya yang bersumberkan Al Quran dan As Sunnah. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan siapakah yang lebih elok percakapannya dari mereka yang berdakwah kepada Allah dan beramal soleh serta berkata: Sesungguhnya aku termasuk di dalam golongan yang berserah diri kepada Allah SWT” (Surah al-Fussilat: 33)

3.0 USLUB AL-DAKWAH / PENDEKATAN DALAM BERDAKWAH

Dakwah dalam pengertian yang amat mudah adalah “ad-dakwah Ilallah” (menyeru ke jalan Allah). Namun ianya tidak mudah tercapai tanpa memahami semua rukun dakwah dan di antara rukun tersebut ialah pendekatan dakwah itu sendiri yang kita selalu menyebutnya sebagai uslub al-dakwah. Perlu diingatkan, ianya perlulah didahului oleh rukun yang sebelumnya (Maudhu’ al-dakwah/Topik utama dakwah, Al-Daie/Para pendakwah dan Al-Mad’uun/Penerima dakwah) kerana ia amat berkait rapat dan saling berturutan bagi mendapat gambaran yang jelas dan menyeluruh tentang konteks yang sebenarnya.

Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, uslub dakwah ini diasaskan atas manhaj Rabbani. Di dalam rujukan utama kita yakni Al Quran, Allah SWT telah menggariskan uslub dakwah dengan jelas lagi nyata:

“Serulah ke jalan TuhanMu (Wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau seru itu) dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya TuhanMu Dialah jua yang lebih mengetahuiakan orang yang sesat dari jalannya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang medapat hidayah petunjuk”. (Surah al-Nahl:125)

Dari panduan ayat di atas, terdapat sekurang-kurangnya tiga uslub yang menjadi tunjang utama uslub ini. Namun, masih terdapat banyak cabang uslub dakwah yang perlu dirujuki kepada As Sunnah sebagai sumber rujukan kedua.

3.1 Uslub Pertama: AL-HIKMAH

Al-Hikmah, dari Abu Ja’far bin Ya’qub memberi maksudnya sebagai “setiap kebaikan dari perkataan yang menghasilkan perbuatan yang tepat”

Kata al-Jurjani: ”Setiap tutur kata yang menepati kebenaran adalah hikmah”. Dan berkata Ibn Zaid: “Semua perkataan yang memberi pengajaran atau menyeru kepada kemuliaan atau menegah kamu dari keburukan adalah hikmah”.

Firman Allah SWT:
“Allah memberika hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakinya (menurut aturan yang dikehendakiNya) . Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu, maka sesungguhnya ia telah diberika kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajarn (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunaka akal fikirannya”. (Surah al-Baqarah:269)

Ayat di atas jelas mengaitkan hikmah itu dengan kebaikan. Dengan ini kita boleh mengambil iktbar bahawa al-Hikmah merupakan uslub terpenting dalam berdakwah. Ianya amat luas dan boleh dipecahkan sebagaimana berikut:

3.1.1 Uslub al-Ilm wa al-ma’rifah (Pendekatan ilmu dan pengetahuan)

Pendekatan akademik yang berteraskan ilmu pengetahuan yang mendalam dari sumber utama menjadi asas uslub ini. Ianya bersifat jitu, tepat dan ketat.

Pendekatan ini sesuai dengan ahli-ahli akademik yang mementingkan fakta dan ulasan yang menginginkan kepuasan mental yang akhirnya boleh tuduk dengan adanya kebenaran.

Contoh uslub ini ialah peristiwa yang berlaku kepada pendakwah-pendakwah awal ISalm yang berhijrah ke Habsyah. Mereka ini terdiri daripada 83 orang sahabat r.a termasuk Uthman bin Affan, isterina Ruqayyah binti Rasulullah SAW, Az-Zubir bin Al-Awwam, Ja’far bin Abdul Mutholib dan lain-lain.

An – Najasyi terlebih dahulu telah dimomokkan kepadanya maklumat yang negatif tentang Islam sebelum beliau mendapat penjelasan sebenar yang diberikan oleh ‘Abdullah bin Abi Rabi’ah dan ‘Amr bin al – ‘As dengan tomahan mereka: Wahai tuanku, sesungguhnya telah tiba di negara tuanku dari negara kami segolongan manusia yang selekeh. Mereka telah memecah – belahkan agama kaum mereka dan tidak akan menganut agama tuanku. Mereka datang ke sini membawa agama mereka ciptaan mereka sendiri. Kami tidak mengetahui agama yang dibawa itu dan begitu juga tuanku...”

Pembesar – pembesar an – Najasyi pula menyampuk: “Wahai tuanku kaum mereka lebih faham tentang mereka. Lebih mengerti tentang keburukan mereka. Oleh itu, serahkan mereka semua kepada mereka berdua biar mereka uruskan agar mereka pulang ke negara dan kaum mereka”.

Keadaan sebegini memerlukan kepada uslub yang sesuai untuk berdakwah mempertahankan yang hak dan menolak yang batil. Jika pendakwah – pendakwah ini gagal menyatakan sesuatu yang hak menurut uslub yang sesuai maka akan besarlah padahnya.

An – Najasyi berpaling kepada kumpulan umat Islam itu dan bertanya dalam uslub ‘ilmu: “Bagaimana keadaan kamu sebelum datang agama ini?

Ja’far bin ‘Abdul Mutholib tampil ke hadapan memberikan penjelasan. “Tuanku, kami adalah kaum yang jahil. Cari hidup kami menyembah berhala, makan bangkai, melakukan perkara – perkara keji, menyakiti jiran, yang kuat menindas yang lemah sehinggalah datang agama kami membaiki (keadaan) kami”.

An – Najasyi bertanyakan tentang ‘Isa a.s (kerana beliau beranggapan Islam menghina ‘Isa dengan mengatakan ‘Isa adalah hamba). Jawab Ja’far r.a: “Islam memberitahu kami dengan firman Allah:

“(Nabi Isa) Al-Masih tidak sekali-kali enggan dan angkuh daripada menjadi hamba bagi Allah, demikian juga (sikap) malaikat Yang sentiasa berdamping (dengan Allah). dan sesiapa Yang enggan dan angkuh daripada beribadat (menyembah dan memperhambakan diri) kepada Allah, serta ia berlaku sombong takbur, maka Allah akan menghimpunkan mereka semua kepadaNya”.(Surah an – Nisaa’: 172)

An – Najasyi bertanya lagi pandangan Islam terhadap ‘Isa. Ja’far menjelaskan dengan membaca surah Maryam yang menerangkan di dalamnya perihal kelahiran ‘Isa tanpa bapa dan dipertikaikan oleh kaumnya. ‘Isa a.s ketika masih di dalam buaian berkata – kata kepada kaumnya dengan mengatakan bahawa dia adalah hamba Allah yang akan diturunkan al – Kitab (Injil) kepadanya dan akan menjadi nabi.

Setelah mendengar penjelasan yang begitu tepat lagi menusuk hati, an – Najasyi menangis sehingga basah janggutnya. Katanya: “Agama Islam dan agama yang dibawa oleh ‘Isa adalah datang dari sumber yang sama. Beliau mengambil sebatang kayu dan membuat garisan di atas tanah seraya berkata: “Agama aku dan agama kamu amat hampir. Pemisah kita adalah garisan yang halus ini”. Kerana itu, umat Islam diberi jaminan keselamatan tinggal di negara Habsyah dengan damai.

3.1.2 Uslub al-Latf wa al-Layn (Pendekatan lembut dan lunak)

Berlembut dan lunak pada tempat yang sewajar dan sebetulnya merupakan bukti kebijaksanaan seorang pendakwah. Begitu juga keadaan berkeras pada tempatnya merupakan suatu cara berhikmah. Jelas dinyatakan dalam al Quran yang mengisahkan tentang nabi Musa a.s dan nabi Harun ketika mereka diperintahkan mengajak Fir’aun kepada agama Allah SWT:

“Pergilah kamu berdua kepada Fir’aun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lembut, semoga ia beringat atau takut”. (Surah Thoha: 43-44)

Tersingkap juga melalui beberapa kisah Rasulullah SAW yang menggunakan pendekatan berlembah lembut ini. Antaranya ialah kisah seorang Badwi masuk ke dalam masjid dan membuang air kecil. Para sahabat yang melihat perbuatan tersebut berasa amat marah dan mengasarinya bagi memberi pengajaran kepadanya. Rasulullah SAW segera bertindak mententeramkan keadaaan tersebut dan mendekati Badwi tersebut dengan lemah lembut seraya bersabda:

“Sesungguhnya masjid tidak elok digunakan seperti yang anda lakukan, malah ianya digunakan untuk berzikir dan berdoa”.

Badwi tersebut beredar dengan baik di samping berkata: “Ya Allah, kasihanilah aku dan Muhammad, dan janganlah Engkau kasihi selain dari kami walau seorang sekalipun”.

Uslub ini juga dikenali sebagai uslub al – Maddarah. Kata Ibn Battol: “Al – Maddarah adalah dari akhlak mukminin iaitu bersopan dengan manusia, berlemah lembut dalam percakapan, jauhkan dari kekerasan, yang demikian itu salah satu kekuatan untuk menambat kasih sayang sesama manusia”.

Metodologi ini boleh juga diteliti melalui ayat Allah SWT:

“Maka dengan rahmat dari Allah kamu menjaadi lembut lunak dengan mereka. Kalau kasar dan berkeras hati nescaya mereka akan lari dari kamu”.

3.1.3 Uslub al-Quwwah wa as-Shiddah (Pendekatan kekuatan dan kekerasan)

Manusia diciptakan Allah dengan pelbagai rupa, akhlak dan budi bicara. Oleh itu, dakwah perlu dipelbagaikan uslubnya. Hikmah tidak semestinya berlemah lembut. Adakalanya berlaku kuat dan kasar juga merupakan hikmah.

Pendekatan ini dapat dilihat dari pengertian jihad pada zaman awal Islam. Setelah pendekatan lemah lembut tidak memberi kesan, malah umat Islam masih ditindas dan diperangi sehingga merasakan kota Madinah tidak selamat lagi didiami, maka Allah turunkan ayat ini:

“Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh, kerana sesungguhya mereka telah dianiaya”. (Surah al-Haj:39)

Dan terdapat banyak lagi ayat-ayat Quran yang menerangkan tentang uslub ini yang mana ianya digunakan mengikut kesesuaian masa-masa tertentu dan ditangguhkan pada masa yang tidak diperlukan. Pendekatan ini tidak diaplikasikan oleh baginda ASW ketika zaman permulan Islam di Mekkah. Uslub yang keras digunakan hanya apabila uslub yang lembut dan mengalah tidak memberi kesan. Kekerasan pada zaman tersebut bukanlah bermaksud dengan menggunakan senjata. Ianya adalah dengan menggunakan lidah dengan kata-kata yang tegas sehingga mampu menusuk hingga ke hati.

Namun perlu diingatkan, adalah lebih baik jika tidak keterlaluan. Cukup hanya sekadarnya kerana kita sebagai umat Islam adalah umat yang sederhana dan bencikan sikap ghulu (melampau).


3.2 Uslub Kedua: Al – Mau’izoh al - Hasanah

Uslub al – Mau’izoh al – Hasanah merupakan uslub al – Qur’an (method Rabbani) yang perlu diberikan perhatian. “Al – Mau’izoh itu asalnya adalah merujuk kepada kata – kata yang boleh melunakkan sanubari yang mendengar sebagai persediaan untuk melakukan kebaikan bagi menghayatinya” . Firman Allah SWT:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”
(Surah al – Ahzab: 21)

Uswatun hasanah dan mau’izaoh hasanah terdapat banyak persamaan. Ibn ‘Athiyyah menyebut: “Mau’izoh hasanah itu merupakan suatu usaha untuk memberikan manusia rasa takut dan mengharap serta melunakkan manusia agar menjadikan ceria dan bersedia untuk menerima nilai – nilai murni”.

Al – Zamakhsyari menyebut: “Sesungguhnya mau’izoh hasanah itu ialah suatu yang tidak asing kepada mereka bahawa kamu menasihati mereka dengan tekad untuk memberi sesuatu yang bermanfa’at kepada mereka”.

Perkara utama dalam uslub ini ialah pendakwah hendaklah mencontohi Rasulullah s.a.w dalam segenap aspek sama ada perkataan, perbuatan, taqrir (persetujuan) , sifat dan tatacara hidup baginda s.a.w. Ianya dilakukanlah mengikut kemampuan kita. Baginda s.a.w bersabda:

“Apabila aku menyuruh kamu melakukan sesuatu perkara, maka lakukanlah perkara itu sekadar yang termampu”.

Suatu contoh yang unggul pernah berlaku ke atas Rasulullah s.a.w yang mungkin sukar dicontohi oleh kita pada hari ini:
“Suatu hari harta rampasan perang (al – Ghanimah) dibawa kepada Rasulullah s.a.w. Setelah dihitung, didapati jumlahnya sebanyak sembilan puluh ribu dirham dilonggokkan semuanya di atas tikar daun tamar. Baginda membahagikan harta itu kepada yang berhak menerima sehingga habis semuanya. Tiba – tiba datang lagi sahabat yang meminta haknya kerana beliau belum mendapat apa – apa. Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: “Pergilah ke kedai yang menjual keperluanmu dan belilah barang – barang itu secara hutang. Katakan kepada tuan kedai itu bahawa aku akan membayar kepadanya”. Mendengar kata – kata itu, Umar bin al – Khattab mencelah dan berkata: “Ya Rasulullah! Mengapa kamu membebankan dirimu sesuatu yang tidak sepatutnya kamu tanggung. Perkara yang sudah selesai, biarkanlah”. Mendengar kata – kata itu air muka Rasulullah s.a.w berubah tanda tidak senang dengan kata – kata Umar r.a lalu tampil seorang lelaki Ansar dan berkata: “Ya Rasulullah teruskan memberi kesanggupan berbelanja kerana Allah yang akan membayarnya nanti”. Mendengar kata – kata itu Rasulullah tersenyum tanda menyukai tindakannya”. (Mustalzimat al – Da’wah al – ‘Asr al – Hadir: 121)

Uswah Hasanah banyak persamaan dengan qudwah hasanah. Pendakwah perlu menunjukkan contoh yang baik untuk diikuti oleh mad’u. Contoh yang baik ini bukan sahaja pada kata – kata dan tingkah laku malah sampai air muka pun perlu diambil kira dengan sentiasa bermuka manis walaupun dalam keadaan marah.

Contohnya Rasulullah s.a.w dalam siri dakwahnya, suatu hari didatangi oleh seorang ‘Arab bengis kepada baginda seraya berkata dengan kasar: “Kamukah yang bernama Muhammad bin ‘Abdullah?”. Jawab Rasulullah dengan lemah – lembut: “Ya, sayalah Muhammad bin ‘Abdullah”. ‘Arab itu bertanya lagi: “Kamukah yang selalu dikatakan pembohong besar?”. Jawab baginda: “Ya, sayalah yang dikatakan oelh kaum saya sebagai pembohong besar tetapi sebenarnya tidak”.Dengan muka yang tenang dan dengan tutur kata yang lembut, ‘Arab itu tiba – tiba berkata: “Muka seperti ini bukan muka seorang pembohong”. Lalu dia bertanya nabi s.a.w: “Apa yang kamu bawa? Cuba terangkan kepadaku” Rasulullah s.a.w menerangkan kepadanya tentang Islam dengan cara yang menarik dan menusuk hati. Akhirnya ‘Arab tadi berkata: “Aku beriman kepadamu dan aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan aku bersaksi Muhammad itu Pesuruh Allah”.

Seperkara lagi yang amat penting dalam membicarakan uslub al – Mau’izoh al – Hasanah ialah pendakwah hendaklah menjadi model yang realiti, ikhlas dalam perkataan dan perbuatan, bukan hanya pandai bercakap tak serupa bikin. Rasulullah s.a.w menginagtkan kita dengan sabdanya:

“Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa Nabi s.a.w telah bersabda: Didatangkan seorang lelaki (pendakwah) pada hari Qiyamah lalu dicampakkan ke dalam api neraka. Api neraka membakarnya hingga ke tali perutnya. Dia terseksa dan berpusing – pusing di dalam neraka seperti keldai berpusing – pusing di tempat kerjanya. Penghuni – penghuni neraka yang lain berkerumun kepadanya lalu mereka bertanya: Apa hal kamu ini? Bukankah kamu yang menyuruh kami melakukan kebaikan dan melarang kami kemungkaran? Jawabnya: Ya, aku menyuruh kamu membuat ma’ruf tetapi aku tidak melakukannya dan aku melarang menjauhi kemungkaran akan tetapi aku melakukannya” . (Riwayat al – Bukhari dan Muslim)

Selalunya berdakwah dengan contoh teladan yang praktikal lebih mendatangkan kesan mendalam daripada dakwah dengan pendekatan yang lain. Semuanya bergantung kepada waqi’ atau keadaan yang mengizinkan sesuatu tindakan yang bakal di ambil.

3.2.1 Uslub al – Murasalah / Cara menulis surat

Contoh baginda SAW menggunakan kaedah pengutusan surat – surat kepada pembesar – pembesar dunia pada zamannya bagi menyeru mereka menerima Islam juga perlu dikaji dan draktikkan. Baginda menyuruh para sahabat r.a untuk menulis surat untuknya dan surat – surat itu kemudiannya di hantar kepada an – Najasyi (raja Habsyah), Kaisar (Raja Parsi), Hiraqqel (Raja Rom), Maqauqis (pembesar Mesir) dan banyak lagi. Ada yang menerima dakwah Islam seperti an – Najasyi, ada yang mengakui kerasulan baginda s.a.w seperti Hiraqqel akan tetapi tidak menerima Islam dan ada yang menentang bahkan mencabar nabi s.a.w seperti Kisra.
Di dalam kitab Minhaj as – Solihin oleh ‘Izz al – Din Baliq ada menyebut bahawa Rasulullah s.a.w pernah meminta sahabat r.a menulis sekurang – kurangnya 33 pucuk surat yang akan dihantar ke dalam negara dan 29 pucuk surat yang akan dihantar ke luar negara. Kesemuanya mengandungi mesej dakwah yang menyeru mereka menerima Islam. Sekiranya tidak, mereka perlu mengiktiraf Islam sebagai agama dan sebuah kerajaan berdaulat di samping membayar jizyah. Sekiranya mereka enggan dan menentang Islam, maka gerakan futuhat (pembebasan) akan dihantar ke negara tersebut sehingga tunduk kepada Islam.

Uslub penulisan surat adalah salah satu cara yang praktikal dan boleh dicontohi. Namun penulisan tidaklah terhad kepada surat sahaja bahkan boleh dimanfaatkan teknologi terkini seperti media cetak, media elektronik, sistem pesanan ringkas (SMS), internet, 3G dan sebagainya. Umat Islam perlu berusaha lebih memandangkan kaum non – Muslim sudah lama mempraktikkan cara ini bagi menyebarkan dakyah batil mereka.

3.3 Uslub Ketiga: Al – Mujadalah

Terdapat 3 istilah yang dikaitkan dengan uslub ini:-
Mujadalah / Mujadilah (Bersoal – jawab)
Muhawarah (Berdialog)
Munazoroh (Berdebat / Berbahas)

Kesemua istilah ini boleh disimpulkan dengan perdebatan atau perbahasan antara dua belah pihak yang berselisih untuk menegakkan kebenaran dan menolak kebatilan dengan hujah – hujah yang bernas dan nyata. (Ma’alim fi manhaj al – Da’wah: 212 – 213)

Di dalam al – Qur’an al – Karim, antaranya Allah SWT menyebut:

“Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan Katakanlah (kepada mereka): "Kami beriman kepada (Al-Quran) Yang diturunkan kepada Kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepadaNyalah, Kami patuh dengan berserah diri". (Surah al – Ankabuut: 46)


“Dan jika mereka mengemukakan bantahan kepadaMu, maka katakanlah: "Allah Amat" mengetahui akan apa yang kamu lakukan”. (Surah al – Hajj: 68)

Dan juga iktibar dari kisah dua orang sahabat di dalam surah al – Kahfi: “Dan berikanlah kepada mereka satu contoh: dua orang lelaki, Kami adakan bagi salah seorang di antaranya, dua buah kebun anggur; dan Kami kelilingi kebun-kebun itu Dengan pohon-pohon tamar, serta Kami jadikan di antara keduanya, jenis-jenis tanaman yang lain. Kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya, dan tiada mengurangi sedikitpun dari hasil itu; dan Kami juga mengalirkan di antara keduanya sebatang sungai. Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah ia kepada rakannya, semasa ia berbincang dengannya: "Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai". Dan ia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang ia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya), sambil ia berkata: "Aku tidak fikir, kebun ini akan binasa selama-lamanya. Dan Aku tidak fikir, hari kiamat kan berlaku; dan kalaulah Aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu) , tentulah Aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini. Berkatalah rakannya kepadaNya, semasa ia berbincang dengannya: "Patutkah Engkau kufur ingkar kepada Allah Yang menciptakan Engkau dari tanah, kemudian dari air benih, kemudian ia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang lelaki? Tetapi Aku sendiri percaya dan yakin dengan sepenuhnya Bahawa Dia lah Allah, Tuhanku, dan Aku tidak sekutukan sesuatu pun dengan Tuhanku. Dan sepatutnya semasa Engkau masuk ke kebunmu, berkata: (semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah)! (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah)? kalau Engkau memandangku sangat kurang tentang harta dan anak, berbanding denganmu, Maka Mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan daku lebih baik daripada kebunmu, dan (aku bimbang) Dia akan menimpakannya dengan bala, bencana dari langit, sehinggalah menjadilah kebunmu itu tanah yang licin tandus. Ataupun air kebun itu akan menjadi kering ditelan bumi, maka Dengan yang demikian, Engkau tidak akan dapat mencarinya lagi". Dan Segala tanaman serta hartabendanya itupun dibinasakan, lalu Jadilah ia membalik-balikkan kedua tapak tangannya (kerana menyesal) terhadap Segala perbelanjaan yang telah dibelanjakannya pada kebun-kebunnya, sedang kebun-kebun itu runtuh junjung-junjung tanamannya; sambil Dia berkata: "Alangkah baiknya kalau Aku tidak sekutukan sesuatupun dengan Tuhanku!" (Surah al – Kahfi: 32 – 42)

Jidal atau dialog di atas meskipun tidak memberi kesan segera kepada yang bongkak dan sombong tadi, tetapi menjadi pengajaran kepada pendakwah – pendakwah hari ini.

Contoh uslub dakwah di atas menunjukkan kepada kita bahawa hujah yang kuat boleh mematahkan lawan dan senjata dakwah ini sudah lama dipraktikkan. Sekiranya penyampaian yang disampaikan oleh pendebat / pembahas baik, maka akan jelaslah kebenaran dan akan luputlah kebatilan. Inilah metod yang digunakan oleh sebahagian pendakwah hari ini seperti Syeikh Ahmad Deedat r.h, anak muridnya Dr. ‘Abdul Karim Zakir Naik dan sebagainya. Penggunaan metod ini sangat ‘ilmiyah dan amat sesuai untuk menarik golongan elit atasan kepada kebenaran Islam.

3.3.1 Uslub Mujadalah dalam politik semasa

Pendekatan ini lebih sesuai dan memberi kesan dalam situasi ini. Namun, perlu diingatkan kepada para pendakwah sekalian bahawa menyediakan diri dengan ‘ilmu pengetahuan yang tinggi dan menguasai isu – isu semasa sangat penting sebelum berdialog mahupun berdebat. Penguasaan dan pemahaman yang jitu terhadap isi kandungan al – Qur’an dan as – Sunnah menjadi keutamaan bagi pendakwah terutama berhadapan dengan lawan yang juga beragama Islam. Apatah lagi sekiranya lawan tersebut seorang tokoh dalam sesuatu bidang agama akan tetapi gemar memutarbelitkan ayat – ayat Allah SWT dan hadith – hadith Rasulullah s.a.w seperti Astora Jabat, kumpulan Sisters in Islam dan sebagainya.

Situasi yang ada hari ini sangat memerlukan pendekatan dialog dan perdebatan. Pada kebiasaannya, pihak lawan akan cuba mengelak dan mencari pelbagai alasan helah untuk menggagalkan mujadalah. Pendakwah Muslim akan beruntung kerana dia dapat menyampaikan dakwahnya secara terang dan jelas di samping mematahkan hujah lawan sekiranya mujadalah diadakan. Jika berlaku sebaliknya, pendakwah tetap mendapat kemenangan percuma.

Pendakwah Muslim khususnya yang melibatkan diri dalam Siyasah as – Syar’iyyah (politik Islam), akan berhadapan dengan pelbagai dugaan, tuduhan dan fitnah yang berniat buruk terhadap kesucian agama Islam sepertimana fitnah golongan yang berfahaman sekularisme yang mengatakan politik perkara yang asing dalam Islam. Maka, pembelaan dan penjelasan terhadap isu seperti ini sangat perlu supaya maruah Islam tidak tercemar dan masyarakat tidak terkeliru dengan dakwaan ini. Cukuplah diterangkan dengan baik tentang konsep Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur (Negara yang baik dan mendapat pengampunan Tuhan) yang di sebut oleh al – Mawardi dalam al – Ahkam al – Sultaniyyah yang mengemukakan dalil – dalil yang cukup banyak dan kuat dari al – Qur’an dan as – Sunnah yang membuktikan kewajipan mendirikan negara Islam dan menguruskan alam dengan hidayah Islam sehingga terhapusnya fitnah.

4.0 KESIMPULAN DAN PENUTUP

Sesesorang da’i itu perlu menyediakan dirinya deangan persediaan rapi dan selengkapnya sebelum melangkah ke arena dakwah. Persedian ilmu tentang bentuk-bentuk pendekatan yang telah digariskan oleh Allah SWT dan segala yang dipraktikkan oleh baginda SAW dalah menjadi keperluan yang penting dan perlu diambil perhatian. Tersalah langkah, objektif dakwah akan tersasar malah memberi impak negatif bukan sahaja kepada diri da’i itu sendiri, tetapi juga mad’u dan masyarakat sekelilingnya.

Seorang majikan apabila mengendali dan menguruskan syarikatnya akan sedaya upaya mencari idea untuk memberi kepuasan kepada pekerja di bawahnya di samping memastikan produk/servis yang ditawarkan boleh dipasarkan sebaiknya. Begitu juga pendakwah, haruslah berfikiran kreatif dalam mempelbagaikan pendekatan atau uslub dakwah mereka. Mereka juga hendaklah mengetahui dan mengkaji perihal mad’u (orang yang menerima dakwah) supaya tidak tersalah uslub. Kesilapan tidak memahami kehendak mad’u akan mengakibatkan mesej Islam tidak sampai dan menjauhkan mad’u dengan hakikat Islam.

Rasulullah s.a.w adalah contoh unggul kecemerlangan seorang da’ie. Baginda tidak mengatakan sesuatu melainkan orang yang mendengar ucapannya akan tertarik terhadap mesej baginda. Cukuplah 23 tahun perjalanan dakwah baginda menjadi bukti bahawa penggunaan uslub yang tepat, betul dan mudah berjaya menarik pelbagai kabilah dan kaum menyerah diri kepada agama Allah SWT. Mereka bukan sahaja menerima ‘aqidah Islam bahkan sanggup mempertahankan Islam walaupun harta dan nyawa terpaksa mereka korbankan. Hasilnya, Islam berjaya mendirikan tamadun yang hebat dan kuat bermula pada zaman Rasulullah s.a.w, seterusnya di sambung oleh Khulafa’ ar – Rasyidin, Khilafah Umayyah, Khilafah ‘Abbasiyyah dan Khilafah ‘Uthmaniyyah.

Dakwah perlu diteruskan. Para pendakwah perlu menanamkan sifat sabar yang tinggi dalam dirinya. Sekiranya dakwah mereka dihina dan tidak diterima, janganlah terlintas dalam pemikiran mereka bahawa dakwah mereka telah gagal. Manusia hanya mampu berusaha. Sedangkan hidayah hanyalah dari Allah ‘Azza wa Jal. Kepada – Nyalah kita serahkan segalanya.



Rujukan:
- Ma’alim fi manhaj al – Da’wah
- USLUB DA’WAH (Pendekatan Dalam Berdakwah)
Oleh: Prof. Dato Dr. Harun Din

Saturday, September 02, 2006

Belanjawan 2007: Tiada keuntungan kepada rakyat

Fri | Sep 01, 06 | 08:05:40 PM
Oleh Roy Rasul, Salmiyah Harun & Saadon Aksah

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Hrkh) - Pembentangan Belanjawan 2007 di Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini tidak mendatang keuntungan kepada rakyat biasa.

Ini dijelaskan oleh beberapa ahli parlimen yang ditemui di lobi parlimen sebaik saja pembentangan tersebut selesai petang tadi.

Menurut Ahli Parlimen Tumpat, Dato' Kamarudin Jaffar, ini kerana defisit telah berterusan sehingga sekarang.

"Pertama sekali tidak bagus bagi ekonomi negara kerana bajet ini tidak menjanjikan apa-apa keuntungan kepada orang awam berbanding dengan syarikat korporat yang mendapat potongan cukai sebanyak dua peratus," katanya.

Sebaliknya beliau berkata, cukai pendapatan perseorangan tidak dikurangkan.

Katanya, ini adalah kelemahan yang paling besar kerana bajet kali ini dilihat tidak boleh menyelesaikan masalah rakyat khasnya yang berpendapatan rendah.

Malah katanya, Perdana Menteri langsung tidak menyebut sama ada harga petroleum dijamin tidak akan dinaikkan pada tahun 2007 ini.

Begitu juga katanya, rakyat tidak diberi jaminan bahawa kenaikan tol akan dibekukan pada tahun depan.

Selain itu katanya, pemansuhan yuran peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM di semua sekolah kerajaan tidak memberi makna kepada rakyat kerana pelajar yang memasuki universiti tidak diberi jaminan sama ada mendapat biasiswa ataupun Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Kerajaan perlu berusaha sekat inflasi

Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw berkata, walaupun pembentangan belanjawan kali ini melegakan rakyat contohnya yuran peperiksaan sekolah rendah dan menengah dimansuhkan, bagaimanapun ia tidak mencukupi kerana indeks pengguna terus meningkat berbanding tahun lepas iaitu daripada tiga peratus kepada 3.9 peratus sekarang.

"Kita bimbang kerana harga minyak mentah terus meningkat lebih kepada US70 Dolar setong dan juga tekanan kenaikan faedah-faedah barangan lain,"katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan perlu melebihkan usaha untuk menyekat inflasi dan untuk mewujudkan suasana perniagaan yang baik.

Ini katanya, dalam perniagaan sama ada runcit atau pemborang mereka menghadapi tekanan yang berat di atas suasana yanag tidak baik itu.

Kerajaan masih tidak bersungguh bela rakyat

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kubang Krian, Salahuddin Ayub berkata, Belanjawan 2007 ini tidak berjaya untuk melepasi kesusahan rakyat akibat kenaikan harga minyak yang berlaku awal tahun lalu.

"Pada saya ia masih lagi tidak dapat mengeluarkan kesungguhan kerajaan khususnya untuk pembelaan rakyat secara keseluruhannya dengan kadar kenaikan inflasi 3.8 peratus, ini menyukarkan rakyat untuk menikmati kehidupan yang lebih baik," katanya.

Beliau masih lagi berharap bahawa jumlah belanjawan yang dikeluarkan sebanyak RM112.9 bilion untuk anggaran mengurus dan RM46.5 bilion untuk pembangunan akan dapat dicapai jika kerajaan mengamalkan sistem penyampaian lebih baik pada masa akan datang.

Salahuddin juga mengalu-alukan cadangan kerajaan untuk menubuhkan Universiti Darul Naim bagaimanapun projek itu hendaklah dijalankan secepat mungkin.

Sementara itu, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula berkata, kadar pertumbuhan ekonomi negara pada 5.8 peratus (tahun depan) adalah terlalu optimistik dan kerajaan sepatutnya mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya mengambil unjuran itu.

Mengulas tentang hasrat kerajaan untuk menubuhkan Universiti Darul Naim di Kelantan, Wan Azizah berkata, imbuhan seperti itu untuk rakyat sepatutnya berteraskan kualiti bukannya kuantiti jika tidak semakin bertambah jumlah graduan menganggur.

"Kita sepatutnya mengambil langkah memberi pekerjaan daripada cuba untuk menghasilkan banyak lagi graduan," katanya di lobi parlimen sebaik sahaja selesai pembentangan Belanjawan 2007.

Akhirnya tuntutan ekonomi koridor Pantai Timur diberi tumpuan

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman pula menyambut baik belanjawan ini kerana sebahagian tuntutan yang didesak oleh PAS khususnya memajukan ekonomi di koridor Pantai Timur turut diberi tumpuan oleh kerajaan.

Beliau juga gembira dengan keputusan kerajaan menghapuskan yuran peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM bermula tahun depan.

"Langkah ini sangat manfaat kepada penduduk luar bandar khususnya keluarga yang miskin, begitu juga biasiswa kepada mereka yang cemerlang dalam peperiksaan," katanya.

Manakala Ahli Parlimen Pendang, Dr Mohd Hayati berkata walaupun belanjawan kali ini memberi faedah kepada penduduk kawasannya dengan kelulusan untuk membina hospital namun ia agak terlambat kerana sesudah empat musim pilihan raya baru kerajaan bersetuju untuk mendirikannya.

Dalam pembentangan petang tadi, Abdullah mengumumkan peruntukan Belanjawan 2007 adalah sebanyak RM159.4 bilion dengan RM112.9 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus (naik 11.6 peratus), dan RM46.5 bilion untuk peruntukan pembangunan (naik 31 peratus).

Sementara Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dianggarkan berkembang pada kadar 5.8 peratus.

Manakala, defisit berkurangan dari 5.7 peratus pada 2000 kepada 3.8 peratus pada 2005, kepada 3.5 peratus daripada KDNK pada tahun semasa. - mks.

Wednesday, August 30, 2006

Sajak Syed Qutb

Saudara

seandainya kau tangisi kematianku
dan kau sirami pusaraku dengan air matamu
maka di atas tulang-tulangku yang hancur luluh
nyalakanlah obor buat umat ini
teruskanlah perjalanan ke gerbang jaya

Kematianku adalah suatu perjalanan mendapatkan kekasih
yang sedang merinduiku
bahagialah hidupku di alam syurga
biarlah rohku terbang mendapatkan rindunya
janganlah gentar berkelana di alam abadi
nun di sana fajar memancar...

Semoga Allah Menempatkannya Dalam Golongan Syuhada

Tuesday, August 29, 2006

Mengenang 40 thn kesyahidan Syed Qutb.

Oleh Fatimahzahra.

Tanggal 29 Ogos 2006 genaplah 40 tahun kesyahidan Asy-Syahid Syed Qutb di tali gantung Regim Jamal Abdul Nasir. Syed Qutb digantung bersama 2 orang lagi rakan seperjuangannya dalam Ikhwan Muslimun pada pagi Isnin 29 Ogos 1966.

Kebimbangan dan ketakutan yang melanda bukan sahaja buat Regim Jamal Abdul Nasir tetapi juga buat Imperialis Barat ketika itu. Imperialis Barat amat takut dan bimbang terhadap pemikiran- pemikiran tajam Syed Qutb yang menghancur-leburkan Ideologi Sesat Barat dan Komunisme Timur, serta kemampuan beliau mengemukakan 'gagasan Islam' dengan jelas dan mantap ke dalam ummah. Kemampuan beliau telah menyeret Regim Mesir dengan desakan Imperialis mengambil tindakan 'kejam' menggantung Mujahid Agung Islam abad ini.


Sejarah Hidup Syed Qutb:-

(1) Tahun 1906:-

Syed Qutb dilahirkan di Daerah Assyut, Mesir. Berkat didikan ibubapa, beliau telah menghafaz seluruh AlQuran sejak kecil lagi. Beliau melanjutkan pelajarannya ke Darul Ulum (sekarang Universiti Qaherah) sehingga berjaya mendapatkan ijazah dalam bidang sastera (Pendidikan).

Selepas tamat pengajian, beliau ditawarkan mengajar di Darul Ulum. Selepas beberapa tahun di situ, beliau dilantik menjadi 'Nazir' sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran Mesir. Kementerian Pelajaran Mesir telah menghantar beliau ke Amerika Syarikat selama 2 tahun untuk mengkaji sistem pendidikan dan latihan moden yang ada di sana .

Pengalaman singkat (ringkas) beliau berhubung dengan budaya Barat membolehkan beliau mendalami pemikiran-pemikiran dan sosio budaya orang-orang Amerika dan Barat sendiri. Syed Qutb berpeluang melihat sendiri betapa runtuhnya pemikiran dan budaya Barat.

Kembalinya dari Amerika, beliau mula berjinak-jinak dengan Ikhwan Muslimun dan akhirnya menyertai gerakan Islam itu pada tahun 1945.

(2) Tahun 1945:-

Syed Qutb menyertai gerakan Islam Ikhwan Muslimun.

(3) Tahun 1954:-

Ikhwan Muslimun melantik Syed Qutb sebagi Ketua Pengarang Majalah Al-Ikhwan Muslimun. Tetapi majalah ini hanya dapat dikendalikan oleh beliau selama 2 bulan sahaja kerana pada bulan September 1954, majalah itu diharamkan penerbitannya oleh Regim Jamal Nasir.

Regim Mesir ketika itu mengambil langkah kekerasan terhadap gerakan Ikhwan dan menangkap ribuan pendukungnya termasuk Syed Qutb. Penyiksaan yang 'teruk' terhadapnya menyebabkan Syed Qutb menderita penyakit yang 'teruk' di dalam penjara.

(4) Tahun 1955:-

Pada Julai 1955, Syed Qutb telah dijatuhkan hukuman 15 tahun penjara dengan 'kerja berat' oleh Mahkamah Rakyat Mesir.

Semasa di dalam tahanan inilah, Jamal Abdul Nasir telah menawarkan pembebasan terhadap beliau dengan syarat Syed Qutb menulis 'pernyataan' memohon maaf kepada Regim Jamal Abdul Nasir. Tetapi tawaran tersebut ditolak oleh Syed Qutb dengan kata-kata yang amat bermakna dan berharga buat setiap pendukung Islam di sepanjang zaman. Kata Syed Qutb:

"Aku merasa hairan dengan mereka yang mahukan manusia yang ditindas dan dizalimi berlutut memohon kepada penzalim dan penindas itu. Demi Allah, kalaupun dengan perkataan itu dapat menyelamatkan aku daripada tali gantung sekalipun, sesekali aku tidak akan mengucapkannnya. Aku lebih rela kembali menemui Allah dalam keadaan Ia meredhai aku dan aku meredhaiNya"

(5) Tahun 1964:-

Syed Qutb dibebaskan apabila Jamal Abdul Nasir memenuhi permintaan Presiden Iraq yang meminta supaya Syed Qutb dibebaskan. Pembebasan itu dilakukan oleh Jamal Abdul Nasir kerana beliau ingin menjalin hubungan baik dengan Iraq .

Tetapi tidak sampai 1 tahun dari pembebasan itu, Syed Qutb ditahan kembali dengan tuduhan ingin merampas kuasa dan menggulingkan kerajaan dengan mengggunakan kekerasan. Turut ditangkap bersama beliau ialah adik-adiknya Muhammad Qutb, Hamidah Qutb, Aminah Qutb dan puluhan ribu anggota Ikhwan Muslimun yang lain.

(6) Tahun 1966:-

Syed Qutb bersama rakan-rakan seperjuangannya iaitu Muhammad Yusof Hawwash dan Abdul Fatah Ismail telah dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tentera Mesir.

Pagi Isnin 29 Ogos 1966,
Asy-Syahid Syed Qutb telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati!!!