Muktamar Bukan Pasar Borong :
Surat Terbuka buat Semua
Saya terlebih dahulu mengucapkan selamat bermuktamar atau mesyuarat agong kepada semua ahli PAS di seluruh Negara yang kini sedang menghadapi musim muktamar di peringkat cawangan , kawasan dan dewan – dewan sebelum berlangsungnya muktamar penuh pada akhir bulan Mei kelak .
Semoga muktamar atau mesyuarat agong pada sessi ini berlangsung dalam suasana yang memberangsangkan ke arah membina reputasi parti yang hebat . Penuh dengan analisis dan post mortem yang jujur dan telus serta lontaran idea yang bernas dari perwakilan .
Apa yang lebih penting muktamar atau mesyuarat agong kali ini adalah peluang buat ahli memilih saf kepimpinan yang akan menerajui parti diperingkat masing – masing.
Persediaan Muktamar .
Muktamar merupakan medan buat pemimpin dan anggota parti menilai pencapaian semalam guna merangka strategi di hari esok . Kita diajar oleh Allah swt. sebagai seorang pejuang yang muttaqin pada hari ini agar senantiasa menghubungkan pencapaian semalam dengan langkahan yang akan dimulakan esok.
Firman Allah swt .
يا ايها الذين آمنوا اتقوا الله و لتنظر نفس ما قدمت لغد و اتقوا الله إن الله خبير بما تعملون
Wahai orang – orang yang beriman , bertaqwalah kepada Allah dan lihatlah apa yang telah dilakukan semalam untuk hari esok dan bertaqwalah kepada Allah , sesungguhnya Allah Tuhan yang Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.
Surah al Hasyr. Ayat : 18
Justeru itu , sangat tidak wajar muktamar dibiarkan berlangsung suram dan hambar tanpa perbahasan yang mantap dan bernas hasil lontaran idea yang kritis dan dinamis .
Persediaan muktamar jangan hanya dilihat kepada penyediaan dokumen muktamar seperti minit , bag , name tag dan sebagainya tetapi mesti lebih ditumpukan kepada penyediaan idea yang mengandungi agenda dan objektif , menepati misi dan visi perjuangan kita untuk dilontarkan kepada parti di dalam sidang muktamar.
Saya secara kebetulan sering juga dijemput merasmikan mesyuarat agong PAS cawangan – cawangan malah juga PAS kawasan – kawasan demikian juga dewan – dewan .
Apa yang saya lihat , masih banyak cawangan , kawasan dan dewan yang gagal menepati erti mesyuarat agong atau muktamar yang sebenar . Mereka hanya sekadar membentang dan mengesahkan minit kemudian tergesa – gesa untuk pulang .
Mesyuarat agong itu berlangsung hampir sama dengan mesyuarat bulanan mereka , kecuali yang membezakan antara keduanya hanya pada majlis perasmian di mana mesyuarat agong ada perasmi yang diundang dari saf kepimpinan parti dan pemilihan saf kepimpinan yang baru pasa sessi mesyuarat agong yang ada pemilihan.
Fenomena ini tidak harus dibiarkan kekal tanpa penarafan semula terhadap standard muktamar atau mesyuarat agong tersebut. Sementelah pula kita berada di era globalisasi yang menyajikan pelbagai cabaran dan tentangan.
Mahu atau tidak , muktamar mesti hidup dengan menjana tenaga dan menggarap idea anggota parti agar menghasilkan satu gerakan yang hebat dan berkeupayaan tinggi mendepani segala cabaran dan menyerap segala tekanan.
Muhasabah dan analisa .
Muktamar jua ibarat makmal untuk melakukan bedah siasat terhadap aktiviti dan perjalanan parti secara telus dan jujur . Tidak menyembunyikan fakta apatah lagi menyelewengkannya.
Pemimpin dan anggota pula mesti berdada lapang dan bersikap mendengar pandangan dan cadangan serta teguran dan kritikan membina dari dua hala lalu mengikut apa yang terbaik daripadanya.
Firman Allah swt.
الذين يستمعون القول فيتبعون أحسنة أولئك الذين هداهم الله و أولئك هم أولوا الألباب
Orang – orang yang mendengar perkataan lalu ia mengikut apa yang terbaik , mereka adalah orang – orang yang Allah berikan petunjuk dan mereka adalah orang yang memiliki daya intelektual .
Surah az – Zumar . Ayat : 18
Perwakilan sayugianya jua mempunyai daya menganalisa yang baik terhadap perjalanan parti dan dibahas pula secara matang dan positif .
Amat malang perwakilan yang menghadhiri muktamar tanpa sebarang analisa terhadap perjalanan parti serta tidak pula mengetahui apa yang patut dibahas dan dibincang. Pendek kata , mereka hadhir dengan kepala kosong sekadar memenuhi kouta perwakilan .
Hasilnya , cawangan dan kawasan akan terus statik tanpa sebarang anjakan paradigma yang menepati zuruf dan perkembangan pemikiran masyarakat dewasa kini , malah cawangan dan kawasan tersebut dilihat ketinggalan bahkan usang berbanding zaman yang sedang mereka harungi .
Muktamar bukan Pasar Borong .
Saya ingin tegaskan di sini , bersesuaian pula dengan muktamar kali ini adalah sessi pemilihan saf kepimpinan , agar perwakilan masak dan matang dalam mengambil sikap memilih pemimpin .
Hindarkan pemilihan secara rambang tanpa menilai kemampuan dan kelayakan individu yang dipilih dan terlebih patut dihindari sebarang bentuk lobi – melobi yang negatif .
Neraca pertimbangan para perwakilan dalam memilih pemimpin mestilah sensitif dan peka terhadap keperluan jamaah dan tuntutan ummah jua mengambil kira kredebiliti pemimpin yang dipilih .
Firman Allah swt.
إن خير من استئجرت القوي الأمين
Sesungguhnya , sebaik – baik orang yang engkau berikan tugas adalah orang berkemampuan dan amanah .
Surah al Qasas . Ayat : 26
Memilih secara borong dan tangkap muat adalah trend yang mesti dielakkan dari terus mewarnai sikap kita memilih pemimpin di pelbagai peringkat parti.
Parti mestilah dibentuk dengan segala kemantapan dan kehebatan yang melibatkan struktur organisasi , karisma kepimpinan , kualiti anggota dan nilai aktiviti .
Perbaiki kelemahan Pasakkan Kehebatan .
Saban tahun , kita berhimpun dalam pertemuan tahunan yang disebut sebagai mesyuarat agong atau muktamar untuk mengesan kelemahan dan membina kekuatan .
Kelemahan tidak dikesan untuk kita saling salah menyalah dan tuding menuding antara satu sama lain , tetapi ianya dikesan untuk diatasi dan diperbaiki serta diinsafi agar kelemahan dan kepincangan bukan sahaja tidak dibiarkan tetapi dipastikan agar ianya tidak berulang lagi.
Semua pihak dikalangan kita bertanggungjawab menginsafi perkara ini. Jadikan kelemahan sebagai peluang memperkasa parti dan cermin menilai diri bukan orang lain .
Sebab itulah , saya harap kita tidak memusuhi kelemahan sebaliknya tangani kelemahan tersebut dengan tenang dan berhemah .
Kelemahan tidak menjadikan kita panik dan tergugat apalagi kecewa , sebaliknya tanggapilah ia sebagai peluang kedua untuk kita bangkit menaikkan taraf prestasi kita dalam perjuangan suci ini .
Kelemahan bukan dihukum tetapi dibaiki sementara kehebatan pula bukan dinanti tetapi dicari .
" Kabinet " Pilihanraya
Seperkara yang saya ingin ingatkan di sini , bahawa mesyuarat agong atau muktamar kali ini adalah bagi membentuk kabinet yang bakal menghadapi pilihanraya umum ke 12 .
Nota ini tidak boleh dipandang ringan melainkan skima pemilihan mestilah benar – benar kepada mereka yang layak dan sesuai dengan cabaran sessi yang dihadapi dan mereka pula mampu menjadi pelapis kepimpinan masa depan yang pastinya menjanjikan cabaran yang lebih sengit dan getir.
Lantaran itu , pencalonan dan pemilihan mesti melalui proses pengamatan dan penelitian yang serius . Dalam erti kata lain , kepentingan perjuangan dan parti sebagai platformnya mestilah dijadikan asas rujukan ketika meletak nilai kepada individu yang bakal dipilih sebagai pemimpin .
Rasa simpati , kecenderungan " kroni " , hebat berceramah , pengaruh peribadi dan sebagainya tidak wajar dijadikan sistem nilai dalam memilih pemimpin.
فإذا ضُيِّعَتْ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ قال كَيْفَ إِضَاعَتُهَا قال إذا وُسِّدَ الْأَمْرُ إلى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ
Apabila berlaku penyelewengan amanah , maka tunggulah saat kehancurannya . Lalu sahabat bertanya , bagaimana penyelewengan itu ? Rasulullah saw bersabda : Apabila diserahkan tugas kepada mereka yang tidak layak maka tunggulah saat binasanya .
Riwayat Imam Bukhari di dalam sohihnya
Jilid 1 / Muka surat 33 . Kitabul ilmi .
Kewajipan Memilih Pemimpin .
Kewajipan kita memilih pemimpin yang layak dan mampu bekerja atau berjuang dengan " tangan " bukan hanya bekerja dan berjuang dengan " mulut " .
Kewajipan kita memilih memimpin yang membawa ideologi perjuangan Islam tulen , bukan mereka yang membawa agenda peribadi , apalagi membawa ideologi yang asing daripada perjuangan Islam .
Kewajipan kita memilih pemimpin yang jelas aqidah ahli sunnah wal jamaah , bukan mereka yang menganut fahaman sekular , syiah atau apa jua fahaman yang menyeleweng dari ahli sunnah wal jamaah .
Kewajipan kita memilih pemimpin yang muttaqin dan faham objektif serta matlamat perjuangan suci ini. Bukan hanya dilihat melalui karisma politiknya tetapi juga wibawanya sebagai seorang mujahid yang berjuang untuk menegakkan Islam secara syumul.
Kewajipan kita memilih pemimpin yang mengambil skima pentarbiyyah parti sebagai sebuah gerakan Islam dan memiliki syaksiyyah qiadiyyah yang soleh .
Kewajipan kita memilih pemimpin yang mempunyai semangat waja dan tenaga gigih untuk berjuang mendepani cabaran luaran mahupun dalaman sehingga Islam dapat dijulang dengan jayanya.
Surat terbuka ini .....
Akhirnya saya tujukan surat terbuka ini buat semua pemimpin dan anggota parti dipelbagai peringkat sebagai peringatan termasuk diri saya yang amat dhaif ini. Semoga muktamar kita melahirkan satu lonjakan dan rangsangan berjuang yang kian hebat dari semalam .
Mencetus gelombang kebangkitan dalaman parti , mengejutkan yang alpa dan membangunkan yang masih lena untuk segera meluru mengambil posisi masing – masing dalam menunai amanah besar perjuangan mulia ini .
Salam perjuangan dari saya
Hj. Nasrudin bin Hj Hassan at Tantawi
Pengerusi Lajnah Tarbiyyah dan Kepimpinan DPP Pusat.
Takbiir !
Saturday, March 24, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment