Monday, April 24, 2006

PEMIKIRAN UMMAH CENTRIC SATU - KEKELIRUAN YANG DISENGAJAKAN

Oleh: Us.Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi

Setakat ini , sudah melebihi 40 kali saya dihujani persoalan dan pertanyaan mengenai Pemikiran Ummah Centric . Kebanyakkannya daripada rakan - rakan mahasiswa - mahasiswi dalam dan luar negara .


Sebelum ini saya telah diajukan beberapa hujjah mengenai Ummah Centric . Peringkat awal , saya melihat nada mereka dengan pembawaan istilah ini agak menarik .


Tetapi setelah saya melihat dan memerhati bagaimana istilah ini atau pemikiran ini dirumus dan diolah serta saya meneliti jua bagaimana pemikiran ini dihasilkan dan bagaimana penterjemahannya , saya berkesimpulan bahawa satu kekeliruan telah diwujudkan atau dilontarkan ditengah - tengah kejernihan Amal Jamaei dan para pencintanya .


Keresahan dan kegelisahan para aktivis Harakah Islamiyyah terhadap perkembangan ini , mendorong saya mengemukakan satu sorotan serius serta penegasan agar kekeliruan disingkap dan ketidak-jujuran disita .


MUQADDIMAH.

Pemikiran Ummah Centric yang dikemukakan dewasa kini , dilihat sebagai satu percubaan untuk merombak tambatan intima’ tanzimi ( penglibatan secara bertanzim ) terhadap jamaah .

Ianya dilihat demikian apabila pemikiran Ummah Centric diperkenalkan tanpa intima’ terhadap jamaah , sebaliknya pemikiran Ummah Centric diterjemah sebagai " tidak terikat dengan jamaah serta boleh menyertai dan menjadi ahli kepada sebahagian atau semua jamaah yang wujud " .

Sementara mereka yang memberikan intima’ kepada jamaah dianggap berfikiran Jamaah Centric yang perlu dihakis .

Bagi menjelaskan isu ini , terlebih dahulu saya merasakan perlu dipertegaskan pengertian umum mengenai jamaah dan persoalan sekitarnya .

KEWAJIBAN BERINTIMA’ KEPADA JAMAAH

Perjuangan Islam dilangsungkan secara berjamaah . Tiada siapa yang boleh menafikan penegasan ini justeru ia sabit melalui nas yang diwahyukan oleh Allah swt. jua sirah perjuangan baginda saw. Firman Allah swt. yang bermaksud :

Sesungguhnya Allah suka ( redho ) terhadap orang – orang yang berjuang di jalanNya sebagai satu saff , seolah – olah mereka adalah satu binaan yang kukuh , tersusun rapi .

Surah As Saff : 4

Mafhum mukhalafah dari ayat di atas ialah ” Allah tidak suka ( murka ) terhadap orang – orang yang berjuang dalam banyak saff ” begitu juga terhadap mereka berjuang berseorangan tanpa membentuk saff .

Dr. Yusuf Al Qaradhawi di dalam kitabnya Aulawiyyatul Harakatil Islamiyyah Fi Marhalatil Qaadimah[1] , ketika menjelaskan Ayat 4 dari surah saff menegaskan : ”....... dan tidak dapat tidak bahawa gerakerja amal islami ( perjuangan islam ) dilaksanakan secara :

Jamaei yang bertanzim ( organisasi yang bersistem )
pula bergerak dengan kepimpinan yang bertanggungjawab
aktivis yang bersedia melaksanakan tugas , ( on call )
kefahaman yang jelas
membentuk hubungan kepimpinan dan aktivis yang erat
bertitik tolak pula dari syura yang wajib diberi komitmen
ketaatan yang wajib dengan tidak membuta tuli .

Sabda Rasulullah saw.:

عَنِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى هَذِهِ الأَعْوَادِ أَوْ عَلَى هَذَا الْمِنْبَرِ مَنْ لَمْ يَشْكُرْ الْقَلِيلَ لَمْ يَشْكُرْ الْكَثِيرَ وَمَنْ لَمْ يَشْكُرْ النَّاسَ لَمْ يَشْكُرْ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَالتَّحَدُّثُ بِنِعْمَةِ اللَّهِ شُكْرٌ وَتَرْكُهَا كُفْرٌ وَالْجَمَاعَةُ رَحْمَةٌ وَالْفُرْقَةُ عَذَابٌ[2]

Dari Nu’man bin Basyir telah berkata : Rasulullah saw. telah bersabda di atas mimbar ini : Barang siapa tidak bersyukur dalam keadaan sedikit ( sedikit perolehan ) , nescaya ia tidak akan bersyukur dalam keadaan banyak ( banyak perolehan ) dan barangsiapa yang tidak tahu bersyukur ( berterima kasih ) kepada manusia , nescaya ia tidak bersyukur kepada Allah azza wa jalla dan menyebut – nyebut tentang nikmat Allah itu adalah tanda syukur sementara meninggalkannya adalah tanda kufur dan Jamaah adalah rahmat sementara berpuak – puak pula adalah azab .

Riwayat Imam Ahmad

عَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالْفُرْقَةَ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِدِ وَهُوَ مِنْ الاِثْنَيْنِ أَبْعَدُ مَنْ أَرَادَ بُحْبُوحَةَ الْجَنَّةِ فَلْيَلْزَمْ الْجَمَاعَةَ

Wajib ke atas kamu berjamaah dan berwaspadalah terhadap gejala berpuak – puak , justeru sesungguhnya syaithan bersama orang yang bersendirian sementara syaithan berada sangat jauh dari orang yang berdua , barangsiapa yang mahu tempat teristemewa di tengah-tengah syurga ( kerakyatan ) syurga maka hendaklah ia melazimi ( mewajibkan diri ) bersama Jamaah .

Riwayat Imam Tarmizi[3]

Para Ulama’ turut berhujjah dengan menggunakan kaedah feqh bagi menjelaskan kewajipan muslim memberi intima’ terhadap jamaah , setelah dilihat bahawa Jamaah adalah merupakan satu wasilah penting untuk mengembalikan Khilafah Islamiyyah yang runtuh .

Fungsi jamaah akan menyatukan ummah dengan kepimpinan dan gerak kerja amal Islami yang sistematik . Tanpa jamaah ( organisasi berkepimpinan ) , ummah tidak mungkin dapat diikat dengan pengarahan terancang dan strategik untuk melahirkan satu gerakan dan kebangkitan bagi memperjuangkan Islam , sedang mendaulatkan syariat dan mendirikan Khilafah Islamiyyah itu adalah wajib .

Maka menubuhkan jamaah dan memberikan intima’ kepadanya dihukum wajib berasaskan kaedah feqh :

مَا لاَ يَتِمُّ اْلوَاْجِبُ إِلاَّ بِهِ فَهُوَ وَاْجِبٌ

Suatu yang tidak sempurna kewajipan melainkan dengannya , maka sesuatu itu menjadi wajib .

Begitu juga dengan Firman Allah swt. yang bermaksud :

.... dan hendaklah ada dikalangan kamu satu golongan yang menyeru ke arah kebaikan dan menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran dan mereka adalah golongan yang beroleh kemenangan .

Surah Aali Imran : Ayat 104

Al Imam Allusi Rhm. di dalam Ruuhul Ma’ani ketika menafsirkan ayat ini , menegaskan pengertian ummah di dalam ayat ini ialah individu yang bergandingan ( membentuk satu jamaah ) melaksanakan tanggungjawab tersebut .

Ibnu Katheer Rhm menyebut : ....dan maksud dari ayat ini ialah , bahawa hendaklah ada satu golongan ( firqah / jamaah ) daripada ummah ini melaksanakan tanggungjawab tersebut .

Ayat di atas , sungguhpun menggunakan perkataan ummah , ini tidak bermakna Allah melepaskan tanggungjawab terbuka kepada ummah tanpa wujud satu gerakkerja yang terancang dikalangan ummah untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut .

Gerakkerja terancang dan sistematik , adalah satu keperluan asasi dan bersifat principle untuk menjayakan perlaksanaan tanggungjawab yang termaktub di dalam ayat di atas : ( iaitu )

1. Dakwah Islamiyyah
2. Perlaksanaan Syariat ( Amar Makruf )
3. Mencegah kemungkaran


Saiyidina Ali karramallahu wajhah pernah menegaskan :

اَلْحَقُّ بِدُوْنِ النِّظَام يَغْلِبُهُ اْلبَاطِلِ بِالنِّظَام

Kebenaran tanpa tanzim ( penyusunan terancang / sistematik ) akan dikalahkan oleh kebathilan yang mempunyai perancangan penuh sistematik .

Gerakkerja terancang inilah memerlukan satu pembentukan Jamaah yang Munazzamah , mempunyai kepimpinan yang berwibawa dan diikat dengan intima’ yang berasaskan ketaatan kepada jamaah dan pimpinannya yang memperjuangkan Islam.

Saiyidina Omar Al Khattab rha. menyebut :


لاَ إِسْلاَمَ إِلاَّ بِجَمَاعَةٍ وَ لاَ جَمَاعَةَ إِلاَّ بِإِمَارَةٍ وَ لاَ إِمَارَةَ إِلاَّ بِطَاْعَةٍ .

Tiada Islam tanpa Jamaah dan tiada Jamaah tanpa Kepimpinan dan tiada Kepimpinan tanpa Taat .

Lebih terasa keperluan Jamaah ini setelah kejatuhan Khilafah Islamiyyah terakhir pada tahun 1924 yang lalu , ulamak yang memahami tanggungjawab untuk mengembalikan semula Khilafah Islamiyyah yang runtuh telah merancang dan membentuk Jamaah Islamiyyah atau Harakah Islamiyyah sebagai wadah ummah untuk berjuang dengan teliti dan strategi guna mengembalikan Khilafah tersebut .

Bermula 1928 apabila tertubuhnya Gerakan Ikhwan Muslimin di Mesir yang ditubuhkan oleh Imam Hassan Al Banna , maka kesedaran berjamaah ini mula tersebar keseluruh pelusuk dunia . Akhirnya pelbagai Gerakan Islam muncul di serata dunia , yang berjuang dengan matlamat yang sama kearah mendaulatkan Syariat Allah dan mengembalikan semula Khilafah yang telah runtuh . Bahkan di Mesir sendiri wujud pelbagai Jamaah Islam dengan pelbagai pendekatan dan penampilan .

FENOMENA TAADUD JAMAAH .( Sepintas lalu …)

Dibolehkan Taadud namun BERSYARAT

Syeikh Mustafha Masyhur: Adapun kewajipan dan pendirian kami tentang jemaah-jemaah (selain Ikhwan Muslimin) ialah apa yang diperluaskan oleh Agama Islam daripada sifat kasih sayang, mawaddah, nasihat-menasihati, bantu-membantu diatas dasar kebajikan dan mengelak perselisihan dan pertelingkahan serta berusaha untuk bersatu.[4]

Syeikh Said Hawwa: Kami menyedari bahawa berbilang-bilang pertubuhan mungkin boleh ditubuhkan dan boleh ada dalam satu Negara. Pertubuhan - pertubuhan ini mungkin Parti politik semata – mata , mungkin pertubuhan kebajikan, pertubuhan ilmuan dan tarbiah yang dihimpunkan diatas sifat Islamiah.[5]

Dr Solah Shawi: Sesungguhnya taadud yang diterima dilapangan Amal Islami ialah taadud takhassus dan tanawwu’ bukannya taadud tudhod wa tanaqud. Adapun taadud yg memecahkan wala umat Islam,melaknati sesama manusia merupakan wabak dan kecelakaan yg mengubah waqie kepada tersebar fitnah dan membuka jalan kepada pandangan untuk mula beruzlah.[6]

Dr Yusof Qaradhawi: Tiada halangan taadud jemaah yg beramal untuk Islam, selagimana terdapat keuzuran untuk mewujudkan sebuah kesatuan disebabkan kelainan matlamat, manhaj, fahaman dan thiqah kepada setengah yg lain berdasarkan kepada taadud takhassus dan tanawwu’ dan bukan taadud tudhod dan tanaqud.Semuanya wajib berdiri dalam satu sof pada setiap perkara yg mengembalikan ketuanan Islam, Aqidah Islamiah dan keizzahan umat Islam.[7]

Taadud yang TIDAK dibolehkan .

Syeikh Fathi Yakan: Lapangan Islam telah menyaksikan kelahiran harakah – harakah ,tanzim - tanzim diatas ruang lingkup yg luas. Meskipun sesetengah berpendapat dan mengira taddud jemaah sebagai fenomena sihat, saya menganggap taadud sebagai fenomena berpenyakit dan bahaya serta diperingatkan dengan akibat - akibat yang maha dahsyat yg tidak diketahui penghujungnya melainkan Allah.[8]

Syeikh Husin Muhsin Ali Jabir: Saya bersetuju bahawa taadud jemaah pada umat Islam adalah suatu yg batil dan wajib dihapuskan.Sesungguhnya kewajipan pada keyakinan saya bahawa wajib dicurahkan segala tenaga umat Islam didalam satu bahtera dan satu hala tuju sahaja.[9]

Syeikh Mustafa Masyhur, Dr solah Shawi, Dr Yusof Qaradhawi, Said Hawwa: ( Tidak dibenarkan sama sekali taadud seandainya jemaah yg baru ditubuhkan tersebut: tidak mengikuti ketetapan Syarak dan timbul pecah belah serta dendam kesumat juga ditubuh atas dasar tak puas hati antara satu sama lain )

Pendapat yang RAJIH.

Tidak boleh taadud jemaah. Adapun Ulamak yg benarkan taadud dengan BERSYARAT sebenarnya meraikan suasana dan kenyataan taadud yg terjadi di Negara - negara umat Islam. Rasulullah saw sebenarnya secara jelas telah menyatukan umat Islam dalam satu jemaah sahaja dan bukannya berbilang jemaah. Walaupun Ulamak - ulamak ada menyatakan boleh , tetapi SYARAT - SYARAT yg disebutkan perlu difahami dengan jelas agar tidak dipergunakan sebagai alasan bagi mewujudkan jemaah yang baru pula didorong oleh rasa tidak puas hati terhadap Jamaah Islam yang sebelumnya. Kehendak ulamak tersebut adalah tidak boleh taadud bila SYARAT yg digariskan tidak terlaksana.

KLASIFIKASI JAMAAH .


Jamaah adalah umum . Di sana ada Jamaah yang tidak menepati sifat Harakah Islamiyyah atau Jamaah yang bergerak dan berjuang menyebarkan agama Allah, mendidik ummah dan memimpin mereka serta berjuang dalam skop Islam yang Syumul kearah mendaulatkan syariat Allah swt dan mengembalikan Khilafah Islamiyyah di muka bumi ini .

Sebaliknya Jamaah ini hanyalah mengambil satu juzuk yang kecil daripada amal islami seperti Jamaah Kebajikan yang hanya mengurus soal kebajikan anak – anak yatim , khairat kematian dan seumpamanya .

Ada pula Jamaah yang hanya mengambil aspek mengajak masyarakat berbuat baik tanpa melihat kepentingan perlaksanaan undang – undang syariat serta tidak juga melihat kepentingan bertindak menentang kemungkaran . Mungkin dengan alasan kalau semua orang sudah menjadi baik , maka secara automatiknya mungkar akan hilang .

Ada pula Jamaah yang hanya berlegar di ruang hawa dingin dengan pembentangan kertas kerja – kertas kerja Ilmiah di bilik seminar dan simposium . Membincangkan permasaalahan Islam penuh teoritik tanpa terjun ke medan berhadapan dengan permasaalahan ummah yang sebenar dan bergelumang pula dengan segala konflik yang dihadapi oleh ummah .

Ada Jamaah yang terhenti di atas majlis – majlis ibadah seperti wirid zikir , selawat dan berqasidah serta solat nawafil yang banyak tanpa mengambil kira penyakit barah yang dialami oleh masyarakat dan ancaman moral serta aqidah yang melingkari daerah mereka .

Ada Jamaah yang mungkin telah melakukan pelbagai aktiviti amal islami , tetapi mereka akur dan tunduk kepada pemerintah yang enggan melaksanakan syariat Allah swt. dan melakukan maksiat serta menaja mungkar yang meleka dan melalaikan ummah dengan alasan , ruang untuk mereka melakukan amal islami masih terbuka , sementara pihak yang lain masing – masing ada tanggungjawab masing – masing untuk menjaga akhlak dan aqidah .

Begitulah pelbagai warna Jamaah yang wujud .

Persoalannya , adakah jika kita memilih salah satu Jamaah lalu memberikan Intima’ Tanzimi kepadanya , iaitu kepada Jamaah yang jelas memperjuangkan Islam yang syumul , merangkumi segala aspek tuntutan Islam seperti Jamaah yang berjuang menegak yang Makruf dan menentang kemungkaran , berdakwah mengajak masyarakat kembali kepangkuan Ilahi dan memimpin mereka , yang menggerakkan semangat jihad disegenap lapangan termasuk pendidikan , ekonomi dan sebagainya maka ia di kira sebagai Jamaah Centric .

Berkemungkinan sukar untuk memperolehi Jamaah yang sempurna begitu , tetapi sekurang – kurangnya ada jamaah yang dilihat hampir dengan kriteria Jamaah yang dikehendaki oleh Allah swt. dengan 5 sifat yang Allah gariskan dalam surah Al Maidah Ayat 54 berbanding Jamaah yang kedudukan mereka sangat jauh dari garis sempadan ilahi .


Firman Allah swt. yang bermaksud :

Wahai orang – orang yang beriman ! sesiapa yang berpaling dikalangan kamu dari agamanya maka nescaya Allah swt akan mendatangkan satu golongan :

1. Allah kasih kepada mereka , mereka kasih kepada Allah swt.
2. Bersikap lunak sesama orang yang beriman
3. Bersikap tegas terhadap orang – orang yang ingkar
4. Mereka berjihad dijalan Allah swt dan
5. Mereka tidak takut celaan orang – orang yang mencela .


Demikian itu kurnia Allah yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki dan Allah swt. adalah Tuhan yang Maha luas PembendaharaanNya lagi Maha Mengetahui .

Surah Al Maidah : 54

Apakah kita tidak boleh membezakan Jamaah yang berjihad di jalan Allah swt. untuk mendaulatkan syariat Allah dengan Jamaah yang tidak berjuang untuk mendaulatkannya .

Apakah kita tidak boleh membezakan Jamaah yang berani berkata benar demi menegakkan agama Allah dengan Jamaah yang tunduk dan takut kepada penguasa yang zalim dan angkuh .

Sebaik sahaja kita mengenali Jamaah yang lebih hampir kepada kehendak syara’ , lalu kita memberikan Intima’ kepadanya tetapi tidak kepada yang lain , maka adakah ia dianggap bersikap Jamaah Centric ?

Apakah mereka pula tidak bersifat Ummah Centric , kerana mereka tidak meletakkan sebelah lagi kaki mereka dalam Jamaah yang lain ?

AMAL JAMAEI BUKAN JAMAAH CENTRIC

Apabila Jamaah dibentuk , ia semestinya dibentuk bersama manhaj dan system perkaderannya yang tersendiri berasaskan struktur amal jamaei . Ini diakui sendiri oleh Al Marhum Mustafa Masyhur di dalam buku kecilnya : Bainal Qiyadah wal Jundiyyah a’la Toriqid Dakwah .

Pemimpin dan anggota yang bekerja serta berjuang menegakkan Islam dan martabat ummah berasaskan manhaj dan sytem perkaderan Jamaahnya , bukanlah bersifat Jamaah Centric malah tidak boleh pun dianggap bersifat Jamaah Centric .

Jamaah Centric hanya boleh disifatkan kepada mereka , apabila mereka berjuang untuk kepentingan Jamaah mereka bukan untuk kepentingan Islam , untuk pengaruh Jamaah mereka bukan untuk pengaruh Islam , untuk menegakkan Jamaah mereka bukan untuk menegakkan Islam .

Adapun mereka yang berjuang menegakkan Islam dan martabat ummah melalui wadah atau platform Jamaah dengan memberi intima’ kepada Jamaah mereka serta taat kepada pemimpin Jamaah mereka ( selama mana tidak disuruh melakukan maksiat ) , sekali – kali tidak boleh disifatkan sebagai Jamaah Centric . Sekalipun mungkin mereka tidak boleh menerima kehadhiran Jamaah tertentu di persada perjuangan .

Sebab mereka bukan berjuang untuk Jamaah mereka , tetapi untuk Islam dengan menjadikan Jamaah mereka sebagai wadah atau Platform . ( sementara kepentingan dan kewajipan wujudnya wadah atau platform ini telah terdahulu perbahasan kita . )

Sikap tidak menerima Jamaah lain , seandainya diambil berasaskan dalil syara’ maka ia tidak mengapa , sebab di sana tidak semua Jamaah yang boleh diterima menurut pandangan syara’.

Pengalaman dalam perjuangan untuk mengakkan Islam di muka bumi ini , terlalu banyak kita bertemu dengan Jamaah Parasit sekalipun mereka juga mendakwa sebagai Jamaah Islam .

Kita tidak boleh mengiktiraf sesebuah Jamaah itu sebagai Jamaah Islam semata – mata mereka mendakwa mereka adalah Jamaah Islam , tetapi mesti dirujuk kepada dalil dan nas . Apakah mereka menepati Jamaah yang memperjuangkan Islam .

Realiti ini bukan pula bermakna kita merasakan hanya Jamaah kita sahaja yang betul . Sebaliknya Kita bersedia dan mesti bersedia untuk bekerja sama dengan pelbagai pihak atau Jamaah yang benar – benar memperjuangkan Islam .

Kita juga bersedia untuk menerima teguran , pandangan dan pembaharuan yang positif demi kebaikan perjuangan Islam .

Sememangnya Amal Jamaei tidak mengajar kita agar merasakan apa yang kita lakukan lebih baik daripada orang lain , malah tidak juga mengajar kita agar bermusuh dengan jamaah – jamaah Islam yang lain . Ini adalah akhlak Islam dan akhlak berjamaah yang sememangnya wujud dan diamal sebelum hadhirnya istilah Ummah Centric .

PEMIKIRAN UMMAH CENTRIC .

Persoalan yang timbul ialah : apakah maksud sebenar Ummah Centric ?

Kalau sekadar untuk menekankan agar anggota Jamaah mestilah menerima Jamaah yang lain , tidak menghina Jamaah yang lain , tidak menganggap Jamaah sendiri lebih hebat dan seumpamanya , maka itu semua adalah silibus Amal Jamaei dan skima pentarbiyyahan yang dilalui oleh anggota Harakah Islamiyyah .

....... atau Ummah Centric itu bermaksud seorang muslim tidak perlu memberi intima’ kepada Jamaah , sebaliknya boleh menyertai mana – mana Jamaah tanpa intima’ dengan alasan Jamaah hanyalah medan amal . Lantas di dalam Jamaah mana sekalipun kita berada , kita boleh beramal atau kita boleh beramal di dalam mana – mana Jamaah sekali pun .

Pengertian Ummah Centric seperti ini hanyalah merosakkan Intima’ Tanzimi dan wala’ kita terhadap perjuangan Islam dan gerakkannya .

Bukankah telah ditegaskan tadi , bahawa perjuangan Islam mesti diurus selia secara munazzamah dan ditadbir dengan sistematik dan terancang . Realiti ini memerlukan pengarahan dari kepimpinan yang thiqah , ditaati dan diberi wala’ ( kesetiaan untuk berjuang dan melaksanakan tanggungjawab perjuangan ) Jika tiada intima’ , wala’ dan taat , bagaimana pula perjuangan tersebut hendak diurus ? ( Rujuk Lampiran bertajuk : Tuntutan Wala’ dan Baiah )

Sebagai contoh saya bawakan disini . mereka yang sebelah kaki dalam Jamaah dan sebelah kaki lagi dalam Jamaah yang lain , bagaimana mereka mengurus perjuangan seandainya datang dua arahan bertindak dalam satu masa ? Bagaimana pula keadaannya jika tangan kanannya di dalam jamaah ketiga dan tangan kirinya di dalam jamaah keempat ?

Mentaati satu arahan dan mengabaikan satu arahan yang lain ? atau mentaati satu arahan dan mengabaikan 3 arahan yang lain . Persoalannya , arahan yang ditaati tidak mengapa , tapi bagaimana pula dengan arahan yang diabaikan ? Situasi yang seperti inilah yang akan menimbulkan fitnah kepada pejuang dan juga kepada perjuangannya .

PEMIKIRAN PARASIT CENTRIC .

Apa yang saya bimbang ialah pemikiran Ummah Centric adalah bertujuan untuk menghalalkan pemikiran Parasit Centric yang boleh tumbuh dan wujud dimana – mana Jamaah tetapi membawa agenda sendiri . ( My Centric )

Contoh kedua yang saya bawa dan ini adalah pengalaman di pentas perjuangan.

Seorang muslim berlatar belakangkan Jamaah A menyertai Jamaah B . Penyertaannya menghasilkan kepercayaan umum dari Jamaah B sehingga diberi amanah menjadi salah seorang dari pemimpin Jamaah B . Atas semangat ummah centric , ia tidak perlu seratus peratus memberi intima’ dan wala’ kepada Jamaah B .

Seketika , berlalu beberapa masa , ia keluar negara untuk urusan ”perjuangan” . Malangnya ia hanya berjumpa dengan mereka dari Jamaah A di luar negara tidak pun bertemu dengan mereka dari Jamaah B sedang di tanahair , beliau adalah pemimpin Jamaah B. ( sikap beliau di dalam negara bersama Jamaah sangat berbeza dengan sikap beliau di luar negara . )

Dari apa yang berlaku dalam contoh diatas , ini menunjukkan beliau bukan lagi berfikiran ummah centric tetapi telah menjadi Parasit Centric .

PENUTUP

Saya hanya ingin menekankan sekali lagi , bahawa Amal Jamaei ( kerja berjamaah ) dengan segala manhaj dan sistemnya tidak boleh disifatkan sebagai Jamaah Centric , demikian juga kita tidak memerlukan pemikiran Ummah Centric sebagaimana yang diperkenalkan , justeru Amal Jamaei telah mengajar kita bagaimana membina sikap terhadap Jamaah Islam yang lain .

Apa yang menjadi keperluan dan keutamaan kepada setiap anggota Jamaah ialah memahami konsep Amal Jamaei dengan betul dan tepat . Nescaya kita akan bertemu dengan pelbagai kaedah yang cukup baik dan berkesan .


Menjadikan kita anggota Jamaah yang baik , memberi Intima’ , thiqah dan ketaatan yang benar kepada Jamaah Islamiyyah ( Harakah Islamiyyah ) dan pimpinannya serta wala’ dan baiah kepada perjuangan Islam yang disertai.

Dalam masa yang sama , kita berlapang dada dan bertolak ansur serta saling bantu membantu tanpa sebarang rasa curiga , apalagi hasad dan dendam terhadap sahabat seperjuangan yang berlainan wadah dan platform , Asal saja mereka benar – benar memperjuangkan Islam dan tidak berpura- pura dalam persahabatan .

Lampiran untuk Pemikiran Ummah Centric : Satu Kekeliruan yang di Sengajakan .

TUNTUTAN WALA’ DAN BAI’AH

Wala'

Tidak ada satu kalimah dalam bahasa Melayu yang dapat mengungkapkan secara keseluruhan makna wala’. Secara tepatnya kalimah wala’ terangkum di dalamnya beberapa pengertian iaitu;

Memberikan kasih-sayang
Memberikan ta’at-setia yang tidak berbelah-bagi
Mengangkat sebagai pemimpin,
Menjadikannya sebagai teman-rapat atau sekutu,
Memberi kepercayaan,
Tempat mencurahkan bantuan dan pertolongan


Allah swt. berfirman:

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَ رَسُوْلُهُ وَ الَّذِيْنَ آمَنُوْا الَّذِيْنَ يُقِيْمُوْنَ الصَّلاَةَ وَ يُؤْتُوْنَ الزَّكَاْةَ وَ هُمْ رَاْكِعُوْنَ
وَ مَنْ يَتَوَلَّى اللهَ وَ رَسُوْلَهُ وَ الَّذِيْنَ آمَنُوْا فَإِنَّ حِزْبَ اللهِ هُمُ الْغَاْلِبُوْنَ

“Sesungguhnya orang yang harus kamu berikan wala’ kamu kepada mereka hanyalah Allah, RasulNya dan orang-orang beriman yang mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka tunduk-patuh (kepada hukum-hakam Allah). Dan sesiapa yang memberikan wala’nya kepada Allah, Rasul dan orang-orang beriman, maka sesungguhnya golongan (yang mendokong agama) Allah itulah yang pasti menang”.

Surah Al-Maidah. Ayat : 55

Dalam ayat di atas, Allah menegaskan bahawa wala’ dari seorang muslim hanya boleh diberikan kepada tiga golongan iaitu :


Allah
Rasulullah
Mukminin (orang-orang beriman)


Namun tidak semua orang yang mengaku beriman harus diberikan wala’ kepada mereka. Ini kerana Allah mengikatnya dengan tiga syarat iaitu :

Yang menunaikan solat,
Yang mengeluarkan zakat,
Yang tunduk-patuh kepada Syari’at Allah.


Dalam suasana hari ini, wala’ kepada orang-orang beriman secara umumnya merangkumi beberapa pengertian :

1. Wala’ kepada kelompok orang-orang beriman iaitu memberi kesetiaan kita kepada ummah mukminin. Contohnya; dalam pertembungan antara kuasa Islam dan kuffar hari ini, jiwa, perasaan dan hati-sanubari kita adalah bersama dengan kelompok beriman walau di mana saja mereka.

2. Wala’ kepada jama’ah atau kelompok orang beriman yang memperjuangkan Islam iaitu dengan menyertai jama’ah tersebut dan menjadi sebahagian dari anggotanya.

3. Menta’ati pemimpin Islam yang menta’ati Allah sama ada pemimpin umum sekelian kaum muslimin (iaitu Khalifah) atau pemimpin jama’ah yang menerajui gerakan Islam.

Sabda Rasulullah s.a.w. :


ثلاثة لا تسأل عنهم: رجل فارق الجماعة وعصى إمامه ومات عاصيا، وأمة أو عبد أبق من سيده فمات،
وامرأة غاب عنها زوجها وقد كفاها مؤونة الدنيا تزوجت بعده، فلا تسأل عنهم

“Tiga golongan jangan engkau bertanya tentang mereka (kerana mereka termasuk dalam orang-orang yang bakal musnah) iaitu :

1. Orang yang berpisah dengan jamaah dan menderhakai imamnya serta mati dalam maksiat,

2. Hamba perempuan atau lelaki yang lari dari tuannya lalu menemui kematian,

3. Seorang perempuan yang suaminya keluar bermusafir dan telah dicukupinya biaya keduniaannya lalu ia bertabarruj sesudahnya (untuk menarik perhatian lelaki lain).

(Riwayat Imam at-Thabrani, al-Hakim dan al-Baihaqi dari Fadhalah bin ‘Abid r.a.)

Bai’ah

Bai’ah bermaksud perjanjian atau sumpah setia untuk menyatakan kesediaan untuk selalu mematuhi dan setia dengan janji yang diikrarkan. Contoh bai’ah yang berlaku semasa Rasulullah s.a.w. :

Bai’ah ar-Ridhwan
Bai’ah ‘Aqabah (pertama dan kedua)


Setelah kita meyakini pemimpin kita dengan menepati konsep wala’ yang ditetapkan oleh Syara’ tadi, maka wajib kita memberi bai’ah kepadanya sama ada secara langsung atau secara tidak langsung.

Secara langsung ialah dengan melafazkan ikrar kesetiaan dan ketaatan di hadapannya. Secara tidak langsung ialah dengan mentaatinya dalam segala arahan yang diberikan -selagi tidak menyanggahi Syara’- walaupun tanpa dilakukan ikrar dihadapannya.

Seorang muslim adalah individu yang sentiasa diikat dengan bai’ah. Sabda Rasulullah saw.

من خلع يداً من طاعة لقي اللَّه يوم القيامة ولا حجة له، ومن مات وليس في عنقه بيعة مات ميتةً جاهليةً

“Sesiapa yang merungkai ketaatannya (dari pemimpin yang adil), ia akan bertemu Allah di hari kiamat dengan tanpa hujjah baginya. Sesiapa yang mati dalam keadaan tiada bai’ah di tengkuknya, ia mati sebagai mati jahiliah”.

Riwayat Imam Muslim dari Ibnu ‘Umar r.a.

Pada zaman Rasulullah s.a.w., sekelian para sahabat memberi bai’ah mereka kepada Rasulullah s.a.w.. Adapun selepas zaman baginda, umat Islam wajib memberi bai’ah kepada pemimpin-pemimpin yang dilantik di kalangan mereka. Sabda Rasulullah s.a.w.:

إذا خرج ثلاثة في سفر فليؤمروا أحدهم


“Apabila keluar tiga orang dalam satu perjalanan, maka hendaklah mereka mengangkat salah seorang sebagai pemimpin”.

Riwayat Imam Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.

Jika dalam urusan duniawi (iaitu urusan musafir) Rasulullah mengarahkan supaya dilantik pemimpin, maka lebih-lebih lagi dalam urusan agama dan perjuangan Islam. Institusi kepimpinan amat penting kepada perjuangan dan gerakan Islam. Kerana itu, menjadi kewajipan ke atas setiap ahli gerakan Islam untuk memberi bai’ah yang tidak berbelah bagi kepada pemimpin jamaah.

Jika dilihat kepada bai’ah yang diambil oleh Rasulullah dari golongan Ansar (melalui bai’atul Aqabah pertama dan kedua), ada dua bentuk bai’ah yang mesti menjadi kelaziman setiap ahli harakah iaitu :

1. Bai’ah untuk sentiasa berpegang-teguh dan beramal dengan setiap ajaran Islam

2. Bai’ah untuk bersungguh-sungguh memperjuang dan mempertahankan Islam hingga ke titisan darah yang terakhir.

Menurut riwayat Ubadah bin Shamit, salah seorang sahabat yang menyertai bai’atul Aqabah pertama pada tahun ke 12 nubuwwah; dalam bai’ah tersebut Rasulullah s.a.w. mengambil bai’ah dari Ansar dalam perkara berikut;

Tidak menyengutukan Allah dengan sesuatu apa pun.
Tidak mencuri, berzina dan membunuh anak.
Tidak mengadakan dakwaan palsu di tengah-tengah masyarakat.
Tidak mengengkari Rasullullah di dalam perkara makruf.


Jelas bahawa bai’ah tersebut hanya menyentuh aspek pengamalan dengan ajaran Islam, tanpa melibatkan perjuangan atau peperangan. Namun dalam bai’ah berikutnya iaitu bai’atul ‘Aqabah kedua pada tahun ke 13 nubuwwah, kandungan bai’ah ialah :

Dengar dan patuh kepada arahan nabi s.a.w. sama ada diwaktu rajin atau malas.

Memberi nafkah (kepada perjuangan) sama ada di waktu senang atau susah.

Melaksanakan amar makruf dan nahi munkar.

Bangun menegakkan agama Allah tanpa menghirau celaan sesiapa pun.

Memberi pertolongan kepada Nabi s.a.w. apabila baginda sampai di Madinah dan mempertahannya sama seperti mempertahankan diri sendiri, isteri dan anak-pinak.

Riwayat dari Jabir r.a.

Nayatalah kepada kita bahawa tanggungjawab seorang muslim bukan hanya beramal dengan Islam, tetapi juga mempertahan dan mengangkat martabat Islam dengan segala pengorbanan yang ada. Jadi, bai’ahnya terhadap harakah juga semestinya merangkumi dua hal tersebut.

[1] أولويات الحركة الإسلامية في المرحلة القادمة : مكتبة وهبة ص 12 [2] Riwayat Imam Ahmad 18544
[3] Riwayat Imam tarmizi 2091
[4] Mustafa Masyhur,Wahdatul Amal fi Qatril Wahid
[5] Said Hawwa,Durus fil Amalil Islami
[6] Dr Solah Shawi,Mada Syariyyatul Intima’
[7] Dr Yusof Qaradhawi,Min Fiqhid Daulah Fil Islam
[8] Fathi Yakan,Ihzaruu Al-Aids Haraki
[9] Husein Muhsin Ali Jabir,At-toriq ila Jama’atil Muslimin

Wednesday, April 19, 2006

Antara Intipati Ucapan Perasmian Mesyuarat Agong PAS Kawasan Puchong

Image hosting by Photobucket

Assalamualaikum wrt wbt.

Tahniah kepada seluruh perwakilan Mesyuarat Agung Pas Kawasan Puchong yang diadakan pada hari Ahad lalu, 16 April 2006, kerana dapat menghadirkan diri dan menjayakannya.

Juga kepada semua individu yang bertungkus-lumus mengurus persiapan mesyuarat, bermula daripada penyediaan dewan, makan-minum, minit mesyuarat dan termasuk yang menghulurkan sumbangan. Saya mewakili pihak Jawatankuasa Harian dan Kawasan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang menjayakannya. Insyaallah, kita akan bertemu lagi dalam program yang sama, tahun hadapan.

Ustaz Idris Ahmad, Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, dalam ucapan perasmiannya menekan betapa pentingnya perjuangan Islam ini diteruskan, terutama menjayakan program berkaitan tarbiah, seperti usrah dan lain-lain. Menurutnya, penekanan kepada usrah ini seringkali dibangkitkan beliau ketika memberi ucapan kepada ahli-ahli parti di mana sahaja. Ia adalah asas kepada kekuatan parti.

Tegas beliau, “ Kekuatan Pas bukan di pusat, bukan juga di negeri atau kawasan, sebaliknya kekuatan Pas adalah di cawangan-cawangan. Jika kuat cawangan, maka kuat lah Pas. Jika lemah, maka lemahlah Pas.” Oleh itu, usrah perlu digerakkan supaya parti menjadi kuat, selepas cawangan-cawangan hidup dengan adanya usrah masing-masing.

Beliau juga memberikan beberapa tips untuk menjadikan sesebuah usrah itu berjaya mencapai matlamat. Antaranya ialah, usrah perlu diadakan dalam tempoh 45 minit hingga 1 jam. Ianya mesti diadakan di rumah-rumah ahli, supaya dapat mengenali kediaman masing-masing. Seterusnya tidak perlu diselitkan agenda makan ( berat : penulis ) selepas atau semasa usrah, kerana menyusahkan tuan rumah.

Sekiranya usrah itu memang tidak bernaqib atau beliau tidak dapat menghadirkan diri atas sebab tertentu, ianya mesti diteruskan juga dengan melakukan apa sahaja aktiviti yang bermanfaat, seperti membaca ma’thurat, solat hajat, membaca al Quran dan seumpamanya. Apa yang penting di sini, selain amalan tadi dilakukan, pertemuan antara sesama ahli berlaku.

Seterusnya, Ustaz Idris Ahmad menegaskan, untuk menjadi seorang pemimpin yang berjaya, perlu ada kehendak yang kuat. Iaitu ada keazaman dan cita-cita untuk menjadi pemimpin yang baik dan berwibawa selain keyakinan yang mantap dalam diri setiap pimpinan. Mereka perlu bertanya pada diri sendiri, jika orang lain boleh, kenapa saya tidak boleh?

Semoga Mesyuarat Agung yang lalu memberi suntikan semangat kepada semua ahli untuk meneruskan tugas-tugas yang dibebankan oleh Allah Taala, dan istiqamah terus dalam kerja jamaah dan dakwah. Selamat bekerja.

Ketua Urusan Ulama.
19 April 2006.

Monday, April 17, 2006

Kerajaan Abdullah lemah berbanding Mahathir - Presiden PAS

Mon | Apr 17, 06 | 08:20:26 PM

Oleh Azmi Yusof MARANG, 17 April (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) menunjukkan kelemahan yang ketara selepas lebih dua tahun dipimpin oleh Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ini, katanya tidak berlaku sebagaimana yang ditonjolkan di peringkat awal memegang jawatan Perdana Menteri.

“Ini dapat dinilai dengan beberapa tindakan yang diambil, mendedahkan kelemahan dan kecelaruan pimpinan beliau. Ianya bukan sahaja tidak boleh menangani masalah yang sedia ada bahkan ditambah dengan masalah-masalah baru,” ujarnya kepada Harakahdaily ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Katanya, kelemahan yang paling ketara ialah masalah rasuah dan penyelewengan yang dijanjikan begitu hebat untuk ditangani semasa beliau mula-mula mengambil alih pemerintahan dan sebelum pilihan raya seperti membawa Tan Sri Eric Chia ke mahkamah berhubung kes Perwaja.

Beliau menambah, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir berhak memberikan pendapat sebagaimana juga PAS juga boleh berbuat demikian dalam beberapa isu yang berlaku di negara ini.

“Dr Mahathir ada kehebatan dia, saya puji kehebatan dia dalam perkara ini, ada kewibawaan. Walaupun kita tidak bersetuju dengan Tun Dr Mahathir tetapi beliau mempunyai beberapa ciri kehebatan dan kewibawaan sebagai seorang pemimpin seperti dalam isu antarabangsa,” ujarnya.

Katanya, walaupun Mahathir juga berdolak dalik tetapi beliau mempunyai kehebatan yang tidak terdapat pada pemimpin negara yang ada hari ini.

“Contohnya dalam masalah pembatalan Jambatan Indah dengan Singapura, Tun Dr Mahathir telah meletakkan batu asas. Ini menandakan Mahathir, dia hendak tangani masalah ini. Dia tinggal tetapi kerajaan yang ada ini tidak boleh hendak tangani lalu dia berlepas tangan. Apa yang berlaku, ini satu kelemahan kerana tidak boleh mengendalikan projek, tidak boleh mengendalikan kewangan dan tidak boleh mengendalikan hubungan dengan Singapura,” ujarnya.

Beliau turut ditanya mengenai beberapa isu yang berlaku semasa pemerintahan Abdullah seperti kenaikan harga minyak, penentangan terhadap Islam, ISA, tekanan kepada pensyarah, adakah berlaku campur tangan Dr Mahathir terhadap kerajaan, musibah tsunami, banjir besar, selsema burung, persiapan pilihan raya dan lain-lain.

(Temubual penuh akan disiarkan dalam Harakah cetak Jumaat ini)

Saturday, April 15, 2006

MESYUARAT AGUNG PAS KAWASAN PUCHONG

KAMI WARGA LAJNAH IT MENGUCAPKAN SELAMAT BERMESYUARAT KEPADA SELURUH AHLI PAS KAWASAN PUCHONG PADA AHAD 16 APRIL 2006. SEMOGA MESYUARAT BERJALAN LANCAR DAN MENDAPAT KEREDHAAN ALLAH. SELAMAT BERSIDANG..

Wednesday, April 12, 2006

Elak perdebatan dalam soal furu' dan tanpa hasil.

Image hosting by Photobucket

Oleh : Ustaz Omar Bin Mohamad
(Ketua Urusan Ulamak PAS Kawasan Puchong)

Fikrah 4

Assalamualaikum wrt wbt.

Perkara ke-8 yang dinyatakan oleh Assyahid berbunyi ; “ Hendaklah saudara fahami bahawa perbezaan-perbezaan ( pentafsiran dan pegangan ) dalam hukum-hukam fiqah dalam soal cabang ( furu’ ) tidak harus dijadikan sebab perpecahan dalam agama.”

Ini bukanlah kaedah dan fahaman baru yang dicipta oleh beliau, sebaliknya inilah rumusan daripada apa yang terkandung di dalam alQuran dan sunnah Nabi itu sendiri. Malah ia juga telah dinyatakan oleh para ulama sekian lama. Maksudnya mudah dan praktikalnya juga tidak begitu sukar. Jangan disebabkan qunut umat Islam berbalah, atau secara umunya, kita seharusnya terbuka dalam perbezaan pandangan mengenai hukum fiqh, tetapi tidak berkompromi dalam menangani usaha melemahkan umat Islam dan agama.

Jika perkara ini dihayati dengan baik, tidak sepatutnya berlaku pada tahun 1999 dahulu, ada pengundi yang enggan mengundi calon PAS Perlis hanya kerana calon ini berbeza dengan fahaman yang diguna pakai di negeri itu.

Pada tahun lepas, dalam usaha untuk meningkatkan penghayatan petugas PAS dengan agama serta mendekatkan diri mereka kepada Allah al Khaliq, seorang Tuan Guru ( hafizhahullah ) mencadangkan supaya diamalkan satu amalan ( tarikat ) tertentu untuk semua ahli atau petugas PAS. Perkara ini ditolak oleh Ketua Dewan Ulama PAS Selangor dengan menegaskan perkara tersebut boleh dilaksanakan secara individu dengan memilih apa sahaja amalan yang diminati, tetapi sukar untuk dijadikan sebagai aktivi atau amalan parti.

Bagi saya, jawapan tersebut adalah berhikmah, dan inilah amalan pimpinan parti kita. Penetapan sesuatu amalan tertentu yang tidak ma’thur mungkin menyinggung perasaan kumpulan lain di dalam PAS. Jalan terbaik ialah, mengambil apa yang disepakati sahaja. Di sinilah hebatnya Assyahid apabila mengemukakan al-ma’thurat yang disepakati semua ulama, kerana ia dipetik daripada alQuran dan sunnah Nabi saw. sahaja, dan cukuplah ini merupakan amalan yang dibawa dan dilaksanakan di dalam usrah-usrah PAS, secara rasmi.

Bersama PAS bukan bermaksud bersama mazhab tertentu, atau bersama tarikat tertentu. Juga bukan bermakna menyokong kaum muda atau kaum tua. Bersama perjuangan PAS ialah satu kewajipan agama yang besar, bagi menentang fahaman sekularisme yang diteruskan oleh Umno.

Oleh itu, persoalan mazhab, fiqah, tarikat dan apa sahaja perbahasan furu’ tidak seharusnya dijadikan agenda perjuangan. Sudah letih kita berhadapan dengan musuh Umno, jangan pula bertelagah di peringkat dalaman. Tetapi bukan bermakna saya tidak menggalakkan perbincangan ilmiah dan mencari kebenaran diteruskan. Apa yang perlu dipastikan ialah, perpecahan tidak berlaku. Situasi kita sahaja menang mesti berlaku. Kita menang menentang Umno kerana bersatu dan kita menang kerana perbezaan dalaman dapat ditangani dengan baik.

Seterusnya Assyahid menambah pada perkara ke-9, “ Hendaklah saudara fahami bahawa perbincangan tentang masalah yang tidak mendatangkan hasil adalah termasuk dalam erti takalluf ( usaha yg memberatkan ) yang ditegah oleh agama.”

Perkara ini dipraktikkan oleh kebanyakan ulama Islam sejak dulu lagi. Sebagai contoh, mereka enggan untuk mengandaikan sesuatu masalah yang belum berlaku dan tidak menetapkan sesuatu hukum ke atas apa yang belum berlaku. Namun, kerja-kerja ini banyak dilakukan oleh ulama Mazhab Hanafi.

Pandangan jumhur ulama itu ada benarnya, apabila sesutu yang belum berlaku dibincangkan, seperti bagaimana solat di bulan, maka ia banyak membuang masa dengan perkara yang tiada hasil atau kesan kepada umat Islam, khususnya pada zaman itu. Namun, apabila dunia semakin maju dan zaman silih berganti, melihat kepada apa yang berlaku kini, kita banyak terhutang budi dengan ijtihad yang dilakukan oleh ulama-ulama Hanafi. Ini sekadar satu contoh yang boleh difikirkan, bukan menolak kaedah di atas.

Kaedah tersebut adalah benar. Cuma, persoalan yang timbul selepas itu ialah, apakah definisi takalluf dan bagaimana menggunakan definisi tersebut terhadap sesuatu perkara atau isu yang berlaku di hadapan kita. Di sini, terserah kepada kebijaksanaan masing-masing dalam menilai. Antara isu atau kes yang boleh dikaitkan dengan kaedah ini ialah seperti berikut:

Dewan Ulama tidak pernah menentukan bagaimanakah bentuk hiburan di televisyen semasa pemerintahan PAS nanti. Apakah astro akan ditutup? Apa yang saya fahami ( mungkin salah ), jawapan ulama kita ialah, tunggu sehingga kita memerintah. Ini kerana, perbincangan terbuka dalam isu ini sebenarnya boleh memerangkap PAS sendiri. Dan akhirnya, ia akan menyusahkan perjuangan Islam kita. Apa yang penting ialah, kita berjuang untuk negara Islam. Ia sudah menjelaskan segalanya, tanpa perlu pendetilan.

Kedua, sikap ulama dan pimpinan kita yang tidak merangka konsep negara Islam sejak awal lagi, kecuali setelah berlaku desakan dan tekanan ahli serta cabaran oleh Umno. Jawapan bahawa ia telah dirancang dari awal lagi dan menunggu masa yang sesuai, bagi saya adalah jawapan politik. Apa yang saya faham ialah, pimpinan kita belum bersedia untuk mengemukakannya secara detil sebelum ini ( sebagaimana dokumen yang telah dihasilkan ) adalah kerana belum sampai masanya lagi. Jika salah perkiraan dan pemilihan masa, maka ia akan membebankan kita untuk menjawab segala keraguan dan kekeliruan yang ditimbulkan oleh Umno, sedangkan kita belum berkuasa untuk melaksanakannya dan membuktikan betapa cantiknya negara Islam itu.

Terakhirnya saya membawa contoh yang biasa diperdebatkan di mana-mana. Persoalan apakah ulama itu profesional atau tidak, dan bagaimanakah untuk memprofesionalkan ulama?

Saya tidak mengikuti sehingga akhir perdebatan isu ini di puchong-net kerana tidak jelas apakah hasilnya nanti. Mungkin jika saya membacanya sehingga habis, terdapat hasil yang ditemui. Bagi saya, satu kaedah lain mesti diguna pakai dalam isu ini.
Iaitu : ‘Tidak perlu berbalah dalam perkara istilah’. Kaedah ini terdapat di dalam kitab-kitab usul fiqh. Apa yang penting ialah isi dan maksud sesuatu istilah itu mesti jelas. Dan kita juga perlu meraikan lafaz-lafaz yang digunakan secara meluas oleh sesuatu kaum, bangsa ataupun kumpulan itu.

Pada pandangan saya, makna profesional itu mesti jelas dan diterima oleh semua, termasuk boleh diguna pakai ke atas golongan ulama. Begitu juga perkataan ulama, maknanya dari segi bahasa tidak mengecualikan golongan akademik atau bukan ulama. Mereka tetap ahli ilmu.

Tetapi oleh kerana istilah ulama ini digunakan secara meluas oleh kita sejak dulu lagi untuk golongan yang mempelajari ilmu agama, maka itulah yang diguna sehingga kini, supaya kekeliruan dari segi bahasa tidak berlaku. Tidak pula membawa makna bukan golongan agama tidak berilmu. Mereka tetap berilmu.

Malah penggunaan istilah ulama di kalangan bangsa Arab lebih bersifat umum. Ahli sains disebut ulama, sehingga kekadang, penterjemah tersilap menyebut ulama, sedangkan yang dimaksudkan adalah ahli sains Iraq. Mereka menyebut ulama uddin untuk golongan pakar agama, yang bermaksud ulama agama.

Begitu jugalah pada istilah profesional. Menurut pandangan saya, perkataan profesional yang digunakan pada golongan bukan ulama ini, bukan menafikan sikap keprofesionalan ulama, yang bermakna pakar dalam bidangnya sendiri, tetapi sekadar untuk memudahkan penggunaan bahasa. Bagi membezakan kedua-dua golongan ini maka penggunaan istilahnya ialah, ulama untuk golongan agama dan profesional untuk bukan agama. Ini lebih memudahkan untuk dilafaz. Lagi pula, itulah yang diguna pakai secara meluas di kalangan pendokong gerakan Islam.

Bagi saya, atas dasar kaedah yang dinyatakan oleh Assyahid, dan kaedah yang saya bawakan, pimpinan kita tidak mungkin akan menukar penggunaan istilah ini. Apa yang penting, jangan menafikan kepakaran golongan ulama dalam bidang mereka.

Maka memprofesionalkan ulama ialah bermakna ulama berusaha mempelajari semua atau sebahagian ilmu bukan agama yang merupakan alat untuk berdakwah, berkerja dan memimpin.

Inilah pandangan peribadi saya dalam perdebatan ulama dan profesional serta dua contoh tadi.

Apa yang penting, apa sahaja perbincangan dalam apa jua isu dan masalah, biar mendatangkan hasil, sebagaimana yang disarankan oleh Assyahid, rahimahullah.

Beberapa Kaedah Yang Perlu Diamalkan Ketika Belaku Khilaf / Perbezaan Pendapat

Image hosting by Photobucket

Oleh : Ustaz Omar Bin Mohamad
(Ketua Urusan Ulamak PAS Kawasan Puchong)

FIKRAH 5 ( SAMBUNGAN DRP ARTIKEL BERTARIKH 29 SEPT )

BEBERAPA KAEDAH YANG PERLU DIAMALKAN KETIKA BERLAKU KHILAF/PERBEZAAN PENDAPAT ( ÎáÇÝ )

Sebelum ini saya telah menyatakan empat perkara seperti di bawah ini. Ikuti perbincangan seterusnya.

“ Jika berlaku khilaf, sikap dan tindakan yang mesti kita lakukan ialah;

1. Wajib merujuk kepada Allah dan RasulNya.
2. Tidak ada sifat ma’sum bagi sesiapa sahaja kecuali Rasulullah.
3. Apabila berlaku khilaf, tindakan yang mesti dilakukan ialah melihat pandangan mana yang benar dan tepat.
4. Wajib bersangka baik terhadap seluruh ulama Umat Islam yang muktabar, menghormati mereka dan meraikan kesilapan mereka.

5. Mesti mengumpulkan semua nusus ( äÕæÕ )
[1] dan kata-kata ulama terdahulu yang muktabar dalam sesuatu masalah tertentu yang dibincangkan, sebelum memutuskan satu-satu keputusan yang hanya sekadar berdasarkan kepada satu nas sahaja. Perlu juga melihat dengan detil tentang tiga perkara, lafaz nas, maknanya dan suasana semasa nas itu diturun atau diriwayatkan. Nas yang jelas perlu diutamakan drp yang kurang jelas ( mubham ), nas yang tidak diperincikan ( mujmal ) drp yang terperinci, umum drp yang khusus, mutlak drp yang terikat ( muqayyad ), dan perlu juga mengutamakan apa yang difahami melalui teks nas drp kefahaman yang tersembunyi atau sebaliknya, apa yang diibaratkan drp apa yang diisyaratkan, apa yang wujud kemudian drp apa yang sebelumnya. Itulah cara untuk mengkaji dan menganalisa kumpulan nas yang banyak. [2]

6. Sesuatu kata-kata itu perlu difahami dengan kemungkinan/kebarangkalian yang terbaik, jika pentafsirannya adalah luas. Contoh terbaik yang ana pernah sebutkan dalam usrah ialah kata-kata Zaid Ibrahim yang ingin mencabar hukum hudud Kelantan. Apakah sewajarnya kita terus memahami kata-kata beliau itu dengan anggapan beliau mencabar hukum Allah atau mencabar kedudukan Enakmen Jenayah Kelantan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan? Di sinilah kita perlu berhati-hati dan jangan melatah dengan tindakan menghukum atau seumpamanya. Beliau tetap bersalah walau apapun tafsirannya, tetapi apakah maksud sebenar kenyataan dan tindakan beliau?

7. Jangan cepat untuk mengecam dan mengkritik pihak lain ( antara pendakwah Islam ) dengan sesuatu pandangan yang mereka miliki, sedangkan perkara itu terbuka kepada pemahaman yang pelbagai dan pentafsiran yang luas. Kita semua tahu bahawa jika ada pihak yang berusaha untuk berijtihad dan salah, maka tetap mendapat satu pahala, iaitu ganjaran bagi usahanya yang bersungguh-sungguh dan ikhlas yang dimilikinya. Maka tidak seharusnya kita berbalah dalam perkara uslub dakwah atau pendekatan pergerakan, baik pemuda, muslimat atau ulama, selagi ia boleh diluaskan konsep kefahamannya. Bukan bermakna semua betul, sudah pasti ada yang terbaik, namun jangan sebab perkara ini perpecahan dan permusuhan timbul.

8. Mesti sepakat dalam dasar umum sesuatu manhaj bagi Gerakan Islam dan tidak semestinya bersepakat dalam perkara yang lebih terperinci. Jika berlaku perbezaan pada perkara yang terperinci, tidak bermakna terkeluar daripada ruang lingkup dasar yang umum tersebut. Namun penyelesaiannya ialah dengan mengambil apa yang lebih tepat dan mengambil kira pandangan majoriti.

9. Hendaklah bersikap sederhana dan pertengahan hatta ketika mengecam musuh Gerakan Islam. Jangan melampau dalam mengutuk. Perlu ada rasa insaf dalam hal ini dan melihat secara adil.

10. Bagi ulama dan pendakwah yang muktabar dan disaksikan oleh ummah akan kebaikan dan kemuliaan mereka, ianya dapat menutupi atau memalingkan keburukan yang mereka lakukan. Tidak seharusnya menjejaki kelemahan dan kesilapan mereka, sebaliknya mengesahkan segala kemulian yang mereka miliki. Ibnu Rejab alHanbali berkata : “ Allah enggan untuk meletakkan sifat maksum kepada sebarang kitab, kecuali KitabNya ( AlQuran ) dan bagi orang yang insaf, dia tidak menumpukan kepada sedikit kesilapan seseorang, sebaliknya melihat kepada kebaikannya yang banyak.

11. Jika tidak jelas hujah yang mana paling tepat dan betul ketika berlaku ikhtilaf, perlu bertolak ansur antara satu sama lain dan bertawakkal kepada Allah serta meneruskan semangat ukhuwwah antara semua pihak yang terbabit.

Akhirnya kita hayati kata-kata assyahid Hasan alBanna : “ Kita berlapang dada dengan sesiapa yang bercanggah pendapat dengan kita dalam perkara-perkara furu’, dan kita melihat khilaf yang berlaku ini sama sekali tidak akan menjadi penghalang kepada pertautan hati yang kukuh, saling menyayangi, bekerjasama dalam kebaikan dan kita serta mereka termasuk dalam ruang lingkup kesyumulan makna Islam dengan batasannya yang sempurna dan kandungannya yang luas…..”

Soalnya, kenapa kita ( termasuk penulis mungkin ) masih suka berkeras dan berkerut dahi ?

[1] Nusus kata bilangan banyak kepada Nas, bermakna dalil daripada alquran atau hadis nabi saw.
[2] Utk memahami istilah ini, perlu masuk ke kelas usul fiqh.

HAMAS perlu belajar dari PAS

Maszlee Malik

Selepas diumumkan kemenangan HAMAS lewat pilihanraya 25 Januari 2006 yang lalu, banyak komen yang telah diutarakan oleh para Islamis di Malaysia. Antara lain, kata seorang aktivis PAS, yang merupakan rakan penulis: "PAS kena belajar dari HAMAS nih...". Logiknya menurut beliau, kejayaan HAMAS yang baru pertama kali menyertai pilihanraya dan memenanginya adalah satu keajaiban. Pasti HAMAS ada formulanya yang tersendiri. Penulis bersetuju 50% dan kurang bersetuju 50% yang lain. Penulis lebih suka mengatakan: "HAMAS perlu belajar dari PAS", mengapa?

HAMAS yang ditubuhkan pada tahun 1987 baru pertama kali menyertai pilihanraya umum (PRU). Berbanding dengan PAS, PAS telah menyertai pilihanraya umum semenjak hari pertama ia ditubuhkan. Hampir setengah abad lamanya pengalaman PAS di dalam menyertai pilihanraya. Bukankah seseorang yang telah berpengalaman itu lebih perlu dijadikan tauladan berbanding mereka yang baru belajar bertatih. Sepak terajang pilihanraya serta selok beloknya lebih difahami oleh mereka yang telah 11 kali terlibat dengan PRU berbanding dengan mereka yang baru berkenalan dengannya.

Kemenangan HAMAS adalah buat pertama kali. Berbanding dengan PAS, walaupun PAS hanya memenangi dua buah negeri sepanjangpenglibatannya di dalam PRU, namun itu juga kemenangan bukan? Apa yang lebih menarik lagi ialah kemenangan tersebut telah memberikan PAS pengalaman untuk memerintah sebuah negeri. Jika dilihat dari sudut positif, PAS merupakan parti Islam yang pertama dapat mempertahankan negeri yang diperintahnya lebih 15 tahun. Sudah tentu pengalaman 15 tahun memerintah, mengururskan dan mempertahankan negeri tersebut lebih berharga dan lebih bermanfaat untuk dipelajari. HAMAS yang baru sahaja memenangi PRU perlu mempelajari teknik memerintah, menguruskan dan juga memepertahankan Gaza dan Tebing Barat menurut pengalaman PAS.

HAMAS mungkin sekarang ini sedang menimba pengalaman kemenangan. Bagi PAS, bukan hanya pengalaman kemenangan, tetapi juga pengalaman mempertahankan kemenangan dan pengalaman menghadapi kekalahan. PAS pernah kehilangan Kelantan, dan menawannya semula pada tahun 1990. PAS pernah kehilangan Terengganu, dan menawannya semula pada tahun 1999, dan akhirnya kehilangannya sekali lagi. Kelemahan dan juga tipu daya mush di dalam menyebabkan kekalahan-kekalahan PAS juga merupakan pengalaman dan juga ilmu yang berharga untuk dijadikan panduan bagi HAMAS.

HAMAS mungkin mempunyai sokongan dari beberapa calon Kristian, malah mempunyai seorang menteri Kristian di dalam kabinet mereka. PAS pula telah berpengalaman membuat koalisi dengan non-muslim semenjak tahun 1986 lagi. Bermula dari CCC sehinggalah ke GERAK dan kemudiannya Barisan Alternatif, merupakan pengalaman koalisi politik yang amat berharga. Pahit manis dan juga liku-liku berkoalisi dengan non-muslim PAS juga merupakan pengalaman yang berguna buat HAMAS. Kesilapan yang pernah dilakukan, ataupun strategi berkompromi yang pernah digunakan oleh PAS juga banyak gunanya untuk HAMAS.

HAMAS juga sekarang ini sedang berhadapan dengan tekanan ekonomi dan juga ancaman luaran. Mungkin suasananya agak berbeza, namun PAS melalui kerajaan negeri Kelantan mereka juga sudah lali dengan sekatan dan diskriminasi. Mungkin agak berbeza sebuah negeri dengan sebuah negara, namun apa yang dilakukan oleh PAS untuk terus bangkit walaupun tekanan yang hebat dikenakan, adalah satu pelajaran yang menarik juga buat HAMAS.

Walau bagaimanapun, untuk menafikan pencapaian HAMAS dan juga pengalaman mereka juga adalah tidak wajar. Banyak juga pengalaman dan strategi HAMAS yang perlu PAS pelajari jika PAS ingin membuat kejutan seperti HAMAS. Kerja-kerja kebajikan HAMAS, sikap moderat HAMAS, pendekatan sederhana dan mudah diterima masyarakat Palestin, penonjolan imej dan juga displin ahli-ahli HAMAS merupakan di antara perkara yang boleh PAS pelajari.

Jika benarlah wakil HAMAS, seperti yang telah disebut-sebutkan, akan datang ke Malaysia untuk bertemu dengan Pak Lah. Maka, wakil tersebut juga hendaklah mengambil peluang untuk bertemu dengan Menteri Besar Kelantan dan juga Presiden PAS untuk berkongsi pengalaman. Jika mereka bertemu Pak Lah di atas kapasiti kerajaan yang memerintah Palestin, maka apabila bertemu MB Kelantan dan juga tuan Presiden, dia hendaklah memakai topi "gerakan Islam". Sudah tentunya banyak sekali yang dapat dikongsikan bersama...

Tuesday, April 11, 2006

Selamat Menyambut Maulidurrasul

Beloved Messenger of Allah saw

Although I never saw your face
So beautiful, bestowed with grace
My heath doth yearn to be like you
In thoughts and hopes and actions too
You loved the children and the old
And gave your heart to every soul
You nursed the sick and served the poor
And fed the hungry at your door
You loved the creatures - tame and wild
And comforted the orphan child
You bid men peace, cared for the youth
God's Messenger in truth . . .

sami yusuf - al-muallim (the teacher)

we once had a teacher
the teacher of teachers,
he changed the world for the better
and made us better creatures,
oh allah we’ve shamed ourselves
we’ve strayed from al-mu'allim,
surely we’ve wronged ourselves
what will we say in front of him?oh mu'allim...

chorus
he was muhammad salla allahu 'alayhi wa sallam,muhammad,
mercy upon mankind,
he was muhammad salla allahu 'alayhi wa sallam,muhammad,
mercy upon mankind,teacher of all mankind.

abal qasim [one of the names of the prophet]
ya habibi ya muhammad(my beloved o muhammad)
ya shafi'i ya muhammad(my intercessor o muhammad)
khayru khalqillahi muhammad(the best of allah’s creation is muhammad)
ya mustafa ya imamal mursalina(o chosen one, o imam of the messengers)
ya mustafa ya shafi'al 'alamina(o chosen one, o intercessor of the worlds)

he prayed while others slept
while others ate he’d fast,
while they would laugh he wept
until he breathed his last,
his only wish was for us to be
among the ones who prosper,
ya mu'allim peace be upon you,
truly you are our teacher,oh mu'allim..

chorus

ya habibi ya muhammad(my beloved o muhammad)
ya shafi'i ya muhammad(my intercessor o muhammad)
ya rasuli ya muhammad(o my messenger o muhammad)
ya bashiri ya muhammad(o bearer of good news o muhammad)
ya nadhiri ya muhammad(o warner o muhammad)
'ishqu qalbi ya muhammad(the love of my heart o muhammad)
nuru 'ayni ya muhammad(light of my eye o muhammad)

he taught us to be just and kind
and to feed the poor and hungry,
help the way
farer and the orphan child
and to not be cruel and miserly,
his speech was soft and gentle,
like a mother stroking her child,
his mercy and compassion,
were most radiant when he smiled

chorus

abal qasim [one of the names of the prophet]
ya habibi ya muhammad(my beloved o muhammad)
ya shafi'i ya muhammad(my intercessor o muhammad)
khayru khalqillahi muhammad(the best of allah’s creation is muhammad)