Wednesday, April 12, 2006
Beberapa Kaedah Yang Perlu Diamalkan Ketika Belaku Khilaf / Perbezaan Pendapat
Oleh : Ustaz Omar Bin Mohamad
(Ketua Urusan Ulamak PAS Kawasan Puchong)
FIKRAH 5 ( SAMBUNGAN DRP ARTIKEL BERTARIKH 29 SEPT )
BEBERAPA KAEDAH YANG PERLU DIAMALKAN KETIKA BERLAKU KHILAF/PERBEZAAN PENDAPAT ( ÎáÇÝ )
Sebelum ini saya telah menyatakan empat perkara seperti di bawah ini. Ikuti perbincangan seterusnya.
“ Jika berlaku khilaf, sikap dan tindakan yang mesti kita lakukan ialah;
1. Wajib merujuk kepada Allah dan RasulNya.
2. Tidak ada sifat ma’sum bagi sesiapa sahaja kecuali Rasulullah.
3. Apabila berlaku khilaf, tindakan yang mesti dilakukan ialah melihat pandangan mana yang benar dan tepat.
4. Wajib bersangka baik terhadap seluruh ulama Umat Islam yang muktabar, menghormati mereka dan meraikan kesilapan mereka.
5. Mesti mengumpulkan semua nusus ( äÕæÕ )[1] dan kata-kata ulama terdahulu yang muktabar dalam sesuatu masalah tertentu yang dibincangkan, sebelum memutuskan satu-satu keputusan yang hanya sekadar berdasarkan kepada satu nas sahaja. Perlu juga melihat dengan detil tentang tiga perkara, lafaz nas, maknanya dan suasana semasa nas itu diturun atau diriwayatkan. Nas yang jelas perlu diutamakan drp yang kurang jelas ( mubham ), nas yang tidak diperincikan ( mujmal ) drp yang terperinci, umum drp yang khusus, mutlak drp yang terikat ( muqayyad ), dan perlu juga mengutamakan apa yang difahami melalui teks nas drp kefahaman yang tersembunyi atau sebaliknya, apa yang diibaratkan drp apa yang diisyaratkan, apa yang wujud kemudian drp apa yang sebelumnya. Itulah cara untuk mengkaji dan menganalisa kumpulan nas yang banyak. [2]
6. Sesuatu kata-kata itu perlu difahami dengan kemungkinan/kebarangkalian yang terbaik, jika pentafsirannya adalah luas. Contoh terbaik yang ana pernah sebutkan dalam usrah ialah kata-kata Zaid Ibrahim yang ingin mencabar hukum hudud Kelantan. Apakah sewajarnya kita terus memahami kata-kata beliau itu dengan anggapan beliau mencabar hukum Allah atau mencabar kedudukan Enakmen Jenayah Kelantan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan? Di sinilah kita perlu berhati-hati dan jangan melatah dengan tindakan menghukum atau seumpamanya. Beliau tetap bersalah walau apapun tafsirannya, tetapi apakah maksud sebenar kenyataan dan tindakan beliau?
7. Jangan cepat untuk mengecam dan mengkritik pihak lain ( antara pendakwah Islam ) dengan sesuatu pandangan yang mereka miliki, sedangkan perkara itu terbuka kepada pemahaman yang pelbagai dan pentafsiran yang luas. Kita semua tahu bahawa jika ada pihak yang berusaha untuk berijtihad dan salah, maka tetap mendapat satu pahala, iaitu ganjaran bagi usahanya yang bersungguh-sungguh dan ikhlas yang dimilikinya. Maka tidak seharusnya kita berbalah dalam perkara uslub dakwah atau pendekatan pergerakan, baik pemuda, muslimat atau ulama, selagi ia boleh diluaskan konsep kefahamannya. Bukan bermakna semua betul, sudah pasti ada yang terbaik, namun jangan sebab perkara ini perpecahan dan permusuhan timbul.
8. Mesti sepakat dalam dasar umum sesuatu manhaj bagi Gerakan Islam dan tidak semestinya bersepakat dalam perkara yang lebih terperinci. Jika berlaku perbezaan pada perkara yang terperinci, tidak bermakna terkeluar daripada ruang lingkup dasar yang umum tersebut. Namun penyelesaiannya ialah dengan mengambil apa yang lebih tepat dan mengambil kira pandangan majoriti.
9. Hendaklah bersikap sederhana dan pertengahan hatta ketika mengecam musuh Gerakan Islam. Jangan melampau dalam mengutuk. Perlu ada rasa insaf dalam hal ini dan melihat secara adil.
10. Bagi ulama dan pendakwah yang muktabar dan disaksikan oleh ummah akan kebaikan dan kemuliaan mereka, ianya dapat menutupi atau memalingkan keburukan yang mereka lakukan. Tidak seharusnya menjejaki kelemahan dan kesilapan mereka, sebaliknya mengesahkan segala kemulian yang mereka miliki. Ibnu Rejab alHanbali berkata : “ Allah enggan untuk meletakkan sifat maksum kepada sebarang kitab, kecuali KitabNya ( AlQuran ) dan bagi orang yang insaf, dia tidak menumpukan kepada sedikit kesilapan seseorang, sebaliknya melihat kepada kebaikannya yang banyak.
11. Jika tidak jelas hujah yang mana paling tepat dan betul ketika berlaku ikhtilaf, perlu bertolak ansur antara satu sama lain dan bertawakkal kepada Allah serta meneruskan semangat ukhuwwah antara semua pihak yang terbabit.
Akhirnya kita hayati kata-kata assyahid Hasan alBanna : “ Kita berlapang dada dengan sesiapa yang bercanggah pendapat dengan kita dalam perkara-perkara furu’, dan kita melihat khilaf yang berlaku ini sama sekali tidak akan menjadi penghalang kepada pertautan hati yang kukuh, saling menyayangi, bekerjasama dalam kebaikan dan kita serta mereka termasuk dalam ruang lingkup kesyumulan makna Islam dengan batasannya yang sempurna dan kandungannya yang luas…..”
Soalnya, kenapa kita ( termasuk penulis mungkin ) masih suka berkeras dan berkerut dahi ?
[1] Nusus kata bilangan banyak kepada Nas, bermakna dalil daripada alquran atau hadis nabi saw.
[2] Utk memahami istilah ini, perlu masuk ke kelas usul fiqh.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Perlu difahami..dan kalau boleh diedarkan risalah nie di waktu usroh gabungan untuk tindakan lanjut ahli.
Post a Comment