Monday, June 26, 2006

BERILMU, MEMAHAMI REALITI PAS DAN WALA': SUATU KEMESTIAN

Image hosting by Photobucket

Oleh : Ustaz Omar Mohamed

Allah berfirman di dalam Surah Yusuf ayat ke 108 yang bermaksud:

“Katakanlah ( wahai Muhammad ! ) inilah jalan agama ku, aku menyeru kepada beribadat kepada Allah dan mentaatinya dengan keterangan dan hujah yang nyata, begitu juga orang-orang yang mengikutiku, dan Maha Suci Allah, aku bukan daripada kalangan orang-orang yang mensyirikkan Allah.”

Satu perkara yang ingin saya petik daripada ayat yang mulia ini ialah, dakwah di jalan Allah mesti menggunakan ilmu dan hujah yang jelas. Perkataan ÈÕíÑÉ di dalam ayat ini turut dimaksudkan oleh ulama sebagai ilmu. Hujah dan keterangan yang benar, nyata dan jelas sudah pasti datangnya daripada ilmu yang benar.

Jelasnya, Allah Taala telah mengajar kepada RasulNya, agar sentiasa menggunakan ilmu sebagai bahan dakwah yang asas. Ini merupakan cara terbaik supaya dakwah tidak terseleweng dan tidak mencapai matlamat. Daripada ilmulah akan terhasil hujah yang mantap dan bernas.

Ilmu apakah yang dimaksudkan di sini? Sudah pasti ia bermakna ilmu agama, mengenali Allah dan Rasul, memahami ajaran Islam, suruhan dan larangan Allah dan lain-lain.

Seterusnya, ilmu pengetahuan lain turut tidak terkeluar daripada kehendak ayat ini. Apa sahaja ilmu yang diperlukan oleh seorang pendakwah, mesti diketahuinya sekadar termampu dan memadai untuk menjalankan urusan dakwah.

Dr Yusuf al Qaradhawi telah menjelaskan di dalam bukunya ËÞÇÝÉ ÇáÏÇÚíÉ tentang ilmu pengetahuan yang mesti dimiliki oleh para pendakwah. Selain beliau Almarhum Ustaz Said Hawwa turut menyebut topik yang sama dalam kitabnya ÌäÏ Çááå : ËÞÇÝÉ æ ÇÎáÇÞÇ . Sekadar menyebut beberapa rujukan yang boleh digunakan oleh para pendakwah.

Saya berminat untuk menyentuh apa yang dinyatakan oleh Dr Yusuf al Qaradhawi pada akhir tulisannya. Beliau menegaskan perkara yang sangat penting dan mesti diketahui oleh pendakwah dalam melaksanakan urusannya ialah pengetahuan tentang realiti yang berlaku, suasana yang wujud dan situasi terkini, yang terdapat di sekeliling pendakwah dan medannya.

Beliau menyebut lapan æÇÞÚ yang mesti diketahui. Maksudnya ialah suasana dan realiti semasa yang wujud.

Waqi’ A’lam Islami ( Dunia Islam )
Waqi’ kuasa besar dunia yang memusuhi Islam
Waqi’ agama-agama semasa
Waqi’ pemikiran politik terkini
Waqi’ gerakan Islam semasa
Waqi’ gerakan pemikiran yang menentang Islam
Waqi’ fahaman sesat yang dikaitkan dengan Islam
Waqi’ suasana setempat.

Seterusnya saya berminat untuk sama-sama kita fikirkan perkara terakhir yang disebut oleh beliau. Memahami realiti dan suasana setempat. Itulah medan yang menjadi sasaran dakwah kita.

Ini adalah satu seni dakwah yang sangat penting, khususnya bagi kita yang bergiat aktif atau pasif dalam PAS. Pandakwah ( baca: ahli PAS ) mesti mahir dengan suasana setempat dan apa yang berlaku di tempatnya.

Antara yang mesti diketahui ialah, bahasa penduduk setempat, corak pemikiran mereka, tahap kefahaman agama, adat resam, permasalahan yang sering berlaku dan perkara yang boleh memberi kesan kepada penduduk tersebut.

Sesiapa sahaja yang mempelajari agama ( baca : bahan dakwah ) di suatu tempat dan daripada suatu madrasah tertentu, sudah pasti akan terkesan dengan kedua-duanya. Penuntut ilmu di Timur Tengah akan terpengaruh dengan apa yang ada di sana, tidak banyak sedikit. Penuntut ilmu di India dan Pakistan, juga sama. Tidak kurang juga penuntut yang pulang dari Eropah atau Amerika Utara. Jika mereka semua berkumpul di dalam PAS, sudah tentu akan berlaku pelbagai perbezaan pandangan dan cita rasa.

Oleh sebab itulah, betapa pentingnya penekanan terhadap suasana setempat dan ia mesti berlaku di kalangan bakal penggiat aktiviti PAS.

Saya ingin menambah sedikit kepada apa yang dinyatakan oleh al Qaradhawi di atas. Sebagai ahli PAS yang akan pulang sebagai pendakwah, perkara paling penting yang mesti diketahui sebelum memulakan kerja dakwah ialah mengenali PAS. INI adalah kerana PAS bukan Ikhwan Muslimun, PAS bukan WAMY, PAS bukan Ikhwan A’lami, PAS bukan MISNA, PAS bukan HIZBI, PAS bukan PMRAM, PAS bukan IIIT, PAS bukan PKS, PAS bukan HAMAS dan PAS bukan IRC atau MISG. PAS adalah PAS. Ia berbeza daripada ABIM, JIM dan Tabligh.

Maka, menjadi tanggung jawab para pendakwah mengenali PAS melalui kepimpinan ulamanya, kerana para ulama lah yang memegang dasar dan halu tuju PAS sebagai gerakan Islam, melalui Majlis Syura Ulama. Dasar dan Hala Tujunya ( sebagai jamaah Islam ) pasti tidak akan berubah selama-lamanya. Seterusnya mengenali semua yang ada pada PAS, tahap pemikiran ahli, masalah dalaman dan luaran melibatkan parti, strategi dan pendekatan parti, budaya parti, serta apa sahaja yang boleh dikaitkan dengan batang tubuhnya.

Walau apa pun kekurangan yang ada pada PAS, adalah salah untuk kita menjauhinya atau menjauhkannya daripada perjuangan kita, lantas membentuk persekitaran baru, yang akhirnya terbentuk jamaah baru yang bermula dengan kosong. Bagaimana mungkin mewujudkan kesatuan ummah jika sejak awal lagi kita bersalah dengan membiarkan berbilang jamaah tanpa kesatuan wala’. Lantaran itulah berlakunya perbalahan dalam perkara remeh. Akhirnya ummah yang rugi, sedangkan kita daripada awal lagi enggan bersama ( demi kepentingan ummah ) kerana merasakan kumpulan yang sedia ada tidak betul.

Kita sepatutnya daripada awal lagi berada di bawah satu bumbung tetapi mengambil sikap untuk berasingan, kemudian setelah berlaku pergeseran, barulah beriya-iya meminta semua orang bersatu atas nama ummah? Apakah rugi kalau kita berada di bawah satu bumbung sejak awal lagi, dan pelbagaikan uslub kerja di bawahnya? Ibarat air yang turun dari awan yang sama, ada yang berperanan di sungai, ada yang di laut, ada di tasik, ada di terusan, namun semuanya akan merujuk kepada ‘ibu’ yang satu, iaitu awan itu sendiri.

Seterusnya, jika kita ahli PAS, jangan pula membawa masuk corak pemikiran dan trend jamaah lain. Ini akan menimbulkan pelbagai kesan negatif. Jika kita tidak mahu membawa gaya dan trend PAS, maka sepanjang perjuangan kita, jangan dikaitkan sama sekali dengan PAS.

Itulah antara apa yang ingin saya huraikan di sini. Untuk dikaitkan dengan ayat di awal tulisan ini, saya menyeru kita semua memahami Dakwah Islamiah sebagaimana ia difahami oleh pimpinan kita. Ketika membaca buku dakwah, perlu dikaitkan apa yang diistinbatkan itu ( pengajaran ) dengan corak perjalanan parti dan kehendak pimpinan. Ini kerana pimpinanlah yang dijadikan rujukan dalam hal ehwal dakwah dan tarbiah.

Akhirnya, sudah pasti akan wujud pertembungan pemikiran dalam PAS, jika memahami Dakwah Islamiah dari luar lingkungan parti dan tanpa disesuaikan semula, kemudian cuba menyerapkan kesemuanya, tanpa tapisan antara apa yang perlu dan boleh, dan apa yang tidak perlu, ke dalam parti. Malah lebih parah jika membawa agenda peribadi atau kelompok sendiri dalam parti, tanpa rasa wala’ kepada pimpinan sedia ada. Sekali lagi saya tegaskan, perlu meningkatkan ilmu agama, memahami apa itu PAS dan berwala’ untuk menjadi ahli yang baik.

Friday, June 16, 2006

ULAMA MUDA SEBAGAI SATU PENYELESAIAN

Oleh : Omar Mohamed
Ketua Urusan Ulama Puchong.

ULAMA MUDA SEBAGAI SATU PENYELESAIAN

Bismillah

Kalimah ulama adalah kalimah keramat bagi seluruh ahli PAS suatu ketika dahulu. Ia bermula dengan penonjolan konsep ‘Kepimpinan Ulama’ awal tahun 80-an. Kini mungkin hanya sebahagian sahaja melihatnya sebagai keramat. Perkara ini menggusarkan pihak tertentu, khususnya golongan ulama itu sendiri. Apakah puncanya? Kita perlu mencarinya.

Ulama adalah mereka yang memiliki ilmu agama yang mantap dan mampu menghasilkan natijah agama daripada sebarang persoalan semasa. Saya tidak perlu mentakrif erti istilah ini secara akademik kerana ini bukan tempatnya. Ringkasnya, kalimah ini untuk mereka yang mahir ilmu agama, samada ilmu itu sahaja atau ditambah nilai dengan ilmu-ilmu lain yang sangat penting. Begitu juga, samada ilmu itu hanya berkaitan fiqh sahaja, atau hadis, juga aqidah dan lain-lain.


ULAMA SERING DIMUHASABAH

Isu siapa ulama dan apakah ulama memiliki tongkat Nabi Musa alaihissalam pernah dibangkitkan sebelum ini. Ramai juga mempersoalkan peranan ulama di dalam PAS. Ringkasnya, ulama PAS telah lali dikritik. Baik yang mengkritik itu adalah pengkritik kuat PAS seperti bekas PM, atau ahli PAS sendiri yang terdiri daripada latar pendidikan yang berbeza. Di muktamar baru-baru ini, sekali lagi mereka disentuh, tetapi agak lembut berbanding tahun lalu.

Mahathir mengkritik ulama PAS yang dilihatnya seoalah-olah dewa oleh pengikut, dan kononnya memiliki tongkat Musa, memutuskan segala-galanya sehingga tiada ruang pihak lain mencelah. Bagi sesetengah ahli, persoalan yang dibangkitkan oleh mereka ialah kemampuan ulama itu sendiri untuk menjadi pemimpin yang berwibawa di dalam parti. Paling tidak, mampu menggerakkan dewan sendiri secara lebih agresif dan mampan.

Harapan ahli PAS terhadap ulama ini sangat tinggi. Tidak jauh bezanya apa yang mereka harapkan dengan apa yang mereka saksikan daripada hasil perjuangan para Nabi, mujahidin dan tokoh-tokoh ulama masa sepanjang zaman. Nabi berjaya menjadi ketua negara, ketua turus angkatan tentera dan pendidik kepada pengikut dan masyarakat. Itulah juga yang dikehendaki berlaku terhadap golongan ulama PAS. Ia cukup berat untuk dipikul dan dibuktikan. Begitulah juga harapan mereka apabila membandingkan pengorbanan yang ditunjukkan oleh ulama semasa yang telah berjaya.

Terlalu malang jika hal ini tidak disedari oleh mereka yang menganggotai dewan bagi golongan ulama ini. Lebih malang jika tiada apa-apa yang dilakukan setelah kritikan demi kritikan diluahkan oleh ahli yang terlalu sayang kepada parti dan kepimpinan ulama. Kita tahu perbezaan antara Kepimpinan Ulama dan Dewan Ulama, tetapi ia bukan bermakna Dewan Ulama tidak perlu menonjol dan lebih agresif. Lupakan kepada kritikan pihak luar, kerana banyak yang tidak berasas. Atau kritikan pihak yang sememangnya prejudis terhadap parti. Tetapi jangan menolak apa sahaja yang dikoreksi oleh ahli sendiri. Sangat merbahaya kepada Dewan Ulama dan parti, jika segala teguran dan pandangan ‘luar’ dibiarkan sahaja.


PERBANDINGAN TIDAK ADIL

Saban tahun, Dewan Pemuda banyak memberi pandangan terhadap ulama PAS. Ia suatu tindakan yang baik jika perbandingan yang dibuat tepat dan maudu’ tegurannya relevan. Tetapi jika tersalah, maka inilah yang boleh menimbulkan masalah antara kedua dewan ini. Salah jika Dewan Pemuda membandingkan kerja buat Dewan Ulama dengan apa yang telah mereka lakukan. Ia ibarat membandingkan orang muda dengan orang tua. Orang yang bertenaga dengan orang yang telah letih. Ia tidak adil. Apatah lagi kalau inginkan mereka membuat kerja-kerja orang muda, tidak patut!!

Saya berpandangan sedemikian kerana melihat realiti pada Dewan Ulama itu sendiri. Kebanyakan daripada anggotanya adalah individu-individu yang melepasi usia muda ahli PAS. Bukan setakat usia yang lanjut, ramai juga yang selayaknya berehat di rumah sambil melakukan kerja parti yang bersesuaian daripada turun ke padang demonstrasi.

Tidak lojik, jika kita bandingkan mereka ini dengan keterlibatan anak-anak muda PAS dalam Dewan Pemuda di semua peringkat. Ibarat membandingkan orang sihat dengan orang sakit? Mungkin juga. Tanpa menafikan kewujudan golongan ulama muda dalam dewan ini, seperti yang dapat dilihat pada Muktamar Ulama di Dewan Tuan Guru Hj Osman al-Yunusi baru-baru ini, tetapi ia masih lagi belum mencukupi untuk menggerak-aktifkan dewan mereka.

Jika begitu, apakah masalah ini tiada penyelesaian? Tidak juga. Sesuatu perlu dilakukan oleh semua pihak untuk menggerakkan Dewan Ulama di semua peringkat. Bagaimana? Tindakan awal ialah mengenal pasti secara tepat masalah Dewan Ulama di semua peringkat serta puncanya, termasuk Jawatankuasa Urusan Ulama di peringkat kawasan-kawasan.

Tidak adil jika saya senaraikan di sini kelemahan mereka tanpa membuat kajian terperinci dan tanpa melibatkan mereka sendiri. Kajian juga perlu dilakukan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat secara terperinci dan penuh keinsafan. Kemudian mereka perlu duduk semeja bersama kepimpinan Dewan Ulama PAS Pusat untuk menggerakkan ayahanda-ayahanda mereka. Bukan hanya mengkritik di muktamar sahaja. Setelah selesainya muktamar baru-baru ini, mereka boleh membincangkan perkara ini secara lebih serius lagi.

Ketika ini, ulama perlu lebih menerima dan mendengar daripada anak-anak muda ini. Ini kerana, bebanan yang dipikul oleh ulama ini adalah terlalu besar, bebanan yang membawa imej dan reputasi parti, di bawah konsep ‘Kepimpinan Ulama’.



GEMBLENG TENAGA MUDA

Namun, saya juga ingin menyarankan di sini betapa pentingnya tenaga-tenaga ulama muda yang berada di dalam PAS digerakkan untuk membantu Dewan Ulama. Tambahan pula Dewan Ulama sendiri telah mewujudkan satu lajnah baru di peringkat pusat dan negeri, iaitu Lajnah keahlian dan Ulama Pelapis. Selama ini mungkin Dewan Ulama dilihat hanya sesuai untuk golongan ustaz yang telah hampir meninggalkan usia muda mereka sahaja, tetapi dengan adanya lajnah ini, tanggapan itu mungkin berubah.

Jika dilihat ke dalam Dewan Pemuda di semua peringkat, ramai juga penggerak dewan ini terdiri daripada golongan ustaz muda yang baru menamatkan pengajian di universiti tempatan dan luar negara. Bayangkan jika semua golongan ustaz ini menyertai Dewan Ulama Pusat dan Negeri-Negeri!!! Tidak dapat dinafikan, jika ia berlaku, sesetengah dewan pemuda akan pincang dan hilang taringnya. Tetapi kita tidak mengharapkan ia berlaku sebegitu. Apa yang boleh dilakukan ialah mereka ini perlu menggerakkan kedua-dua dewan ini secara serentak. Pengagihan tenaga muda ini mesti dilakukan oleh parti.

Kita tidak mahu ulama@ustaz muda hanya mengisi Dewan Pemuda sahaja sehinggakan Dewan Ulama kekurangan tenaga muda yang boleh memberi impak besar kepada dewan ini. Mulai sekarang, Dewan Ulama perlu berkempen secara besar-besaran supaya ramai ustaz muda ini menyertai mereka. Kemudian, baru adil dibandingkan Dewan Pemuda dan Dewan Ulama, sebagai satu persaingan positif menyemarakkan perjuangan parti.

Friday, June 09, 2006

Muktamar PAS Pusat ke 52 melabuh tirai

Fri | Jun 09, 06 | 12:31:32 PM

Oleh Wan Nordin, Helmi, Sabri, Bashir, Saidatul, Nyza dan Nabila ALOR STAR, 9 Jun (Hrkh) - Setelah empat hari perwakilan dan pimpinan PAS berkubu di Komplek PAS Kedah bagi menghadam segala input berhubung perbahasan dan ucapan, Muktamar PAS kali ke 52 telah melabuhkan tirainya hari ini.

Muktamar kali ini lebih bermakna dengan sambutan rakyat Kedah dan kawasan sekitarnya lebih-lebih lagi bila lautan manusia mengunjungi Komplek PAS Kedah dalam empat hari ini .

Malah kemuncaknya malam tadi kira-kira 50 ribu manusia berhimpun mendengar Ceramah Perdana yang menampilkan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Hari ini pula segala persoalan dari perbahasan perwakilan telah dijawab oleh pemimpin yang mewakili posisi masing-masing.

Bermula dari lajnah-lajnah hinggalah kepada ketua-ketua dewan dan penghabisannya pimpinan tertinggi. Bernas atau tidak, semuanya telah dilunaskan dengan harapan agar perwakilan berpuas hati dengan jawapan.

Memetik ucapan penggulungan Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar sebentar beliau amat berterima kasih kepada penganjur iaitu PAS Kedah dalam bertungkus lumus menyediakan Kompleks PAS Kedah untuk keselesaan perwakilan dan pimpinan.

Beliau juga berharap agar segala yang dibincangkan dalam Muktamar ini akan memberi satu momentum baru kepada petugas parti dalam menghadapi pilihan raya akan datang. Kenyataan ini sejajar dengan hasratnya dalam laporan Harakah keluaran terdahulu sebelum Muktamar ini bermula.

Sementara itu Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayob pula menarik perhatian perwakilan dengan suara lantangnya memugar semangat ahli PAS dengan seruan agar sedia berkorban hatta mengorbankan nyawa untuk mempertahankan Islam.

Seruan itu disambut dengan laungan takbir oleh perwakilan menggegar segenap ruang dewan Dato' Fadzil Mohd Noor di Komplek PAS Kedah.

Selain itu Naib Presiden PAS, Dato' Dr Hasan Mohd Ali pula berkata beliau kecewa dengan tohmahan yang menyatakan beliau tidak membuat kerja yang dilempar kepadanya yang akhirnya disiarkan oleh Malaysiakini.com.

Ini kerana tohmahan itu telah tersebar luas malah dibaca oleh rakan-rakan dan anaknya yang sangsi dengan laporan itu, katanya.

Seorang lagi Naib Presiden, Muhammad Sabu pula berkata semua ahli perlu memperjuangkan soal membebaskan demokrasi di negara ini yang kini dicengkam oleh pemimpin Umno terutamanya sejak era Tun Dr Mahathir dan Abdullah Ahmad Badawi.

"Saya mahu semua orang lelaki turun ke jalan raya berdemonstrasi. Mutakhir ini saya bangga dengan Muslimat PAS terutama Ketua Muslimat, Ustazah Azizah yang basah disembur air ketika demonstari membantah kenaikan harga minyak," katanya.

"Lebih dasyat lagi Aiman Athirah yang berdemonstrasi mengambil alih tugas pegang pembesar suara setelah kaum lelaki lari dikejar FRU.ni perlu dicontohi. Jika takut baik duduk kat rumah pakai kain batik.Biar saya dan muslimat untuk tuntut demokrasi," katanya.

Ucapan Muhammad Sabu itu disambut dengan laungan takbir yang sangat kuat dari perwakilan.

Di pihak perwakilan, samada bersetuju dengan pendapat pemimpin atau tidak, ianya terpaksa dilayan untuk semusim lagi menanti Muktamar ke 53 akan datang yang belumpun diputuskan lokasinya.

Krisis Dr M - PM: Agong mesti bubar Parlimen

Krisis Dr M - PM: Agong mesti bubar Parlimen - Impak
Fri | Jun 09, 06 | 02:31:08 PM

Oleh Harakahdaily KUALA LUMPUR, 9 Jun (Hrkh) - Yang diPertuan Agong mesti membubarkan Parlimen atau memecat Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad bagi memastikan institusi Yang diPertuan Agong tidak terjejas, kata Pengerusi Institut Pengemblengan dan Pembangunan Komuniti (Impak) Mahfuz Omar.

"Apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberikan undi tidak percaya kepada Abdullah untuk menjadi Perdana Menteri negara ini, undi tidak percaya itu sebenarnya mewakili rakyat dari bukan dari Dr Mahathir seorang sahaja," kata beliau mengulas kenyataan tanpa selindung Dr Mahathir yang menolak kepimpinan Abdullah.

Menurut Mahfuz, apa yang disebut oleh Dr Mahathir sebenarnya memberikan kesan yang tidak boleh diperbaiki lagi ke atas integriti dan maruah kepimpinan Abdullah dan kabinetnya.

Lebih dari itu, katanya, keadaan negara hakikatnya amat meruncing apabila pemimpin yang sepatutnya menerajui negara ke arah kebaikan dilondehkan kelemahannya oleh orang yang melantiknya sehingga menjadi Perdana Menteri.

"Mana mungkin negara kita terbiar di bawah kepimpinan orang yang dipertikaikan kebolehannya untuk memimpin oleh rakyat dan disuarakan dengan tegas dan jelas oleh bekas Perdana Menteri sendiri?" tanya beliau.

Apabila rakyat termasuk bekas Perdana Menteri memberi undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, kata Mahfuz, ia pasti memberi kesan kepada kestabilan negara terutama dari segi ekonomi.

"Perdana Menteri yang mengalami krisis keyakinan dan undi tidak percaya yang begitu ketara akan menyebabkan para pelabur umpamanya menjauhi negara kita," kata beliau.

Oleh sebab itulah, jika Abdullah dan kabinetnya serius untuk mempertahankan kewibawaan institusi Yang Dipertuan Agung dan lebih dari itu jika mereka benar-benar bersikap patriotik kepada negara ini, mereka mesi meletak jawatan untuk membolehkan Yang Dipertuan Agung membubarkan Parlimen dan menyerahkan kembali mandat kepada rakyat.

Sementara itu, wartawan yang mahu mendapatkan ulasan Abdullah mengenai kritikan keras Dr Mahathir terhadap kepimpinannya kecewa selepas dilarang berbuat demikian oleh beberapa pegawai perdana menteri.

Ketika wartawan menunggu peluang untuk menemui Abdullah selepas majlis pelancaran rasmi Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia (WICFF) di sebuah hotel di ibu negara malam tadi, pegawai berkenaan telah mengingatkan wartawan supaya tidak bertanya mengenai kritikan keras Dr Mahathir terhadap Abdullah.

Sebelum ini, apabila ditanya sama ada beliau kesal kerana memilih Abdullah sebagai penggantinya, Dr Mahathir berkata: "Saya telah membuat banyak kesilapan sepanjang kerjaya saya. Saya telah membantu ramai orang tetapi mereka telah menikam saya dari belakang...saya ada tabiat silap memilih orang."

Apabila terus didesak sama ada Abdullah telah menikamkan dari belakang, beliau menjawab: "Calar-calar sikit".

"Siapa yang tahu apa seseorang itu akan lakukan apabila dia tidak lagi di bawah kawalan kita. Jadi, saya sangka saya telah membuat pilihan yang baik," kata bekas Perdana Menteri itu.

Bagaimanapun, Dr Mahathir menafikan beliau sedang berkempen untuk menjatuhkan Abdullah sebagai pemimpin parti pemerintah Umno.

"Mana boleh saya membuangnya, ia terpulang kepada partinya untuk berbuat demikian, bagi Umno untuk membuangnya. Saya tidak membantu atau berkempen dan memberitahu orang, 'tolong buang orang ini'.

Dr Mahathir juga mengakui beliau mungkin telah membuat keputusan yang silap dengan memilih Abdullah sebagai penggantinya.

Tuesday, June 06, 2006

Salahuddin sedia terima bala Allah jika berniat mahu bawa Pemuda kepada dasar lain

JERAI, 6 Jun (Hrkh) - "Saya minta semua perwakilan memahami mengapa saya menyebut nama Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucaptama saya dengan menyebut bahawa Tun sebagai Ketua Pembangkang Malaysia.Sebenarnya saya perli, bukan saya mengiktiraf beliau," kata Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayob ketika mengadakan sidang media di Sekolah Agama Integrasi Faizzin (SAIF) dekat sini hari ini.

Menurut Salahuddin, nama Mahathir sengaja disebut dalam ucaptamanya kerana, baginya bekas Perdana Menteri (PM) mutakhir ini banyak mengkritik kepimpinan PM, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam isu-isu seperti permit import (AP) dan jambatan bengkok.

Perwakilan sebenarnya tidak mengerti maksud yang cuba disampaikan dalam ucaptama kerana tindakan menyebut nama bekas PM itu sengaja dibuat kerana mahu Mahathir sedar bahawa ketika beliau sudah tidak berkuasa, suaranya hari ini tidak didengari, katanya.



Saya minta semua perwakilan memahami mengapa saya menyebut nama Tun Dr Mahathir Mohammad dalam ucaptama saya dengan menyebut bahawa Tun sebagai Ketua Pembangkang Malaysia - Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayob.Guna isu untuk kepentingan rakyat

Selain itu, isu-isu yang dibangkit Mahathir ada banyak faedahnya kepada rakyat dengan pengalamannya sebelum ini mentadbir negara lebih 22 tahun, katanya.

Malangnya, niatnya itu tidak difahami oleh perwakilan yang rata-ratanya terdahulu dalam perbahasan pagi tadi menghentam Ketua Pemuda PAS supaya menarik semula ucapan itu, katanya.

Untuk menjadikan Mahathir sebagai Ketua Pembangkang bukan niat Pemuda PAS tetapi, Pemuda PAS akan terus mengingatkan bekas PM itu betapa teruknya pimpinan Umno dan kerajaan hari ini, katanya.

Itu bukan satu jawatan rasmi tetapi ianya sinikal yang biasa diguna dalam pidato-pidato yang bukanlah niat Pemuda PAS untuk menidakkan kezaliman yang pernah dilakukan Tun Dr Mahathir, katanya.

"Pemuda PAS tidak akan dibawa kepada satu dasar yang lain dan saya bersedia terima bala dari Allah," katanya.

Sementara itu hujah Salahuddin itu disokong oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Idris Ahmad dengan menyatakan bahawa Pemuda PAS sebelum ini tidak pernah mahu menjadikan bekas PM itu sebagai ketua pembangkang.

Sebaliknya menggunakan apa yang disebut dan didedah itu untuk memperlihatkan betapa buruknya sikap pimpinan Umno dalam melayani suara pembangkang selama memerintah negara sejak merdeka lagi, katanya.

Ummah Centric perlu dijauhi

Selain itu Ustaz Idris dalam menggulung perbahasan perwakilan berkata, Pemuda PAS hari ini perlu berhati-hati terhadap dakyah Ummah Centric yang cuba memecahbelahkan gerakan Islam.

Katanya, golongan ini kini sedang menggarab usaha di institut pengajian tinggi (IPT) bagi menyesat dan memecahbelahkan jamaah Islam dengan provokasi ke atas soal wala' ke atas pemimpin yang didakwa mereka tiada dalam jamaah.

Golongan ini perlu dipantau dan dimusnahkan fahamannya yang dilihat menjadi agen Umno, katanya.Beliau meminta Pengarah Jabatan Pembangunan Mahasiswa (JPM) memantau perkara tersebut.

PAS selar tindakan tidak bertamadun polis

TIMBALAN PRESIDEN PAS, USTAZ NASHARUDIN MAT ISA, menyelar pihak polis dan menyifatkan tindakan pihak berkuasa terhadap perhimpunan aman membantah kenaikan harga minyak di KLCC hari ini sebagai tindakan yang tidak bertamadun.
"PAS berasa amat dukacita dengan tindakan polis, kerana kami berhimpun secara aman untuk mewakili rakyat Malaysia mambantah kenaikan harga minyak dan tarif elektrik baru-baru ini.

"Malangnya tindakan polis hari ini amat tidak bertamadun dan tidak berperikemanusiaan," tegas beliau semasa dihubungi semasa berada di Pusrawi bagi melawat Amran Zulkifli yang berlumuran darah akibat kecederaan dipukul polis di kepala.

Menurut Ustaz Nasharuddin, tindakan ganas ini sebenarnya hanya meletakkan imej polis ke pada tahap yang paling rendah pada pandangan rakyat jelata.

FRU pukul secara membabi buta

Timbalan Presiden PAS itu menegaskan, apa yang beliau saksikan hari ini menjadi bukti jelas bahawa pihak polis dan FRU memukul orang ramai yang berada dalam perhimpunan aman tersebut secara membabi buta.

Beliau juga menyifatkan tindakan tidak profesional polis tersebut sebagai suatu tindakan yang didorong oleh tekanan pihak lain.

"Kita kesal selepas pelbagai laporan mengenai polis (laporan suruhanjaya) dan perilaku yang bercanggah dengan sistem keadilan negara, pihak polis tetap tidak mengambil iktibar.

"PAS tidak akan berdiam diri dan kami akan mengambil tindakan susulan," tegasnya kesal.

Peristiwa pada pagi semalam, menjadi hangat apabila Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub, Ronnie Liu (DAP) dan Badrul Hisham Shahrin (KeADILan) antara pemimpin utama pembangkang beserta 15 aktivis lain, dan dua orang wanita ditangkap dalam demonstrasi membantah kenaikan harga minyak di hadapan KLCC kira-kira jam 10.50 pagi.

Semua yang ditahan telah dibawa ke Balai Polis Pudu, bagaimanapun ke semua aktivis telah dibebaskan jam 3.30 petang

Namun semua mereka dikehendaki melaporkan diri di Balai Polis Dang Wangi pada 28 Jun ini.Sehingga dibebaskan kesemua mereka tidakpun dikenakan pendakwaan kata, Salahuddin yang keluar selang beberapa minit selepas Ronnie Liu dibebaskan.

Menurut Salahuddin, dalam soal siasat kesemua aktivis yang ditahan mengambil pendekatan untuk tidak mahu menjawab sebarang soalan dari pihak berkuasa, katanya.

"Kita cabar polis agar mendakwa kami ke mahkamah.Kita akan berjumpa di sana," katanya.

Mengulas kejadian Salahuddin berkata, penahanan beliau dan beberapa aktivis lain menunjukkan betapa tidak demokratiknya kerajaan yang dipimpin Abdullah Ahmad Badawi.

Thursday, June 01, 2006

Tragedi berdarah KLCC bukti media tidak bertanggungjawab

Wed | May 31, 06 | 05:20:37 PM

Oleh Nabila Abdullah KUALA LUMPUR, 31 Mei (Hrkh) - Kegagalan media arus perdana menyiarkan 'tragedi berdarah' bantahan rakyat di pekarangan KLCC Ahad lalu membuktikan media gagal menjalankan tanggungjawab sebagai lidah rakyat, dakwa Ketua Pengarang Suara Keadilan, Zulkifli Anuar (Zunar).

Media bertanggungjawab memaparkan berita seimbang dan tidak menyebelahi mana-mana pihak, katanya yang menyiarkan secara meluas 'tragedi berdarah' itu dalam buletin terbaru 'Suara Keadilan'.

Buletin dwi bulanan terbitan 1-12 Jun itu, pada halaman pertama menyiarkan gambar-gambar tragedi berkenaan termasuk seorang pemuda berlumuran darah dengan tajuk besarnya ZALIM.

"Demonstrasi di KLCC baru-baru ini menunjukkan media perdana berat sebelah kerana tidak menyiarkan keadaan sebenar. Malah kebanyakan akhbar tidak melaporkannya langsung," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata tindakan ganas polis menahan dan memukul peserta perhimpunan itu memperlihatkan penyalahgunaan kuasa pihak berkenaan.

"Ia amat bertentangan dengan hak kebebasan bersuara dan berkumpul yang tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan. Sepatutnta ia disiarkan agar rakyat mengetahui kezaliman polis," katanya.

Kongkongan media di Malaysia keterlaluan kerana kerajaan berhak menarik permit akhbar yang tidak selari dengan kehendaknya, katanya.
"Tindakan ini memperlihatkan kerajaan bila-bila masa boleh menggunakan kuasa veto," katanya.

Beliau berpendapat jurang indeks kebebasan media di Malaysia sangat jauh berbanding Indonesia memandangkan akhbar di sana bebas mengkritik kerajaan. Indonesia ada unsur kebebasan media kerana setiap parti politik berhak menerbitkan akhbar, katanya.

"Rakyat bebas untuk memilih dan pembatalan permit tidak terletak pada kerajaan sebaliknya hanya mahkamah boleh menarik balik permit berdasarkan kesalahan akhbar," katanya.

"Di tanah air keadaan tidak akan berubah selagi tiada tekanan kuat daripada pihak pembangkang bagi mencapai kebebasan akhbar," katanya.

Orang ramai yang ditemui juga menyatakan kekesalan kerana media arus perdana tidak menyiarkan 'tragedi berdarah' di KLCC.

Mereka berkata amat menghairankan jika media berkenaan boleh menyiarkan tunjuk perasaan rakyat di kota-kota jauh seperti Manila, Bangkok dan Jakarta tetapi tidak langsung menyebut apa yang berlaku di depan mata mereka.

Kata mereka akhbar tempatan menepati peribahasa 'kuman di seberang lautan nampak, bangkai gajah di depan mata tak nampak'. - lanh