Harakahdaily Fri | Mar 27, 09 | 12:36:37 pm MYT
Sebagai kerajaan baru, tumpuan rakyat bukan sahaja kepada polisi-polisi dan program baru yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor, malah janji-janji yang termaktub dalam manifesto pilihan raya lalu. Sejauh mana kejayaan Pakatan Rakyat Selangor dalam menunaikan janji mewujudkan sebuah negeri berkebajikan? Wartawan SAIDAH HAIRAN bersama ATRIZA UMAR menemubual Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Invosi, RODZIAH ISMAIL di pejabatnya, di Bangunan SUK, Shah Alam.
Genap setahun pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, apakah perubahan yang sempat dilakukan oleh kerajaan negeri khususnya portfolio puan?
Pertama kali saya ambil alih, saya turun padang melihat situasi pejabat Kebajikan Masyarakat. Sebab saya mahu pejabat itu selesa untuk pekerja dan orang ramai yang datang untuk meminta bantuan.
Alhamdulillah banyak pejabat yang mempunyai pembaharuan. Kalau dahulu terpaksa berkongsi komputer kini keadaannya bertambah baik.
Kedua kita buat pembaharuan program yang ada dalam potfolia kebajikan dan saya nampak beberapa program yang boleh diperbaiki.
Pertama kita tengok tanda aras kemiskinan itu tidak sesuai. Sebab di Selangor jika kita tetapkan aras kemiskinan di bawah RM400 (pendapatan bulanan isi rumah), hanya 0.1 peratus sahaja rakyat negeri ini berada di bawah paras itu. Hakikatnya masih ramai yang miskin.
Jadi kita tetapkan paras kemiskinan baru iaitu RM1500 ke bawah. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meletakkan paras kemiskinan kepada RM720 ke bawah. Ada jurang di situ.
Saya tengok Orang Kurang Upaya (OKU) kurang diambil perhatian. Kita telah mula dengan dialog. Kita telah buat sekretariat untuk menguruskan OKU. Alhamdulillah tidak lama lagi kita komited untuk menjadikan negeri Selangor negeri yang bertanggungjawab kepada OKU daripada sudut sosialnya.
Mereka berhak menikmati semua kemudahan yang ada di Selangor apabila keluar rumah. Jika mereka hendak solat di masjid perlu ada kemudahan pergi ke masjid. Begitu juga ke taman permainan. Jika mereka mahu naik kereta mesti ada kenderaan yang boleh membantu mereka.
Hak mereka perlu diiktiraf. Kita mahu OKU ini tidak dilihat sebagai insan yang menyedihkan. Kita mahu lihat OKU ini satu insan yang berpotensi, boleh berdikari. Jadi kita hendak letakkan OKU ini di tempatnya, ada cita rasa atau kemahuan beribadat dan bergaul dengan masyarakat.
Kedua kita mahu potensi untuk mereka dibangunkan. Contohnya hak untuk berniaga. Kita hendak mesti ada kuota untuk mereka berniaga.
Kita juga bercadang menyemak semula polisi kerajaan lalu yang hanya memberikan elaun kepada OKU yang bekerja. Sekarang OKU yang terlantar telah pun mendapat elaun RM300 sebulan. Walaupun perkara ini diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan, tetapi bagi kita ini satu kejayaan hasil daripada cadangan kita. OKU yang tidak terlantar patut mendapat elaun RM100 sebulan. Paling membanggakan saya dalam bulan Jun nanti diwujudkan Jabatan OKU.
Bagaimana peluang pekerjaan untuk OKU?
Ada polisi mengatakan minimum satu peratus tawaran pekerjaan mesti diberikan kepada OKU. JKM telah pun mulakan perkara ini. Dalam perbincangan dengan mereka yang terlibat saya mengatakan, ada pekerjaan yang mereka tidak boleh buat sebagaimana orang biasa.
Saya mengambil contoh bagi operator tiket tol, OKU boleh buat. Kenapa kita meletakkan insan yang produktif di plaza tol? Walapun peluang pekerjaan satu peratus tetapi kita mahu ada tempat-tempat yang lebih satu peratus contohnya di plaza tol dan kaunter-kaunter pembayaran.
Sekarang kita menambah pendaftaran dan kita tidak mahu ada OKU yang tertinggal. Untuk kerajaan negeri Selangor kita telah memberi khairat kematian kepada OKU sebagaimana yang diberikan kepada warga emas. Skim itu tidak kira umur. Apabila telah didaftarkan di bawah JKM maka mereka berhak untuk mendapat skim tersebut.
Masyarakat orang Asli di Selangor masih ramai yang ketinggalan terutama dalam bidang pendidikan. Adakah kebajikan mereka diambil kira?
Semasa saya bersama dengan Menteri Besar di Bukit Lanjan, saya berasa sedih sebab walaupun kita ada Jabatan Orang Asli (JOA) tetapi mereka (masyarakat Orang Asli) masih lagi ketinggalan di bidang pendidikan dan kebajikan. Sebenarnya hak mereka itu sama dengan hak kita. Malangnya perkara itu tidak berlaku.
Menteri Besar menyatakan kepada saya untuk merangka satu program Memasyarakatkan Ekonomi Selangor (MES) untuk Orang Asli terutama pendidikan anak-anak. Menteri Besar mengumumkan bahawa mana-mana anak Orang Asli yang tidak dapat biasiswa kita akan bagi untuk memudahkan mereka masuk ke universiti.
Macam 10 orang anak Orang Asli yang dapat tawaran masuk universiti tetapi tidak dapat pergi kerana tiada perbelanjaan awal.
Sebenarnya keupayaan anak Orang Asli untuk masuk universiti memang ada tetapi kita meletakkan mereka di bawah. Sepatutnya perkara itu tidak berlaku.
InsyaAllah saya dengan YB Elizabeth Wong yang begitu komited dengan masalah Orang Asli akan menjadikan program dalam MES turut dinikmati masyarakat Orang Asli.
Contohnya kita hendak buat program tiusyen rakyat. Menteri Besar putuskan kena ada satu dana tambahan khusus untuk orang Asli. Tidak kira 100 atau 200 tetapi tengok pada keperluan mereka.
Jika mereka perlu 50 orang kita tambah 50 orang di Dun tertentu kerana ada Dun tidak ada Orang Asli. Kita hendak beri kemudahan dan kebajikan kepada Orang Asli.
Bagaimana dengan projek Laman Dapur?
Laman Dapur sebenarnya cetusan idea isteri Menteri Besar, Puan Sri Salbiah Tunut. Apabila Bekawanis (Badan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Selangor) diwujudkan mesti ada sasaran kita. Puan Sri membawa satu budaya meletakkan asas ilmu kemudian program dan akhirnya kita membangunkan wanita dan ibu tunggal.
Kita fokus ibu tunggal. Projek Laman Dapur bermula di Ijok dan kita jangkakan sepatutnya pada tahun ini ada lima tempat yang akan dilaksanakan projek itu.
Sebenarnya banyak program wanita yang kita sudah mulakan seperti penanaman cendawan dan jahitan manik. Saya melihat program pembangunan ibu tunggal ini kepada tiga aspek. Pertama, bagaimana hendak membantu mereka menambah pendapatan tidak kira dalam pertanian, pembuatan dan pemakanan. Kita bantu daripada sudut peralatan atau modal awal (mikro kredit).
Kedua kita mementingkan pendidikan anak-anak ibu tunggal. Sebab kita yakin bahawa ibu tunggal mengimpikan masa depan anak-anak mereka. Sebab itu kita bantu anak-anak mereka dengan memberi duit poket RM30 sebulan.
Akhirnya kita fikir bagaimana mahu perlengkapkan ibu tunggal ini daripada sudut hak mereka sendiri.
Contohnya jika mereka dicerai bagaimana tentang nafkah mereka. Ini semua tertakluk kepada pemahaman mereka tentang hak tersebut. Sebenarnya ibu tunggal banyak tertekan dengan gangguan seksual di tempat kerja dan sebagainya.
Satu contoh yang baik, tahun lepas kita dapat melahirkan 50 usahawan. Empat daripada mereka berjaya keluar daripada asnaf (orang yang layak menerima zakat).
Kita juga tengok kejayaan portal pendaftaran ibu tunggal telah meningkat daripada 4000 pada hari pelancaran kepada hampir 16,000 sekarang. Ini bererti mereka sudah berlumba-lumba mendaftar supaya dapat duduk dalam program kerajaan.
Kita telah berbincang dalam Majlis Pemuafakatan Wanita Pakatan Rakyat. Sebenarnya inisiatif wanita negeri Selangor khusus untuk membantu potfolio wanita untuk lebih kehadapan. Sebab kita tahu Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Selangor (di bawah Kerajaan Pusat) tidak langsung memberi kerjasama.
Sebab itu saya wujudkan majlis dan sekretariat sendiri untuk bergerak. Kita telah ada perancangan program dan program paling besar kita akan wujudkan Pusat Komuniti Wanita.
Langkah kerajaan negeri untuk memartabatkan wanita?
Apa yang kerajaan negeri Selangor buat amat bagus. Kerajaan meletakkan wanita yang berkaliber sebagai exco. Kita hendak penglibatan 30 peratus wanita. Kita hendak memperkasakan wanita. Kita mahu wanita yang duduk dalam kerajaan dipandang setaraf dengan orang lelaki. Bukan menuntut hak yang sama tetapi mengambil kira kepentingan wanita.
Macam mana saya hendak letakkan wanita supaya tidak dianggap kelas kedua. Dalam mana-mana program saya mengatakan kepada wanita, mereka mesti tahu hak dalam perundangan dan hak yang telah diiktiraf seluruh dunia. Supaya mereka tahu sudah dilindungi tetapi jika tidak faham mereka akan terkebelakang.
Dalam perbincangan hak-hak wanita di Beijing ada 14 resolusi yang dipersetujui. Malangnya kerajaan BN gagal dan hanya mampu melaksanakan dua resolusi. Sedangkan setiap tiga tahun sekali kita perlu melaporkan sejauh mana kita telah melaksanakan 14 resolusi yang telah dipersetujui bersama.
Sekarang ini Jabatan Pembangunan Wanita gagal untuk memberikan laporan kedua. Fungsi wanita di peringkat Pusat tidak meletakkan wanita sebagai keutamaan.
Kegagalan wanita di peringkat Pusat itu menyebabkan wanita itu sendiri terpinggir. Sebenarnya wanita Melayu masih belum ditahap yang sebaiknya. Kita nampak wanita masyarakat Cina lebih kedepan. Mungkin disebabkan silap faham tentang hak mereka daripada sudut agama.
Bagaimana kerjasama wanita PAS, KeADILan dan DAP di negeri Selangor?
Alhamdulillah kita telah berjumpa, buat persetujuan menggariskan apakah perancangan yang diletakkan bersama yang kita hendak utarakan. Kita telah meletakkan objektif kita. Sebab itu kita wujudkan Majlis Pemuafakatan Wanita Pakatan Rakyat.
Insya-Allah jika tiada apa-apa aral sepatutnya diumumkan pada Hari Wanita. PAS, DAP dan KeADILan komited dengan isu wanita dan sepatutnya tidak dijadikan isu parti secara sendirian. Dalam Parlimen pun isu wanita diperjuangkan bersama. Kita menyambut baik jika wanita BN mahu berkerjasama dengan kita. Kita nampak kesatuan daripada sudut pemikiran bagaimana mahu menangani isu wanita yang sepatutnya ada kebersamaan dalam Majlis Pemuafakatan Wanita Pakatan Rakyat. - tajdid _
Monday, March 30, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment