Tuesday, October 24, 2006

Perutusan Aidilfitri Mursyidul Am PAS

Ramadan adalah bulan bengkel untuk umat Islam membaiki nafsu masing-masing. Daripada nafsu amarah bis su', bertukar menjadi nafsu lawwamah dan seterusnya menuju kepada nafsu mutmainnah. Sebuah motokar boleh dihantar ke bengkel, tetapi nafsu kita tidak boleh secara berpanjangan dipantau dan diselenggara oleh ibu bapa, polis, Badan Pencegah Rasuah, ustaz atau Tok Guru selama-lamanya. Perlu tiap suatu masa daripada hidup kita, di mana nafsu kita hendaklah dikendali dan diselenggarakan oleh diri kita sepenuhnya.


Dalam menjalani kehidupan, anak-anak kita banyak menghadapi gangguan untuk mencapai cita-cita. Jika mahu ke universiti sekalipun, gangguan dalam bentuk kesihatan, kecerdasan dan kewangan boleh mengganggu kelancaran mereka.

Bagaimanapun, untuk menuju ke akhirat, manusia tidak langsung terganggu. Suka atau tidak suka, masing-masing diseret ke akhirat. Manusia akan mati dan memasuki alam kubur. Sesungguhnya jalan hidup dan cara hidup yang dipilih di dunia, sama ada beriman atau munafik atau kufur. Pilihan itulah yang akan menentukan nasib seseorang sama ada ia akan menuju ke syurga atau ke neraka.

Sebab itu, kita semua mestilah berhati-hati dan beringat-ingatlah dalam menjalani kehidupan ini. Kita mesti memahami dan menghayati sepenuhnya, segala butiran akujanji kita dengan Allah SWT yang selalu kita ucapkan baik dalam sembahyang mahupun di luar sembahyang, iaitu: "Sesungguhnya sembahyangku, dan semua ibadatku, semua aktiviti hidupku dan kesudahan matiku digunakan untuk mendekatkan diriku kepada Allah, Tuhan yang memelihara sekalian alam."

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS

Perutusan Aidilfitri Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

DEWAN Pemuda Pas Pusat mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri Mubarak kepada seluruh warga Dewan Pemuda Pas dan keseluruhan umat Islam di negara ini. Kita mengharapkan kedatangan Syawal yang mulia ini akan memperkukuhkan keazaman dan iltizam kita kepada perjuangan Islam yang kita dukungi selama ini.


Di sebalik kegembiraan dan kesyukuran, jangan lupa kepada nasib dan keadaan yang sedang melanda sahabat dan saudara kita yang sedang menghadapi perjuangan yang lebih getir khususnya di Palestin, Lubnan, Afghanistan, Iraq dan seluruh dunia Islam umumnya.

Kita mestilah memperingatkan diri, keluarga serta masyarakat tentang ancaman yang menggugat masalah aqidah dan hak umat Islam hari ini.

Segala percubaan serius untuk memurtadkan umat Islam dan serangan golongan “Islam liberal” mestilah kita hadapi dan garapi dengan penuh keberanian dan tanggungjawab.

Segala usaha dan percubaan Dewan Pemuda Pas untuk melaksanakan “engagement” dengan mana pihak yang bersedia untuk bersama perjuangan kita diharapkan dapat dipertingkatkan demi mempamerkan keluasan dakwah kita terhadap manusia keseluruhannya.

Saya yakin akan keupayaan kita semua untuk menjayakan misi utama Dewan Pemuda Pas Pusat untuk menjadi “Duta Penyelamat dan Kasih Sayang” supaya golongan belia dan remaja ini dapat kita dekati dengan penuh hikmah dan bijaksana.

Dewan Pemuda Pas Pusat sekali lagi memohon kemaafan di ats segala keterlanjuran semasa kami melaksanakan tugas dan tanggungjawab perjuangan ini , maaf zahir dan batin. Mudah-mudahan Allah SWT akan mengurniakan kekuatan dan keberkataanNya kepada kita semua.

Salahudin Ayub
Ketua Pemuda PAS Pusat

Friday, October 20, 2006

Perutusan Hari Raya Aidilfitri 1427H Presiden PAS

Perutusan Hari Raya Aidilfitri 1427H Presiden PAS

Fri | Oct 20, 06 | 12:42:34 PM

Oleh Harakahdaily BAGI pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri, hari kebesaran kurnia daripada Allah SWT setelah kita menunaikan ibadat puasa dalam masa sebulan, berjihad dan bermujahadah dengan mengerjakan ibadat dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT, melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang.

Ibadat yang melatih kita untuk menjadi orang-orang yang bertakwa kepada Allah Taala. Hanya orang yang bertakwa sahaja yang menjadikan al-Quran sebagai petunjuk dan Allah Taala melakukan nuzul al-Quran pada bulan Ramadan. Al-Quran menjadi petunjuk kepada orang-orang yang beriman dan bertakwa.

Dalam masa yang sama, bagi menegakkan petunjuk ini, kita berdepan dengan cabaran. Al-Quran menjadi furqan, yang membezakan di antara hak dan batil, benar dan salah. Dengan petunjuk al-Quran, kita menegakkan yang benar, menentang perkara yang bercanggah dengan al-Quran.

Dengan semangat tarbiah melalui Ramadan, menjadikan diri kita orang yang beriman, yang bertakwa, yang kuat, yang sanggup menghadapi cabaran selepas Ramadan dengan mendapat pertolongan daripada Allah SWT, walaupun kita dikelilingi oleh musuh-musuh yang ramai yang tidak akan memberi kesempatan kepada Islam untuk tegak semula di bumi Allah ini.

Dengan takwa dan iman yang yang kuat, kita yakin semua musuh itu adalah kecil apabila kita bersama dengan Allah SWT dan Allah SWT memilih pula di bulan Ramadan berlakunya kemenangan kepada umat Islam.

Dalam peristiwa Badar, Fathul Makkah, Ain Jalut dan penawanan Kota Belgrade di Balkan pada zaman Kerajaan Othmaniah dalam keadaan orang Islam dianggap lemah tetapi hati mereka ikhlas menyumbangkan pengorbanan harta benda dan jiwa raga disertakan dengan iman yang kuat, percaya kepada Allah dan percaya kepada janji Allah, dunia dan akhirat. Berbekalkan perkara-perkarta itu, Allah Taala memberikan kemenangan kepada generasi awal Islam.

Saya yakin dan percaya sekiranya umat Islam di zaman kini melaksanakan contoh dan teladan tersebut, mereka juga akan diberikan kemenangan sekali lagi oleh Allah Taala.

Marilah pada kesempatan ini, kita membaharukan semangat untuk meningkatkan lagi kerja dan amal kita dalam meningkatkan ibadah kepada Allah SWT dan menyungguhkan lagi perjuangan kita untuk meninggikan agama Allah supaya agama ini tegak sebagaimana dinyatakan oleh Allah, yang bermaksud:

"Supaya agama ini zahir, menang, mengatasi segala ajaran yang lain walaupun dibenci oleh orang-orang musyrikin." (Surah as-Saff: 9)

Dalam masa yang sama, pada kesempatan ini, marilah kita menguatkan ukhuwah, persaudaraan di kalangan kita dengan ukhuwah iman dan Islam yang menyatukan umat Islam sehingga mereka tidak ada beza di antara satu sama lain. Mereka adalah satu ummah, laksana satu jasad yang bersambung di antara satu sama lain, sama-sama memikul tanggungjawab, bertolong menolong sama ada yang berkait dengan urusan agama dan dunia.

Dalam masa yang sama, membolehkan kita menyampaikan mesej kita kepada seluruh manusia untuk menyatakan bahawa kitalah yang menyelamatkan manusia yang sebenar di dunia dan di akhirat.

Mudah-mudahan dengan semangat ini, kita berjaya menjadi seorang Islam yang diterima oleh Allah SWT dan merealisasikan apa yang diperintahkan oleh Allah, firman-Nya yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam." (Surah Ali Imran: 102)

Sekian, terima kasih.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillah il-hamd.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Perutusan Aidilfitri Ketua Dewan Ulama PAS & Anwar Ibrahim

Perutusan Aidilfitri Ketua Dewan Ulama PAS Fri | Oct 20, 06 | 12:19:56 PM
Oleh Harakahdaily

DEWAN Ulama PAS Pusat mengucapkan Selamat Aidilfitri kepada seluruh umat Islam dunia. Aidilfitri merupakan ibadat dan tidak sepatutnya dicampur-adukkan dengan unsur-unsur negatif.

Dewan Ulama menyeru supaya umat Islam tidak melakukan amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam dalam sambutan Aidilfitri yang suci itu.

Umat Islam jangan mencampurkan amalan hari raya dengan berkongsi raya dengan sambutan Deepavali yang kebetulan berdekatan dengan sambutan Aidilfitri.

Semoga ibadat puasa yang kita lakukan diterima oleh Allah SWT, diampunkan dosa kita dan diselamatkan kita daripada api neraka.

Dato' Haji Haron Taib


Perutusan Aidilfitri Dato' Seri Anwar Ibrahim
Fri | Oct 20, 06 | 02:29:16 PM
Oleh Anwar Ibrahim

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada umat Islam keseluruhannya.

Sudah sebulan kita menjalani ibadah puasa. Bulan Ramadan mempunyai signifikan yang cukup besar, melatih umat Islam untuk berkorban dan mengekang keinginan kita, sekali gus memperkukuhkan akidah kita. Ia seharusnya memperkuatkan iltizam dan semangat kita untuk meneruskan perjuangan.

Justeru, Aidilfitri ini seharusnya dirayakan sebagai kejayaan mengharungi Ramadan, diraikan dengan rasa penuh syukur dan tawaduk kepada Allah SWT. Usah kita lupakan nasib golongan yang kurang bernasib baik berbanding kita dalam melalui hari lebaran ini.

Islam telah mengajar kita untuk cintakan kebenaran, keadilan dan kedamaian. Saya menyeru agar muslimin dan muslimat akan dapat menghayati nilai-nilai ini dalam menghadapi cabaran hari ini.

Selamat Menyambut Aidilfitri 1427 Hijrah. Maaf zahir dan batin.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilham.

FENOMENA MURTAD: ANCAMAN KEPADA FITRAH MUSLIM

KHUTBAH KHAS SEMPENA AIDIL FITRI 1427H
(Selasa, 24 Oktober 2006M)

TAJUK:

FENOMENA MURTAD: ANCAMAN KEPADA
FITRAH MUSLIM

KHUTBAH PERTAMA

اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ * اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ *
اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، * وَِللهِ الْحَمْدُ.

لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الكَافِرُونَ. لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ.
أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْـكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ الْمَبْعُوْثُ رَحْمَةً لِّلْعَالَمِيْنَ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِْينَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، ، أُوْصِيكُم وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ
اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، وَ ِللهِ الْحَمْدُ.


Para Hadirin dan Hadirat yang dirahmati Allah sekelian:

Sempena hariraya aidilfitri yang mulia ini marilah sama-sama kita merakamkan kesyukuran yang tak terhingga kepada Allah di atas segala nikmat yang dianugerahkan kepada kita semua terutamanya nikmat Islam dan nikmat iman. Dalam pada itu marilah kita sama-sama memaksikan satu azam yang tinggi untuk terus kembali kepada fitrah; iaitu Islam, sejajar dengan roh sambutan aidilfitri yang menyarankan kita kembali kepada fitrah Islam dan iman.

Khatib pada kesempatan khutbah hariraya aidilfitri 1427H hari ini akan berkhutbah dibawah tajuk “fenomena murtad: ancaman kepada fitrah muslim masa kini”, satu gejala yang boleh membunuh iman dan islam, kuman yang memusnahkan fitrah muslim yang sama-sama kita dokong di hari raya ini.

Menurut Ibn Taimiyah, murtad bermaksud:

“Bentuk kekufuran yang berlaku selepas Islam bagi sesiapa yang mengsyirikkan Allah atau menafikan rububiahNya atau salah satu daripada sifat-sifatNya , kitab-kitabNya atau rasul-rasulNya”.


Manakala Kamus Dewan pula mendefinisikan murtad dengan maksud:

“Seseorang itu keluar daripada agama Islam samada melalui perbuatan, perkataan atau niat. Orang yang melakukan yang demikian adalah orang yang kafir”

Sementara itu terdapat takrifan lain tentang difinisi murtad yang dilihat lebih relevan dan menepati realiti yang berlaku pada masa kini. Ia dikemukakan oleh Said Hawwa dengan katanya:

“Murtad seseorang itu boleh berlaku dengan seseorang itu tunduk dan patuh kepada orang-orang kafir, redha dengan dasar-dasar yang ditentukan oleh mereka walaupun sebahagian kecil daripadanya. Ini kerana ianya membabitkan soal keimanan dan keyakinan seseorang terhadap ajaran Islam yang datang dari Allah”.

Berdasarkan beberapa paparan definisi murtad sebagaimana di atas, maka dapatlah disimpulkan bahawa apa yang dimaksudkan dengan murtad itu ialah tindakan seseorang yang mukallaf, dengan niatnya sendiri tanpa dipaksa oleh sesiapa atau keadaan tiba-tiba keluar dan menganut agama lain, ataupun bertindak samada melalui iktiqad, perkataan ataupun perbuatan yang bercanggah dengan dasar-dasar Islam.

Proses perpindahan agama itu dinamakan “riddah” dan apabila individu itu mula menganut agama baru atau sesuatu bentuk kepercayaan yang bertentangan dengan Islam maka dia disebut sebagai seorang yang murtad.

Di dalam surah al-Baqarah ayat 217 Allah telah menjelaskan ancaman dan risiko kepada sesiapa yang murtad. Firman Allah (SWT) yang berbunyi:

ومن يرتدد منكم عن دينه فيمت وهو كافر فأولئك حبطت أعملهم في الدنيا والآخرة، وأولئك أصحب النار هم فيها خلدون.

Yang bermaksud:

“Barang siapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya”

اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، وَ ِللهِ الْحَمْدُ.


Para Hadirin dan Hadirat yang dirahmati Allah sekelian:

Tanpa kita menafikan bahawa sejarah murtad telah berlaku semenjak di zaman Rasulullah (SAW). Ia dikesan seawal berlakunya kisah Isra dan Mikraj. Di mana menurut perkiraan sesetengah pihak kedua-dua peristiwa ganjil itu dianggap amat bertentangan dengan lojik akal pemikiran manusia terutama apabila Rasulullah (SAW) dapat sampai ke al-Masjid al-Aqsa di Palestin dari Masjid al-Haram di Kota Mekah dalam tempoh tak sampai sehari semalam, seterusnya naik ke langit dan kemuncaknya bertemu Allah (SWT).

Menurut al-Syahid Syed Qutb, kepada mereka yang terpengaruh dengan hukum alam semata-mata tanpa merujuk kepada kebesaran Allah yang mengatasi segala-galanya maka sudah tentulah peristiwa israk dan mikraj ini mampu menyentap iman seseorang dan akhirnya menjadi murtad. Namun apa yang lebih jelas dari kisah Isra dan Mikraj ialah kejahilan terhadap agama Islam telah mendasari punca sebenar murtad berlaku.

Justeru tidak peliklah jika terdapat kenyataan yang menyatakan bahawa sekarang ini wujudnya kumpulan yang dinamakan “black metal” yang jumlah mereka hampir mencecah 8,000 orang, rata-ratanya melayu Muslim, lantaran kejahilan mereka terhadap Islam telah mula menunjukkan biadap mereka terhadap Islam sehingga sanggup kencing di atas al-Quran, membakar naskhah al-quran, menyalibkan tubuh mereka dengan lambang-lambang salib. Walhal mereka mereka itu beragama Islam. Demi sesungguhnya kita amat rimas dan khuatiri tentang diri mereka kalau-kalau dipenghujungnya menjadi murtad.

Dalam pada itu tinta sejarah juga memaparkan bahawa di antara punca murtad berlaku ialah terpengaruh dengan keseronokan serta cintakan kebendaan sehingga sanggup menjual agama Islam dengan harga yang murah. Fenomena ini pernah berlaku di zaman Rasulullah (SAW) di mana terdapat seorang sahabat Nabi yang bernama Tha’labah bin Hatib al-Ansari. Beliau awalnya amat terkenal sebagai seorang `abid (kuat beribadah) yang sentiasa berulang-alik ke masjid. Di suatu hari beliau meminta supaya Rasulullah s.a.w berdoa kepada Allah untuknya supaya menjadi seorang yang kaya-raya. Setelah memperolehi kekayaan yang melimpah-ruah, Tha’labah enggan mengeluarkan zakat dan berakhir menjadi murtad.

Allah (S.W.T) berfirman:

ومنهم من عهد الله لئن ءاتانا من فضله لنصدقن ولنكونن من الصلحين. فلما ءاتاهم من فضله بخلوا به وتولوا وهم معرضون .

Yang bermaksud:

“Dan di antara mereka ada orang yang telah berikrar kepada Allah: “Sesungguhnya jika Allah memberikan sebahagian kurniaNya kepada kami, pastilah kami akan bersedekah dan pastilah kami termasuk orang-orang yang soleh”. Maka setelah Allah memberikan kepada mereka sebahagian dari kurniaNya, mereka kikir dengan kurnia itu dan berpaling, dan mereka memanglah orang-orang yang selalu membelakangi (kebenaran)”.

Berdasarkan ayat di atas, Ibn Kathir menjelaskan bahawa Allah telah memurkai Tha’labah dan sesiapa saja yang mempunyai sifat tidak mensyukuri dengan nikmat Allah sehingga membawa kepada kekufuran dan seterusnya murtad dari Islam.

Dalam konteks hari ini masalah pengaruh kebendaan telah dikenal pasti sebagai punca murtad berlaku. Fenomena ini menjadi lebih kritikal apabila ia dirancang secara halus oleh massionary kristian dan fanatik hindu. Di mana di antara modus operandi mereka ialah dengan mengumpan belia dan remaja muslim dengan melonggokkan kemewahan harta benda, peralatan berharga seperti pemberian hand-phone berjenama secara percuma, menyediakan kelengkapan spare-part untuk ubahsuai motorsikal bagi golongan remaja & mat rempit, mendampingi pelajar-pelajar yang bermasalah kewangan, menyediakan bayaran perubatan di pusat-pusat perubatan swasta yang mahal, memberikan bantuan makanan-makanan asas dan pelbagai muslihat-muslihat halus yang tidak dicedari, namun hakikat sebenarnya ia merupakan satu tipu muslihat dalam usaha memurtadkan mereka daripada Islam.

اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، وَ ِللهِ الْحَمْدُ.


Para Hadirin dan Hadirat yang dirahmati Allah sekelian:

Seterusnya punca murtad juga berlaku kerana terpengaruh dengan kehidupan jahiliah. Ini dapat dibuktikan apabila ada sekelompok perempuan yang tinggal di Hadramaut telah memeluk Islam di zaman Rasulullah s.a.w. Serentak dengan itu mereka mulai menjalani corak kehidupan sebagai seorang muslim dan mula meninggalkan adat-adat Jahiliah. Akan tetapi apabila mereka mendengar berita kewafatan Rasulullah s.a.w, kebanyakan wanita ini mulai kembali kepada adat-adat Jahiliah seperti menampar pipi mereka masing-masing, mengoyak baju, meraung, menangis dan memukul duf (gendang). Kononnya perbuatan itu dilakukan sebagai tanda kesedihan, kekecewaan dan ratapan di atas kematian nabi s.a.w sedangkan apa yang mereka lakukan itu merupakan adat dan tradisi Jahiliah. Akhir sekali apabila kepimpinan berpindah tangan kepada Abu Bakar al-Siddiq maka perempuan-perempuan tadi terus murtad dari Islam dan kembali semula ke zaman Jahiliah mereka.

Berpandukan fenomena di atas, menjadikan kita yang ada sekarang dalam suasana rimas dan gundah gulana. Ini kerana susana jahiliah di zaman kini lauh lebih sumbing dan kritikal berbanding dengan apa yang terdapat di zaman silam. Daripada satu sumber yang sahih, khatib cuba menyingkap beberapa angka kajian kuantitatif berkenaan dengan beberapa indeks jahiliah, yang menjadi asas keruntuhan jati diri sebagai seorang muslim. Sebagai contoh; Sepanjang tahun 2005, seramai 32 ribu orang penagih dadah telah dikesan di seluruh negara. Mereka terdiri daripada 15 ribu penagih baru dan 17 ribu penagih lama. manakala jumlah penagih berdaftar yang terkumpul di seluruh negara mulai 1988 hingga 2005 adalah seramai 289 ribu orang.

Manakala bilangan penduduk Malaysia yang dijangkiti HIV & AIDS ialah 51 ribu. Seterusnya jumlah pelacur di Malaysia pula dianggarkan seramai 142 ribu pelacur, dimana mereka bukan sahaja beroperasi di bandar-bandar besar semata-mata, tetapi turut beroperasi di kawasan pekan-pekan kecil. Dalam pada itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pula mendaftarkan 70 ribu anak luar nikah bagi tempoh lima tahun iaitu daripada 1999 hingga 2003. Berdasarkan statistik mengikut agama, anak luar nikah orang Islam adalah yang paling ramai didaftarkan iaitu 30 ribu orang. Daripada paparan di atas, apakah yang mengamankan hati kecil kita untuk berkata bahawa kumpulan-kumpulan ini masih terus mampu menjaga akidah mereka dari dipesongkan? Apakah mereka mampu menongkah arus murtad yang datang bagaikan thunami di hadapan mereka? Sedangkan kepincangan akhlak dan moral sebagaimana paparan di atas adalah berpunca daripada kemelesetan akidah. Justeru kumpulan-kumpulan di atas amat berpotensi untuk di penghujungnya menjadi murtad dari Islam seandainya keadaan terus berlarutan.

Menyingkap fenomena-fenomena di atas, tidak pelik apabila Mufti Kerajaan Negeri Perak; Shohibul Samahah Dato Seri Harussani Zakaria memberitahu kini terdapat hampir 250 ribu umat Islam murtad di Malaysia, termasuklah di antara mereka 100 ribu orang Melayu yang mengistiharkan keluar agama Islam. Manakala katanya lagi 100 ribu orang lagi sedang membuat permohonan menunggu murtad. Ini tidak termasuk dengan individu yang langsung tidak solat, tidak berpuasa dan yang menentang hukum Islam, di mana kesemua mereka ini semestinya diragui akan tahap keislaman dan keyakinan mereka terhadap Islam itu sendiri.

Seterusnya kitaran ganas murtad mulai menjadi semakin parah apabila murtad bukan sahaja meragut akidah si jahil semata-mata, tetapi mula memamah iman seseorang yang sudahpun memiliki asas agama. Jangan kita lupa kepada seseorang yang bernama Noraisyah binti Hj Bukhari yang akhirnya menjadi murtad. Beliau adalah seorang muslimah yang lahir dari keluarga yang kuat beragama, beliau seorang yang bukan sahaja mahir membaca al-Quran tetapi mampu menghafaz surah yasin, manakala bapanya adalah seorang guru agama. Namun berakhir dengan murtad. Begitu juga dengan kes Siti Mariam binti Mohd Ismail, beliau awalnya seorang wanita Islam yang memakai tudung labuh sebagai lambang kewarakannya, namun berakhir dengan murtad.

Keadaan nasib akidah umat Islam semakin kritikal apabila kumpulan fanatik Hindu turut bertindak ganas dan samseng sehingga sanggup bertindak memukul seseorang yang mahu menyelamatkan akidah seseorang. Ini boleh dirujuk dalam kes Hartinah binti Hj. Kamarudin, dimana beliau bukan sekadar dimurtadkan oleh sekumpulan fanatik hindu, tetapi sanggup pula membelasah ayahnya sehingga separuh mati lantaran mahu menyelamatkan akidah anaknya yang dimurtadkan.

اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، وَ ِللهِ الْحَمْدُ.


Para Hadirin dan Hadirat yang dirahmati Allah sekelian:

Seterusnya thunami murtad semakin menggila di negara kita apabila cuba menyerang sistem perundangan malaysia untuk akur kepada sseorang yang mahu murtad dari Islam tanpa dikenakan apa-apa tindakan undang-undang. Untuk itu, Kumpulan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) dan Kumpulan Artikel 11 kini mula bergerak aktif dengan mengadakan seminar dan forum rakyat bagi mencambahkan kekeliruan ummah berhubung dengan hak kebebasan beragama. Malah lebih jauh, apabila mereka jua turut memperjuangkan agar semua kes, termasuk kes agama seperti murtad dan sebagainya, tidak lagi dibicarakan di Mahkamah Syariah tetapi di mahkamah Sivil. Kumpulan IFC, dalam objektif penubuhan mereka jelas menunjukkan perjuangan mereka ke arah memurtadkan ummat Islam di Negara ini. Amat malang sekali wujudnya di kalangan penggerak kumpulan-kumpulan kebebasan beragama ini adalah terdiri daripada mereka yang mengaku berpegang beragama Islam. Ini terserlah melalui beberapa tuntutan mengarut yang dipinta oleh mereka, antaranya;

1. Seseorang anak yg dilahirkan oleh Ibubapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam
2. Orang–orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam, hendaklah memberi kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang
3. Sebarang kes pertukaran agama seseorang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh Mahkamah Syariah tetapi dikendalikan oleh mahkamah Sivil
4. Tidak perlu dicatatkan di dalam kad pengenalan seseorang Muslim bahawa ia beragama Islam.
5. Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang
6. Seseorang atau pasangan suami Isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak
7. Orang-orang yang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang yang memeluk Islam, hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya
8. Kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah-rumah ibadat orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang sama untuk masjid. Kerajaan juga perlu membenarkan pembinaan rumah-rumah ibadat orang bukan Islam tanpa perlu adanya peraturan tertentu
9. Orang–orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya
10. Bibel dalam bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia sepatutnya dibenarkan untuk diedarkan secara umum secara terbuka
11. Pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar di semua sekolah
12. Program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam pula hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing–masing.
13. Orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang-orang bukan Islam.
14. Sepatutnya Islam tidak disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.

Dalam menrialisasikan 14 perkara di atas, detik kini sedang tertumpu kepada penghakiman kes bekas seorang muslimah kita yang bernama Saudari Azlina binti Jailani, iaitu seorang anak Melayu yang telah dimurtadkan oleh kekasihnya menjadi Kristian, dan telah menukarkan nama beliau kepada Lina Joy. Seandainya beliau menang dalam kes permohonannya untuk murtad dan membuang status Islam daripada kad pengenalannya, bermakna satu demi satu apa yang disebutkan di atas akan datang merempuh dan memulas akidah kaum muslimin di Malaysia yang sememangnya sudah sedia rapuh. Apakah dikala itu bermulanya titik mula kepada hilangnya Melayu Islam di Malaysia? Kes murtad beliau mendapat perhatian serius satu dunia yang dikepalai oleh negara Amerika Laknatullah & sekutunya yang mengumpulkan pelbagai dana dan perkhidmatan guaman untuk memastikan mereka berjaya mempengaruhi sistem perundangan di Malaysia, dan seterusnya berjaya menreliasasikan kesemua 14 perkara yang disebutkan di atas. Namun kita sebagai seorang umat Islam, dimanakah kita di dalam menghadapi dan menghalang perkara seperti ini dari terus berleluasa???

Sesungguhnya samada kumpulan artikel 11, maupun IFC, mereka sebenarnya telah mengeksploitasi Perlembagaan Persekutuan dalam perkara 3(1), Perkara 11, Fasal (1) bab kebebasan beragama di Malaysia untuk menyokong gerakan terkutuk mereka.

Peruntukan undang-undang Perkara 11, Fasal (1) berbunyi;

“Setiap orang adalah berhak menganut dan mengamalkan ugamanya”

Manakala perkara 3 (1), pula menjelaskan:

“Agama Islam adalah ugama bagi Persekutuan, tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”

Umum mengetahu bahawa isu yang paling besar di sebalik ungkapan dan kod perundangan ialah bagaimana menafsirkan undang-undang yang termaktub. Maka di sini timbul satu kemushkilan besar iaitu kenapa perkara 3(1) dan Perkara 11, Fasal (1) ditafsir secara pemikiran barat maupun secara sekuler dan bukan secara Islam. Di mana keadaan ini sudah pasti akan berpihak kepada pengacau-pengacau yang sememangnya anti kepada agama Islam. Dua tokoh penggubal undang-undang Inggeris terkenal iaitu Sheridan dan Groves telah menafsirkan bahawa perkara 3 (1) dalam perlembagaan Persekutuan hanyalah menentukan bahawa adat istiadat dan upacara persekutuan hendaklah dibuat mengikut adat istiadat Islam dan ia tidak melibatkan pemakaian undang-undang Islam di peringkat persekutuan

Sedangkan dalam masa yang sama tokoh-tokoh perundangan di Malaysia telah membuat penafsiran yang lebih Islamik dan relevan dengan status Malaysia yang sering dilebalkan konon-kononnya sebuah negara Islam. Umpamanya Bekas Ketua Hakim Negara, Hakim Hashim Yeop Sani dalam tulisannya mengulas dengan mengatakan:

“Saya menentang keras pendapat ini kerana tidak berdasarkan kepada apa-apa penulisan dalam perlembagaan. Oleh sebab perkara 3(1) dan Perkara 11, Fasal (1) Perlembagaan ini sangat jelas dan tidak boleh diputar-belit lagi bahawa agama negara ini ialah Islam, maka mana-mana tafsiran yang mewujudkan satu percanggahan di antara dokumen ciptaan manusia (perlembagaan) dengan perintah Allah (al-Qur’an dan al-Sunnah) maka tafsiran itu tidak dipakai.

Pendapat yang hampir sama dikemukakan oleh Allahyarham Prof. Ahmad Ibrahim (tokoh pengamal undang-undang yang terkenal) dalam masalah ini beliau menegaskan bahawa konflik yang berlaku sehingga menyempitkan peranan Islam dalam menaungi sistem perundangan di Malaysia adalah berpunca daripada sikap sesetengah di kalangan umat Islam sendiri yang masih menerima penafsiran penjajah yang bermatlamat untuk mengekalkan sistem sekuler. Persoalannya kenapa kita umat Islam harus terus terikat dengan kedudukan penjajah, sedangkan kita sudahpun mengecapi kemerdekaan. Sebaliknya peruntukan perlembagaan yang sedia ada sebenarnya sudah cukup untuk dijadikan asas kepada penguasaan Islam dalam sistem perundangan di Malaysia. Namun malang sekali apabila kita memaksa diri kita sendiri untuk diikat dengan tafsiran yang diambil oleh pihak penjajah. Apakah ini yang dimaksudkan penjajahan era baru yang dimainkan oleh anak-anak watan sehingga menjerut leher akidah bangsanya sendiri???

Inilah persoalan-persoalan yang menghantui umat Islam di Malaysia hari ini yang memerlukan kita berfikir secara lebih serius. Oleh itu marilah kita sama-sama jadikan permasalahan yang dikhutbahkan ini sebagai satu tanggungjawab bersama yang mesti ditangani. Mudah-mudahan dengan kepekaan dan prihatin kita kepada permasalahan ummah akan mempercepatkan pertolongan daripada Allah demi menyelamatkan ummah dari ambang kebinasaan.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِيْ القُرْءَانِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنِيْ وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ، إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيمٌ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْن وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.



KHUTBAH KEDUA

اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ *
اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ * اَللهُ أَكْبَرُ،
اَللهُ أَكْبَرُ كِبِيرًا، وَالْحَمدُ ِللهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكرَةً وَأَصِيلاً، لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إيَّاهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ.

اَلحَمْدُ ِللهِ وَأَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْـكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ الَّذِيْنَ فَازُوْا بِالْجَنَّةِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيُّهَا الْمُسْلِمُوْنَ، اِتَّقُوا اللهَ حَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَقَدْ فَازَ المُتَّقُونَ.
اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، وَللهِ الحَمد.

Dalam menangani masalah murtad yang dibincangkan pada khutbah pertama tadi, maka khatib ingin menegaskan bahawa tanggungjawab menyelesaikan masalah ini merupakan satu tanggungjawab bersama yang mesti dipikul secara bersepadu & kolektif. Di peringkat individu mestilah berusaha memperkasa dan terus meningkatkan prestasi keimanan di lubuk hati masing-masing. Manakala di peringkat keluarga pula, ibu dan bapa wajib memainkan peranan mereka sebagai murabbi; yakni pentarbiyyah kepada anak-anaknya. Pengenalan pertama yang perlu diberikan kepada anak-anak kiata adalah pemahaman & pemantapan aqidah itu sendiri, melampaui dari segala ilmu-ilmu duniawi yang kita bekalkan kepada mereka. Sedarlah wahai ibu dan bapa sekelian! Bahawa masalah besar yang dihadapi oleh sebilangan anak remaja ialah kemelesetan jati diri sebagai warga muslim, kebejatan akhlak dan moral, kegersingan ilmu pengetahuan tentang Islam, serta pengaruh-pengaruh luar yang merosakkan mereka seperti budaya berhibur yang melampau batas, kongkongan media massa yang liberal dalam memaparkan adengan-adengan lucah dan tak bermoral serta sogokan untuk hidup enjoy semata-mata. Justeru, jadikanlah barah-barah yang disebut ini untuk dirawat di peringkat keluarga.

Manakala di peringkat pihak berkuasa dan kerajaan pula hendaklah menyedari bahawa kuasa yang ada pada kamu sebagai pemerintah di dalam negara Malaysia merupakan amanah begitu tinggi daripada Allah (SWT), justeru melaksana syariah dalam sistem pemerintahan merupakan tanggungjawab & jawapan yang paling lunak dan tepat didalam menyelesaikan masalah murtad dan apa jua masalah yang menjadi labialiti ummat Islam masa kini, termasuk masalah ekonomi, sosial, pendidikan dan seumpamanya. Inilah makna kepada firman Allah (SWT) yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu menurut kehendak hawa nafsu mereka dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkan kamu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah ke atas kamu”.
(Terj. Surah al-Ma’idah (5):49)

Firman Allah lagi yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah maka mereka itulah orang-orang kafir”.
(Terj. Surah al-Ma’idah (5):44)

Manakala Rasulullah (s.a.w.) bersabda yang bermaksud:

“Dengar dan taatlah ketua kamu sekalipun dia hanyalah seorang hamba Habsyi, selagi mana di menegakkan ajaran kitab Allah (syariah) pada kamu semua”.

Para Hadirin dan Hadirat yang dirahmati Allah sekelian:

Yusuf al-Qaradawiy dalam mengulas ketiga-tiga nas di atas menjelaskan bahawa pihak berkuasa yang diberi amanah memegang tampok pemerintahan wajib melaksanakan syariah Islam dalam pemerintahannya demi menyelesaikan sebarang konflik yang berlaku. Seandainya mereka ini terus bebal dan enggan tunduk kepada syariah Allah, maka menjadi tanggungjawab & amanah setiap warga muslim untuk memilih dan menggantikan dengan kepimpinan yang lebih baik dan bertanggungjawab, terutamanya kepimpinan yang mengistiharkan diri mereka ingin kembali merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah sebagai teras panduan. Ini tidak lain dan tidak bukan demi kebaikan umat Islam dan survival mereka di masa-masa yang akan datang.

اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، وَللهِ الحَمْدُ.

إِنَّ اللهَ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ، يَاأَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيْمًا. اَللّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِى العَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

اَللَّّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ. إِنَّكَ سَمِيْعٌ قَرِيْبٌ مُجِيْبُ الدَّعْوَاتِ وَقَاضِىَ الْحَاجَات.
رَبَّنَا افْتَحْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ قَوْمِنَا بِالْحَّقِ وَأَنْتَ خَيْرُ الْفَاتِحيْنَ. رَبَّنَا لاَتُزِعْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبَ لَنَا مِنْ لَّدُنْكَ رَحْمَةَ إِنَّكَ أَنْتَ الوَهَّاب.
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَهً وَفِى اْلأَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار.

عِبَادَ اللهِ, إِنَّ اللهَ يَأمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ, وَإِيْتَاءِ ذِى الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنْكَرِ وَالبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ.فَاذْكُرُوا اللهَ العَظِيْمَ يَذْكُرُكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَر. واللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُوْنَ.



Kajian & penyediaan teks oleh;

DR AZHAR BIN YAAKUB
Front Bertindak Anti Murtad (FORKAD)

Thursday, October 05, 2006

Jika Musharraf boneka AS, Abdullah pula bagaimana?

Tue | Oct 03, 06 | 02:28:53 PM Harakahdaily.Net

Oleh Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat

Saya tidak terkejut sedikit pun dengan pendedahan Musharraf dalam memoir terbarunya berjudul 'In The Line Of Fire'. Pertama, CIA telah menyogok berjuta-juta dolar untuk Pakistan memburu 369 suspek al-Qaeda dan kedua, ugutan ke atas Pakistan untuk bersedia dibom dan kembali ke zaman batu jika tidak mematuhi Amerika Syarikat.

Walaupun kedua-duanya cuba dinafikan bekas Timbalan Setiausaha Negara AS Richard Armitage tetapi inilah kemelut yang berlaku dalam momokan Islamfobia tajaan musuh-musuh Islam kontemporari.

Saya cuma terlintas, jika presiden Pakistan itu boleh diheret ke dalam keadaan tekanan yang semacam itu, apakah diluar kemungkinan untuk orang ramai turut berfikir yang jangan-jangan langkah menyekat bantuan perkapita kepada SAR, menahan sebahagian bekas-bekas graduan dari universiti-universiti Pakistan dan Timur Tengah di bawah ISA (termasuk anak saya) oleh Perdana Menteri Malaysia juga adalah akibat dari mematuhi telunjuk-telunjuk khianat dari Washington?

Jika Hamid Karzai adalah boneka mereka di Afghanistan dan Shinzo Abe adalah Perdana Menteri pro-AS yang baru dilantik di Jepun, maka tidak mustahilkah dasar-dasar anti terrorisme Malaysia juga adalah dirangka di Rumah Putih?

Ia adalah sekeping memo arahan dari botol dakwat jahat dari meja ketua polis dunia bernama George W Bush.

Bahkan, jika dibaca rentak Kuan Yew yang seakan-akan cuba mencampuri hal-hal dalaman di Malaysia dengan 'komen-komen nakal' seperti yang distilahkan oleh Najib Tun Razak dan turut dilihat 'menghina oleh Bambang Susilo' (Berita Harian 27 September 2006), komentar biadap Pope Benedict XVI ke atas junjungan Nabi kita SAW yang mengutip kutukan maharaja kristian di zaman Medieval sewaktu berucap di Regenburg University di Jerman pada 12 September yang lalu, propaganda hitam akhbar berpengaruh Perancis yang mendakwa Osama telah mati diserang typhoid serta Musharraf yang kononnya telah diguling adalah antara serangan-serangan gerak saraf yang tidak sukar difahami.

Berita yang terburai di Baitulmaqdis yang melaporkan halalnya dibunuh Hasan Nasrallah yang mengisytiharkan kemenangan Hizbullah dalam konflik 34 hari dengan Israel itu cukup menjelaskan lagi keadaan.

Berita arahan ini keluar dalam Radio Tentera (Galei Tzahal), yang memetik pengakuan bekas pengarah agensi perisikan Mossad, Shabtai Shavit sendiri. Beliau mengarahkan pembunuhan ke atas Nasrallah ketika sedang berucap di Selatan Beirut pada hujung minggu lalu.

Sekali-sekala, kita wajar menyentuh beberapa insiden dunia terkini supaya umat Islam khususnya dan seluruh warga Malaysia amnya mampu memahami peralihan jarum kompas yang ligat bergerak di peta bumi.

Road map dunia dan rentak masa depan umat tampak terlalu banyak dicatur dan diatur oleh AS dan sekutu-sekutunya.

Semua orang sudah semakin meragui kejujuran AS dan rakan-rakannya dalam peristiwa 9/11 di New York pada 2001. Bersifat degil demi mengukuh dan mengekalkan buruk sangka penghuni dunia terhadap Islam, FBI dan CIA masih mati-matian terus menerus menasihati Rumah Putih agar terus mengolah siri-siri keganasan palsu.

Ini boleh dibaca rentetannya dari serangan ke atas Iraq yang dituduh memiliki WMD sedangkan ia memang sebuah pembohongan.

Berita kononnya lima lelaki Pakistan telah memasuki AS melalui Kanada dan merancang untuk melakukan serangan senjata biologi dan bom-bom beracun adalah satu lagi percubaan mereka untuk melahirkan fitnah.

Ia terbongkar setelah suspek yang diburu oleh Associated Press misalnya; Mohammad Ashgar itu sebenarnya seorang lelaki gemuk yang menjalankan perniagaan barangan kemas di Pakistan dan tidak pernah sekalipun menjejakkan kaki ke Amerika!

Beliau tidak ada kena mengena dan tidak tahu menahu pun dengan insiden berdarah yang cuba ditekapkan kemukanya itu.

Terkini, AS mengarut lagi dengan sengaja mengada-adakan berita kemunculan pelbagai Nexus Points di pelbagai paksi dunia Islam.

Dengan itu, AS mahu munculkan dirinya sebagai predator yang sedang bertungkus lumus cuma menyelamatkan dunia dari serangan keganasan.

Tentu sekali kita masih ingat betapa 10 pesawat di Heathrow pernah diancam bom pada 10 Ogos 2006 oleh militan Islam (?) kemudian berjaya dipatahkan oleh seorang Superman. Tony Blair lah, siapa lagi!

Demikian jugalah dengan kononnya Sears Tower di Chicago yang telah diancam bom oleh proksi al-Qaeda yang kononnya dipimpin oleh Nasir Batiste diawal Jun 2006. Semuanya adalah bohong.

Nampak sangat yang AS dan UK sedang dengan ghairahnya ingin mengumumkan berita- demi berita kejayaannya kerana pantas menyekat huru-hara yang dicipta, dicetak dan dibuat-buat oleh mereka sendiri.

Sasaran akhir mereka ialah Islam dan pejuang Islam. Mereka lalu khayalkan bagaimana rakyat sedunia akan memuja dan mengangkat mereka sebagai wira suci dan sekali gus melihat Islam dan penganutnya sebagai terroris yang sehina sampah dan sejijik najis.

Ini boleh dilihat melalui cara layanan mereka terhadap pejuang Islam dipenjara tertutup Guantanamo dan Abu Gharib, Saddam yang pernah digari dari lubang persembunyian dan kini menggigil di mahkamah, Osama yang merempat terhina, hidup ceret beret di gua misteri, dua anak lelaki Saddam yang mati disembelih, penangkapan Al-Zarqawi, ratusan pemimpin Islam yang digari di Indonesia, Selatan Filipina, Palestin, Thailand, Acheh dan Bali.

Dalam plot cerita dan skrip-skrip drama kusut yang berlingkar-lingkar itulah, Islam mahu diconteng semahu-mahunya dengan jambang terroris.

Jika tidak, masakan Bush menghubungkan terus peristwa memerangi keganasan dengan Perang Salib sejurus selepas menara WTC di New York itu di bom. Dendam kristian yang tidak sudah-sudah itulah juga rupanya yang sedang menyimbah darah umat Islam di mana-mana.

Ancaman AS berbunyi 'sama ada kamu bersama kami atau kamu bersama mereka' sesungguhnya bukan ultimatum yang adil untuk dipilih oleh warga dunia. Bukan begitu caranya mencari perdamaian. Mustahil AS tidak faham bagaimana seharusnya PBB itu berfungsi?

Saya hanya ada satu soalan pendek untuk bertanya. Malaysia sedang berada di mana dalam membina dasar luarnya dan sewaktu memilih rakan kongsi?

Bersama mereka yang menjadi mangsa keganasan atau berpihak kepada pihak yang mengganas? Lagipun, maksud ganas, mengganas, pengganas dan mangsa keganasan itu apa sebenarnya?

Sentiasa ingatlah bahawa Allah SWT itu mampu membaca segala niat kita walau bagaimana nyata atau sulitnya ia di sembunyi. Dan, inilah yang akan menentukan nilai amal kita yang sebenar. Bukankah kita semua akan berdiri di padang mahsyar untuk nantinya di tanya ?

"Jika mereka mendustakan kamu,maka sesungguhnya rasul-rasul sebelum kamupun telah di dustakan (pula) mereka membawa mukjizat-mukjizat yang nyata ,zabur dan kitab yang memberi penjelasan yang sempurna." (Surah Al- 'Imran Ayat 184).

(Penulis adalah Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan) -