Friday, October 20, 2006

Perutusan Aidilfitri Ketua Dewan Ulama PAS & Anwar Ibrahim

Perutusan Aidilfitri Ketua Dewan Ulama PAS Fri | Oct 20, 06 | 12:19:56 PM
Oleh Harakahdaily

DEWAN Ulama PAS Pusat mengucapkan Selamat Aidilfitri kepada seluruh umat Islam dunia. Aidilfitri merupakan ibadat dan tidak sepatutnya dicampur-adukkan dengan unsur-unsur negatif.

Dewan Ulama menyeru supaya umat Islam tidak melakukan amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam dalam sambutan Aidilfitri yang suci itu.

Umat Islam jangan mencampurkan amalan hari raya dengan berkongsi raya dengan sambutan Deepavali yang kebetulan berdekatan dengan sambutan Aidilfitri.

Semoga ibadat puasa yang kita lakukan diterima oleh Allah SWT, diampunkan dosa kita dan diselamatkan kita daripada api neraka.

Dato' Haji Haron Taib


Perutusan Aidilfitri Dato' Seri Anwar Ibrahim
Fri | Oct 20, 06 | 02:29:16 PM
Oleh Anwar Ibrahim

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada umat Islam keseluruhannya.

Sudah sebulan kita menjalani ibadah puasa. Bulan Ramadan mempunyai signifikan yang cukup besar, melatih umat Islam untuk berkorban dan mengekang keinginan kita, sekali gus memperkukuhkan akidah kita. Ia seharusnya memperkuatkan iltizam dan semangat kita untuk meneruskan perjuangan.

Justeru, Aidilfitri ini seharusnya dirayakan sebagai kejayaan mengharungi Ramadan, diraikan dengan rasa penuh syukur dan tawaduk kepada Allah SWT. Usah kita lupakan nasib golongan yang kurang bernasib baik berbanding kita dalam melalui hari lebaran ini.

Islam telah mengajar kita untuk cintakan kebenaran, keadilan dan kedamaian. Saya menyeru agar muslimin dan muslimat akan dapat menghayati nilai-nilai ini dalam menghadapi cabaran hari ini.

Selamat Menyambut Aidilfitri 1427 Hijrah. Maaf zahir dan batin.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilham.

No comments: