Thursday, September 11, 2008

Isu Azan: Laporan polis terhadap Khir Toyo

Abdul Rahim Sabri | Sep 11, 08 1:03pm

Seorang ahli Parlimen hari ini PAS membuat laporan polis terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman berhubung isu azan di Selangor.

Laporan tersebut dibuat oleh ahli jawatankuasa PAS pusat, Dr Siti Mariah Mahmud, di ibu pejabat polis Dang Wangi pada jam 11.30 pagi tadi.

Dr Siti Mariah juga merupakan ahli Parlimen PAS bagi kerusi Kota Raja.


Dalam laporan tersebut, beliau mendesak pihak polis supaya menyiasat dakwaaan Dr Mohd Khir mengenai kononnya ada usaha-usaha melarang laungan azan di masjid-masjid di Puchong dan Kota Damansara.

Katanya, Dr Mohd Khir dilaporkan membuat dakwaan tersebut dalam laporan akhbar Utusan Malaysia yang bertajuk 'Ada Usaha Larang Azan di Masjid-masjid Selangor' pada 9 September lalu.



Dr Siti Mariah berkata, sekiranya dakwaan itu tidak benar, maka tindakan sewajarnya diambil ke atas bekas menteri besar Selangor itu kerana didakwanya menabur fitnah dan menghasut.

Menurutnya, perbuatan tersebut perlu dipandang serius kerana ia boleh membangkitkan pergeseran antara agama dan bangsa di Malaysia.

Beliau juga juga memint pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan ke atas blog pembelamelayu.com yang didakwanya telah menyiarkan berita palsu berhubung perkara yang sama.

Dr Siti Mariah berkata, blog tersebut mendakwa petisyen mengenai suara azan tidak dibenarkan, telah dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor.

Bagaimanapun, katanya, selepas beliau merujuk kepada hansard/kenyataan persidangan, untuk memastikan kebenaran dakwaan tersebut, ternyata kesemua dakwaan tersebut tidak benar.

Katanya, perkara itu telah menjadi percakapan rakyat umat Islam dan pihak polis perlu bertegas sebelum sesuatu yang tidak diingini berlaku.

Tuesday, September 09, 2008

Salam Ramadhan



Puasa kembalikan manusia ke alam fitrah
Dr Osman Nasir

Kita akan menghadapi bulan puasa dalam bulan Ramadhan yang mulia yang jatuh pada bulan September ini. Sesungguhnya pada bulan ini lah kita akan kembali kepada alam fitrah yang semula jadi jika kita puasa mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. Iklan

Pada ketika kita mengamalkan puasa itulah kita akan melakukan beberapa ibadah yang menyesuaikan diri kita dengan alam kejadian kita.

Amalan puasa yang bermula dengan sahur waktu malam dan berbuka waktu Maghribnya memakan masa lebih kurang tiga belas jam.

Masa itulah yang sebenarnya diperlukan oleh tubuh untuk menghadam makanan keseluruhannya. Makanan yang masuk ke dalam perut itu akan dihadam menjadi sel, darah, otot dan lain-lain.

Inilah sepatutnya kita lakukan hari-hari tetapi dalam keadaan sebenarnya dalam tabiat kita makan sehari-hari kita makan banyak kali ?sarapan, makan pukul sepuluh, makan tengah hari, makan dan minum teh petang dan makan malam ? di mana belum pun sempat proses penghadaman berlaku sepenuhnya makanan dimasukkan ke dalam perut terus menerus sehingga proses penghadaman terganggu.

Ini menyebabkan makanan yang tidak sempat dihadam akan diketepikan sahaja dan membusuk di dalam perut dan usus. Gas pun terkumpul dan gas ini menyebabkan kita sakit perut, sakit kepala dan bila gas dan toksid naik ke permukaan kulit di muka maka jerawat timbul, kelumumur dan macam-macam lagi.

Maka puasa di siang hari sebenarnya kembalikan kita ke alam fitrah di mana kita telah mendisiplin diri kita makan ikut fitrah dan ini sesuai dengan sains perubatan.

Ketika berbuka, hendaknya jangan kita makan banyak cukup sekadar minum segelas air dan makan kuih sedikit atau makan sedikit kurma.

Kemudian kita tunaikan solat Magrhrib. Setelah itu minumlah sedikit demi sedikit setiap setengah jam hingga waktu jam sebelas malam barulah makan yang berat sedikit.

Kalau kita terus makan dengan banyaknya ketika berbuka ianya akan menyebabkan perut menjadi terkejut dan mengalami sakit. Bila kita hendak memulakan perjalanan dengan kenderaan kita tidak memulakan enjin dengan kuat tapi dalam keadaan perlahan-lahan sebelum melajukan kenderaan. Begitu juga dengan tubuh kita.

Begitu juga ketika kita bersahur jangan makan banyak sangat. Ketika kita puasa disiang hari tubuh kita akan menghadam makanan yang kita makan ketika bersahur.

Kalau kita makan banyak maka banyaklah kerja alat penghadaman kita maka kita akan menjadi tersangat letih kerana kekuatan tenaga akan tertumpu pada penghadaman sahaja. Sedangkan disiang hari kita perlu juga terus bekerja mencari nafkah untuk diri dan keluarga.

Solat fardu

Dan sudah tentu kita mesti menunaikan solat-solat fardu yang lima waktu. Kalau pada hari dan bulan lain dari Ramadhan kita lakukan solat tapi tidak regular maka pada bulan Ramadhan lakukanlah dengan penuh semangat tanpa ponteng.

Pada orang yang tidak solat dia tetap akan membasuh muka dan tangan sekejap-kejap untuk merasa nyaman bekerja maka waktu solat sudah tentu kita akan membasuh muka dan lain-lain kawasan tubuh kita; maka dengan sendirinya kita telah merasa nyaman, bersih dan membersihkan diri kita dari dihinggapi jutaan kuman pada kulit kita yang terdedah. Tambahkan pahala kita dengan solat-solat sunnat rawatib.

Solat tarawih

Pada malam harinya kita solat tarawih atau nama sebenarnya solatullail. Pada siang hari dengan kikta berpuasa maka perjalanan darah agak 'slow' sedikit maka dengan kita solat terawih kelancaran perjalanan darah menjadi laju sedikit dan kembalikan kita kepada edaran darah yang normal.

Sesungguhnya solat tarawih sepatutnya dilakukan setiap hari, tarawih pada bulan Ramadan adalah sebagai latihan kepada bulan-bulan yang lain.

Mengaji al-Quran

Kita digalakkan membaca al-Quran pada setiap malam Ramadan sebagai latihan kepada membaca al-Quran setiap hari di bulan-bulan selain Ramadan.

Bila kita membaca al-Quran kita mencipta gelombang suara, secara automatik kita mencas kuasa elektrik-magnetik di dalam diri kita, mata kita bergerak, otot-otot muka bergerak, leher kita bergerak, telinga bergerak untuk mendengar bacaan kita itu, 'MAKA JADILAH KEPALA KITA SEPERTI KOTAK SUIS ELEKTRIK' atau seperti komputer yang diberi isiannya.

Inilah satu daripada kebaikan membaca al-Quran setiap hari, tetapi hari ini kita perhatikan amalan bacaan al-Quran tidak lagi menjadi amalan seharian umat Islam. Kalau ada pun mereka menyimpan kaset atau CD al-Quran sahaja.

Kalau di rumah kita baca dengan anggota keluarga kita dan ini akan rapatkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak. Di peringkat masyarakat membaca atau bertadarus di surau dan masjid akan merapatkan ukhuwah Islamiyah di kalangan penduduk.

Orang yang puasa dengan sendirinya mendisiplinkan dirinya dengan tidak makan dan minum di siang hari, menjauhkan perkara maksiat dan lain-lain perkara mungkar.

Dan dia bersama-sama jutaan umat Islam seluruh dunia melakukan puasa ini .Gambarkan keadaan suasana puasa, buka ,sahur dan melakukan ibadah solat tarawih dan tadarus al-Quran di seluruh dunia oleh umat Islam ? alangkah indahnya suasana ini.

Maka sesungguhnya dengan ibadah puasa manusia telah kembalikan dirinya ke alam fitrah. - mks. _