Ramadan adalah bulan bengkel untuk umat Islam membaiki nafsu masing-masing. Daripada nafsu amarah bis su', bertukar menjadi nafsu lawwamah dan seterusnya menuju kepada nafsu mutmainnah. Sebuah motokar boleh dihantar ke bengkel, tetapi nafsu kita tidak boleh secara berpanjangan dipantau dan diselenggara oleh ibu bapa, polis, Badan Pencegah Rasuah, ustaz atau Tok Guru selama-lamanya. Perlu tiap suatu masa daripada hidup kita, di mana nafsu kita hendaklah dikendali dan diselenggarakan oleh diri kita sepenuhnya.
Dalam menjalani kehidupan, anak-anak kita banyak menghadapi gangguan untuk mencapai cita-cita. Jika mahu ke universiti sekalipun, gangguan dalam bentuk kesihatan, kecerdasan dan kewangan boleh mengganggu kelancaran mereka.
Bagaimanapun, untuk menuju ke akhirat, manusia tidak langsung terganggu. Suka atau tidak suka, masing-masing diseret ke akhirat. Manusia akan mati dan memasuki alam kubur. Sesungguhnya jalan hidup dan cara hidup yang dipilih di dunia, sama ada beriman atau munafik atau kufur. Pilihan itulah yang akan menentukan nasib seseorang sama ada ia akan menuju ke syurga atau ke neraka.
Sebab itu, kita semua mestilah berhati-hati dan beringat-ingatlah dalam menjalani kehidupan ini. Kita mesti memahami dan menghayati sepenuhnya, segala butiran akujanji kita dengan Allah SWT yang selalu kita ucapkan baik dalam sembahyang mahupun di luar sembahyang, iaitu: "Sesungguhnya sembahyangku, dan semua ibadatku, semua aktiviti hidupku dan kesudahan matiku digunakan untuk mendekatkan diriku kepada Allah, Tuhan yang memelihara sekalian alam."
Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS
Tuesday, October 24, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment