Wednesday, April 19, 2006

Antara Intipati Ucapan Perasmian Mesyuarat Agong PAS Kawasan Puchong

Image hosting by Photobucket

Assalamualaikum wrt wbt.

Tahniah kepada seluruh perwakilan Mesyuarat Agung Pas Kawasan Puchong yang diadakan pada hari Ahad lalu, 16 April 2006, kerana dapat menghadirkan diri dan menjayakannya.

Juga kepada semua individu yang bertungkus-lumus mengurus persiapan mesyuarat, bermula daripada penyediaan dewan, makan-minum, minit mesyuarat dan termasuk yang menghulurkan sumbangan. Saya mewakili pihak Jawatankuasa Harian dan Kawasan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang menjayakannya. Insyaallah, kita akan bertemu lagi dalam program yang sama, tahun hadapan.

Ustaz Idris Ahmad, Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, dalam ucapan perasmiannya menekan betapa pentingnya perjuangan Islam ini diteruskan, terutama menjayakan program berkaitan tarbiah, seperti usrah dan lain-lain. Menurutnya, penekanan kepada usrah ini seringkali dibangkitkan beliau ketika memberi ucapan kepada ahli-ahli parti di mana sahaja. Ia adalah asas kepada kekuatan parti.

Tegas beliau, “ Kekuatan Pas bukan di pusat, bukan juga di negeri atau kawasan, sebaliknya kekuatan Pas adalah di cawangan-cawangan. Jika kuat cawangan, maka kuat lah Pas. Jika lemah, maka lemahlah Pas.” Oleh itu, usrah perlu digerakkan supaya parti menjadi kuat, selepas cawangan-cawangan hidup dengan adanya usrah masing-masing.

Beliau juga memberikan beberapa tips untuk menjadikan sesebuah usrah itu berjaya mencapai matlamat. Antaranya ialah, usrah perlu diadakan dalam tempoh 45 minit hingga 1 jam. Ianya mesti diadakan di rumah-rumah ahli, supaya dapat mengenali kediaman masing-masing. Seterusnya tidak perlu diselitkan agenda makan ( berat : penulis ) selepas atau semasa usrah, kerana menyusahkan tuan rumah.

Sekiranya usrah itu memang tidak bernaqib atau beliau tidak dapat menghadirkan diri atas sebab tertentu, ianya mesti diteruskan juga dengan melakukan apa sahaja aktiviti yang bermanfaat, seperti membaca ma’thurat, solat hajat, membaca al Quran dan seumpamanya. Apa yang penting di sini, selain amalan tadi dilakukan, pertemuan antara sesama ahli berlaku.

Seterusnya, Ustaz Idris Ahmad menegaskan, untuk menjadi seorang pemimpin yang berjaya, perlu ada kehendak yang kuat. Iaitu ada keazaman dan cita-cita untuk menjadi pemimpin yang baik dan berwibawa selain keyakinan yang mantap dalam diri setiap pimpinan. Mereka perlu bertanya pada diri sendiri, jika orang lain boleh, kenapa saya tidak boleh?

Semoga Mesyuarat Agung yang lalu memberi suntikan semangat kepada semua ahli untuk meneruskan tugas-tugas yang dibebankan oleh Allah Taala, dan istiqamah terus dalam kerja jamaah dan dakwah. Selamat bekerja.

Ketua Urusan Ulama.
19 April 2006.

No comments: