Tuesday, December 12, 2006

Ustaz Ghani Jual ikan laut tangkapan ayah

Salmiyah Harun
Mon | Dec 11, 06 | 04:03:00 AM
Ada yang menganggapnya garang walaupun sebenarnya beliau peramah dan penyayang. Selain berdakwah, beliau turut berkecimpung aktif dalam dunia perniagaan. Pernah menjadi peniaga ikan sewaktu masih kanak-kanak, dan profesyen perniagaan itu diteruskan sehingga usianya mencecah 61 tahun.

Ikutilah temubual wartawan Salmiyah Harun bersama Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman yang juga Pengerusi Usahawan Melayu, Bandar Tun Razak, Cheras.

Latar belakang ustaz.
Saya dilahirkan pada 1945, bapa seorang nelayan dan ibu suri rumah. Untuk menampung pendapatan ibu mencari pendapatan lebih dengan menoreh getah. Adik-beradik sepuluh orang, dan kini hanya tinggal empat beradik, yang lain sudah kembali ke rahmatullah.

Saya mulanya sekolah kebangsaan dan pada sebelah petang sekolah agama. Tetapi saya masuk juga sekolah Inggeris sebab waktu itu sijil agama tidak diiktiraf.

Kalau kita pandai dan bijak macam mana sekali pun dalam agama ia tidak diiktiraf. Masa depan gelap. Inilah modalnya.

Biarlah sijil sekolah agama tidak diiktiraf asalkan ada ilmu agama. Saya paling minat matematik. Cukup minat. Selepas itu saya melanjutkan pelajaran di Maahad Dakwah (Nilam Puri) tahun 1969 seterusnya sambung ke Mesir dalam bidang Syariah.

Zaman kanak-kanak ustaz macam mana?
Saya ni orang susah. Bila orang susah kami sering ke laut di Tanjung Bidara, tolong bapa tangkap ikan. Memang saya minat sehingga sekarang, tapi masa tidak mengizinkan saya nak ke laut mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak.

Saya berniaga jual ikan, ketika itu saya berfikir arwah bapa saya penat ke laut, kadang-kdang dapat kadang-kadang tidak. Tengah malam kena pergi, ribut tengah-tengah laut. Tetapi orang tengah yang untung.

Lepas itu saya terfikir sampai bila saya nak bergantung pada orang tengah. Dari sini saya bertekad jual sendiri ikan yang ditangkap, banyak sikit untung. Daripada duit inilah saya gunakan untuk melanjutkan pelajaran di Nilam Puri.

Bagaimana ustaz boleh terlibat dengan dunia politik?
Dalam usia muda pula saya sudah berjinak-jinak menjiwai sifat kepimpinan. Dalam usia 14 ataupun 15 tahun saya mula mendekati parti politik dan ketika ini sudah menjadi jawatankusa pemuda. Waktu itu saya pun terlibat sama dalam program ceramah (ketawa).

Saya ada asas bagaimana untuk bersyarah dan menjadi pemidato terbaik sebab pada masa belajar di sekolah agama dulu ada subjek syarahan. Jadi saya cuba praktikan ketika menjadi pimpinan muda. Bahkan masa menuntut di Nilam Puri pun setiap tahun ada pertandingan syarahan.

Tahun 1976, masuk UTM dan saya jadi pensyarah di situ. Dan waktu ini juga saya aktif berceramah dan pernah di anugerahkan Pendakwah Terbaik Wilayah Persekutuan pada 1986.

Selepas mendapat gelaran pendakwah terbaik, ada lagikah anugerah itu? (Ketawa) Terus tak ada. Sayalah yang pertama dan terakhir mendapat anugerah itu, sebab selepas itu kerajaan terus 'gam' program-program dakwah termasuklah saya baik di luar ataupun dalam program TV.

Sekarang buat bisnes apa?
Adalah sikit-sikit, kedai runcit, lagipun saya dah tak larat. Kalau ada pun saya cuma suntik modal bagi mereka yang berminat dengan perniagaan. Kini pula saya dilantik menjadi pengerusi Usahawan Melayu Bandar Tun Razak.

Bagaimana pula rumah tangga ustaz?
Mula membina rumah tangga ketika usia 32 tahun. Almaklumlah orang miskin sebab itulah tak dapat kahwin awal (ketawa). Selepas balik dari Mesir sudah ada peminat, ye lah ... ustaz. Jadi mak saya aturkan jodoh saya dengan Maya Sulaiman (isteri pertama, 47 tahun) kemudian saya dipertemukan jodoh lagi dengan Aziah Mohd Saad (isteri kedua, 45 tahun).

Saya ada dua isteri hasilnya kami mendapat 13 cahaya mata, lapan lelaki lima perempuan. Tetapi baru dapat satu cucu (ketawa). Masing-masing nak belajar, dan ada juga anak lelaki belajar dipondok. Saya bersyukur kedua-dua isteri memahami situasi saya dan kerja-kerja saya dan kami hidup aman damai.

Mesti ustaz ada tips macam mana boleh wujud aman damai?
Eh, tak ... tak, yang penting kita kena jujur dan saya gunakan budi bicara dalam menjaga keharmonian rumah tangga. Tak ada pula persatuan poligami Malaysia, kalau ada saya nak masuk. Sebab apa, kita nak betulkan persepsi sesetengah pihak yang menentang amalan poligami.

Pengalaman indah dan pahit yang sukar dilupakan?
Pengalaman paling gembira sekali ialah saya boleh kumpulkan dua isteri, walaupun saya ada rumah, dan kereta, tetapi apabila dapat kumpulkan dua insan yang pada sesetengah pihak agak sukar mengatasi cabaran ini tetapi saya berjaya. Itulah saat paling bahagia.

Bagaimana ustaz membahagikan masa untuk kedua-dua isteri?
Dalam hidup, undang-undang nombor dua, yang pertama ialah budi bicara. Jelaskan kepada mereka kerja kita, dan mereka faham kita.

Bersyukurlah ustaz dapat kedua-dua isteri yang faham kerja-kerja ustaz. Ya, tapi kita kenalah bentuk mereka supaya faham dengan kerja kita. Mesti ada tolak ansur.

Yang paling pahit?
Ketika diwar-warkan akan masuk ISA (ketawa).

Ustaz ni sebenarnya garangkah?
Tak. Saya bukan garang. Dua-dua orang isteri saya tu tak pernah saya jentik. Tapi semasa jadi pensyarah saya garang dan tegas. Sebab apa, kita nak bentukkan pelajar mempunyai sahsiah yang baik. Saya bukan garang tetapi tegas. Kalau orang tak kenal saya mereka akan kata saya garang.

Macam mana didik anak?
Yang paling penting saya tekankan soal solat. Baik anak bujang ataupun dah berumah tangga. Saya akan tegur, dah sembahyang? Insya-Allah anak-anak saya macam kawan-kawan saya boleh tolong saya. - mr