Friday, September 29, 2006

FIQH AMAL ISLAMI

Dewasa ini, kita seringkali mendengar, melihat dan direncanakan dengan pelbagai bentuk program dan aliran tentang usaha-usaha keIslaman (‘amal Islami). Namun, malangnya tidak semua aliran tersebut mengikut prinsip-prinsip yang benar dan sihat. Situasi seumpama ini boleh mengaburi sesebuah gerakan yang akhirnya memberi impak yang negatif kepada para pejuangnya.

Di sini, ‘kefahaman’ adalah suatu perkara utama dalam setiap tindakan terutamanya dalam melaksanakan sesuatu gerakkerja agar setiap yang terlibat mampu berfikir, menilai dan seterusnya mencetuskan keputusan dan amal yang selari dengan kehendak Islam.

1.0 BAGAIMANA MEMAHAMI ISLAM

Pada dasarnya, sebagaimana yang kita maklum, Islam itu bermaksud sejahtera yang membawa erti tunduk dan patuh kepada perintah Maha Pemerintah dan laranganNya tanpa batahan. Dalam usaha memberi kepatuhan tersebut, sudah pasti perlu mengenal Tuhannya dan sifat-sifatNya dan ini sebenarnya telah mebuka gelanggang ilmu dan amal yang tiada pilihannya melainkan jalan yang benar dan lurus.

Islam begitu cantik dan unik sehingga mampu mencakupi seluruh ruang lingkup kehidupan manusia. Baik dari sudut akidah, ibadah, syariat, muamalat dan sebagainya, dari seorang individu hinggalah ke peringkat negara dan daulah. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya” . (Surah al-Baqarah, ayat 208)

Maka usaha membetulkan pemahaman asas seperti akidah dan ibadah ini perlu dilakukan secara konsisten supaya kita sentiasa berada di putaran roda Islam tersebut.

Selain itu, adalah amat penting memahami bahawa Islam itu didasari dan mendasari setiap sesuatu melalui al-Quran, as-Sunnah, al-Ijma’ dan al-Qias. Ia adalah rujukan paling utama. Sesiapa sahaja yang menolak apa-apa daripadanya tidak patut dipatuhi. Manakala pemimpin yang tidak bercanggah dengan prinsip dari sumber-sumber tersebut, perlu dihormati dan ikuti sekalipun berbeza dengan pendapat sendiri. Firman Allah SWT:

"Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul(Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, Maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Qu'ran) dan (sunnah) Rasul(Nya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian..." (Surah an-Nisa' ayat 59)

Seterusnya, sebagai Muslim yang belum mencapai martabat ijtihad, kita tidak digalakkan membicangkan secara serius tentang perkara-perkara furu’. Sebagai contoh, tentang masalah pembacaan doa Qunut di dalam solat Subuh. Di sini kita perlu jelas dan mempertahankan yang wajib dahulu iaitu solat itu sendiri. Sikap terlalu membicarakan tentang hal-hal furu’ sebegini hanya akan mengundang perselisihan yang boleh merobohkan persaudaraan Islam.

Dalam masalah ‘kafir-mengkafir’ pula, kita perlu faham bahawa tidak boleh mengkafirkan seseorang yang mengucap dua kalimah syahadah selama mana ia beramal dengan tuntutan dan kehendak dua kalimah syahadah itu dan selama mana ia tidak mengeluarkan kata-kata yang menjadikan seseorang itu terkeluar daripada Islam atau ia mengingkari sesuatu yang diketahui secara dharuri atau secara mudah dan tidak payah berfikir di dalam Islam. Misalnya, mengingkari haramnya ‘arak’ atau ia mengingkari seperti wajibnya menjalankan syariat Islam dalam pemerintahan negara atau selama mana ia tidak melakukan perbuatan yang boleh jatuh kufur, seperti ia menyembah berhala atau seperti ia menghina kitab suci al-Quran al-Karim. Disebut dalam sebuah hadis:

Abdullah bin Umar r.a: Sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda: Apabila seseorang mengkafirkan saudaranya, maka ucapan mengkafirkan itu akan kembali kepada salah seorang di antara keduanya iaitu yang berkata atau yang dikata. - Hadith Sahih dari Imam Muslim

2.0 ‘AMAL ISLAMI DALAM PERJUANGAN ISLAM

Dalam usaha memberi kefahaman Islam, pasti akan ada susur galur jalan yang perlu diikuti dan tempuhi serta hakikat tersebut perlu dihadam dalam setiap langkah perjuangan.

Islam berkembang dan terserlah dengan adanya mata rantai-mata rantai pejuang yang cintakan Allah. Ia bermula sejak Nabi Allah Adam a.s sampailah kepada perjuangan Nabi Muhammad SAW yang disambung semula secara terus-menerus oelh para sahabat, tabi’in dan orang-orang yang datang selepas mereka hingga ke hari ini dan hari yang akan datang. Situasi ini jelas dirakamkan dalam Al-Quran:

"Hendaklah ada di antara kalian sekelompok umat yang mengajak kepada kebaikan (Islam) serta menyeru kepada kemakrufan dan mencegah kemungkaran, mereka itulah orang-orang yang beruntung " (Surah Ali-Imran ayat 104)

Sunnatullah juga, dalam usaha menyebarkan risalah Islam ini, akan berlaku muwajahah dengan pihak yang lebih berkuasa dalam masyarakat terutamanya yang mempunyai penyakit di dalam hatinya yang tidak mahu melihat Islam itu bangkit. Mereka ini bukan sahaja menghalang kerja-kerja Islam malah mahu berlawan mempertahankan kekuasaan yang mereka ada. Inilah yang berlaku di dalam kisah perjuangan Nabi Ibrahim a.s yang ditentang oleh Namrud, Nabi Musa a.s ditentang oleh Firaun dan lain-lain. Golongan ini juga menyusun strategi tertentu bagi memastikan pemerintahan mereka tidak tergugat.

Dan perlu diingat bahawa muwajahah yang berlaku ini bukanlah atas dasar hal-hal peribadi tetapi adalah atas faktor pertembungan aqidah dan dasar. Sebagaimana Nabi Muhammad SAW yang disanjung masyarakat Quraish dengan panggilan ‘al-Amin’, akhirnya digelar pula sebagai ahli sihir, gila, pendusta dan lain-lain apabila bermulanya sahaja dakwah baginda.

3.0 GERAKKERJA DALAM ‘AMAL ISLAMI

Setelah kita memahami tentang dasar Islam, memahami tentang apa itu hakikat perjuangan Islam, maka seterusnya kita perlu faham bahawa perlu adanya gerakkerja yang bersepadu dan seimbang dalam memastikan usaha memberikan pemahaman tersebut berjaya dilaksanakan.

Untuk memahami Islam dari sudut ini pula, kita haruslah memerhatikan beberapa ayat yang antara lainnya seperti firman Allah, maksudnya:

“Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka; kamu lihat mereka ruku’ dan sujud mencari kurniaan Allah dan keredhaanNya, tanda-tanda mereka nampak pada muka mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan sifat-sifat mereka dalam Injil, iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya, maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu menjadi besarlah ia dan tegak lurus di atas pokoknya; tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mu’min). Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh di antara mereka ampunan dan pahala besar”. (Surah al-Fath, ayat 29)

Jelas menunjukkan kepada kita bahawa gerakan ini bermula dari seorang individu (dalam konteks ayat di atas ialah nabi Muhammad SAW) yang akhirnya bercambah seorang demi seorang sehingga berhasilnya satu ketumbukan yang kuat dan tegar.

Proses gerakkerja ini kita boleh manifestasikan daripada apa yang lebih awal Rasulullah SAW lalui dulu. Bermula dengan wahyu yang pertama di Gua Hira’, dengan firman Allah maksudnya:

“Bacalah dengan menyebut nama Tuhan engkau yang mencipta”. (al Alaq : 1)
Asasnya di sini, sesuatu gerakkerja Islam itu perlu disandarkan dengan ilmu yang tulen. Melalui ilmulah sesebuah gerakan itu boleh bertahan kerana di samping berdakwah, ahli gerakan juga mampu berjidal secara ilmiah apabila berhadapan dengan pihak musuh. Sebaliknya, sesuatu amal yang tidak didasarkan kepada ilmu akan memberi fitnah semula kepada gerakan kerana tidak mampu memahami dan mengamalkan prinsip yang sebenarnya.

Seterusnya, Allah SWT berfirman:
“Dan berikanlah peringatan kepada keluargamu yang terdekat”.(as- Syu’ara : 214)

Dengan ayat ini, bermulanya dakwah secara rahsia (sirriyah) nabi SAW yang memerintahkannya supaya memberi peringatan dan amaran kepada kaumnya dan mengajak mereka menyembah Allah SWT. Kita dapat melihat bahawa, pada peringkat ini, gerakkerja yang dilaksanakan adalah berdasarkan pemilihan. Penyahut utama terhadap dakwah Nabi SAW ialah isteri baginda sendiri iaitu Saidatina Khadijah r.a., diikuti Saidina Abu Bakar iaitu sahabat karib baginda dan seterusnya.

Usaha ‘amal Islami di peringkat ini adalah melalui keperibadian da’i dan kedudukannya dalam masyarakat. Sikap mudah didekati merupakan satu sifat yang menjamin kekuatan untuk menembusi dan mendekati orang lain.
Setelah itu, gerakkerja ini memasuki era keterbukaan seperti mana Firman Allah, maksudnya:

“Maka berterus teranglah dengan apa yang diperintahkan kepada kamu dan janganlah kamu menghiraukan tindakan golongan musyrikin”. (al-Hijr : 94)
Rasullullah SAW berdakwah kepada masyarakat umum setelah mendapat jaminan daripada Allah SWT. Usaha Islam ini dapat dilakukan dengan adanya bantuan dan sokongan daripada keluarga terdekat yang didakwah oleh baginda sebelum ini. Di sini, kita boleh mengambil iktibar bahawa dakwah kepada keluarga yang terdekat adalah penting demi memastikan kesinambungan gerakkerja yang lebih lancar dan konsisten pada masa akan datang.

Dan dalam usaha menjayakan gerakkerja Islam tersebut, perlu juga ada persediaan yang sempurna dalam semua aspek samada fizikal, mental mahupun material. Ini dalah perlu bagi memastikan para pendokong dakwah tersebut lebih bersemangat dan yakin dalam kerja buat mereka. Sebagaimana saranan daripada Allah SWT, maksudnya:

“Dan siapkanlah untuk mereka kekuatan semampu mungkin”. (al-Anfaal : 60)

Apabila seruan dan kefahaman Islam tersebut disahut beramai-ramai, maka akan berlaku penentangan daripada golongan yang bencikan agama suci ini. Maka individu-individu mestilah mempunyai pemahaman yang jelas, di mana apabila ‘amal islami ini dijalankan secara meluas, hakikatnya ia merupakan langkah yang mendedahkan mereka kepada kesulitan dan seksaan. Mereka ini akan dikecam, ditindas, difitnah, dicaci, dipulau, dibunuh dan lain-lain lagi. Keadaaan inilah yang kita lihat berlaku di Mesir apabila pelbagai tindakan diambil ke atas pimpinan dan ahli Ikhwanul Muslimin yang berusaha memberi dan menyebarkan kefahaman Islam kepada masyarakat. Begitu juga seperti mana yang terjadi di Bosnia, Palestin dan lain-lain.Dan yang terbaru, saudara kita di Lubnan menerima kecaman yang hebat daripada pihak Zionis. Apabila berlakunya situasi sebegini, maka wajib bagi kita mempertahankan kembali kesucian agama kita sebagaimana disebut dalam Firman Allah, maksudnya:

“Diizinkan bagi mereka berperang (untuk melakukan sesuatu tindak balas) kerana mereka telah di zalimi…”. (al-Hajj : 39)

4.0 KESIMPULAN

Dalam merangka sesuatu usaha yang lebih besar hingga ke peringkat menubuh dan menjalankan sebuah gerakan, kefahaman tentang ‘amal Islami adalah merupakan satu prioriti yang tidak seharusnya diabaikan oleh sesiapa pun individu dalam gerakan tersebut. Bermula dari kefahaman yang jelas dan jitu, akan terhasilnya ‘amal Islami yang mantap dan berkesan. Ibaratnya, sepohon pokok yang rendang dan kuat adalah berasal dari sebiji biji benih yang baik dan sihat yang mampu mengadaptasi dirinya dalam semua keadaan di sekelilingnya.

No comments: