Tuesday, October 24, 2006

Perutusan Aidilfitri Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

DEWAN Pemuda Pas Pusat mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri Mubarak kepada seluruh warga Dewan Pemuda Pas dan keseluruhan umat Islam di negara ini. Kita mengharapkan kedatangan Syawal yang mulia ini akan memperkukuhkan keazaman dan iltizam kita kepada perjuangan Islam yang kita dukungi selama ini.


Di sebalik kegembiraan dan kesyukuran, jangan lupa kepada nasib dan keadaan yang sedang melanda sahabat dan saudara kita yang sedang menghadapi perjuangan yang lebih getir khususnya di Palestin, Lubnan, Afghanistan, Iraq dan seluruh dunia Islam umumnya.

Kita mestilah memperingatkan diri, keluarga serta masyarakat tentang ancaman yang menggugat masalah aqidah dan hak umat Islam hari ini.

Segala percubaan serius untuk memurtadkan umat Islam dan serangan golongan “Islam liberal” mestilah kita hadapi dan garapi dengan penuh keberanian dan tanggungjawab.

Segala usaha dan percubaan Dewan Pemuda Pas untuk melaksanakan “engagement” dengan mana pihak yang bersedia untuk bersama perjuangan kita diharapkan dapat dipertingkatkan demi mempamerkan keluasan dakwah kita terhadap manusia keseluruhannya.

Saya yakin akan keupayaan kita semua untuk menjayakan misi utama Dewan Pemuda Pas Pusat untuk menjadi “Duta Penyelamat dan Kasih Sayang” supaya golongan belia dan remaja ini dapat kita dekati dengan penuh hikmah dan bijaksana.

Dewan Pemuda Pas Pusat sekali lagi memohon kemaafan di ats segala keterlanjuran semasa kami melaksanakan tugas dan tanggungjawab perjuangan ini , maaf zahir dan batin. Mudah-mudahan Allah SWT akan mengurniakan kekuatan dan keberkataanNya kepada kita semua.

Salahudin Ayub
Ketua Pemuda PAS Pusat

No comments: