Thursday, August 10, 2006

SERONOKNYA KERJA BERSENDIRIAN

Oleh Ustaz Omar Mohamed

Bismillah.

Seringkali kita mendengar kenyataan mereka yang mahu bekerja untuk Islam secara bersendirian dan berasingan daripada Gerakan Islam yang telah sedia wujud. Bagi mereka, Islam bukan sekadar menyertai program jemaah atau parti sahaja. Ia begitu luas seluas Islam itu sendiri. Maka, berlakulah dakwah fardiyyah yang tiada kaitan sama sekali dengan Gerakan Islam.

Ditambah lagi dengan tafsiran Islam bukan sekadar tarbiah, politik, pilihanraya, tetapi ekonomi juga ada di dalam Islam, pendidikan, dan lain-lain, maka mereka akan menumpukan kepada kerja Islam yang diminati tersebut tanpa terikat dengan jemaah.

Saya suka untuk bertanya pula, kenapa kita mesti bebas, tanpa ikatan dan ketaatan kepada jemaah atau kepada kepimpinan jemaah yang telah diyakini dalam semua aspek jemaah ini sebagai mewakili perjuangan Rasulullah. Ketika satu pihak bertungkus-lumus menguatkan jemaah dengan pentarbiahan ahli, pengukuhan kepimpinan, penjelasan fikrah, di manakah peranan mereka? Di mana pula keluarga kita untuk ditarbiah dan dilaraskan fikrah mereka bertepatan dengan silibus tarbiah yang telah dirangka.


Nabi saw telah bersabda yang bermaksud: “ Agama itu adalah nasihat, para sahabat pun bertanya, untuk siapa wahai Rasulallah, maka Nabi menjawab, untuk Allah, RasulNya, untuk seluruh pemimpin umat Islam dan umat keseluruhannya.”

Hadis ini mengajar kepada kita konsep nasihat-menasihati antara satu sama lain. Nasihat kerana Allah untuk mendapatkan balasan yang sewajarnya selain daripada memenuhi tuntuan Allah itu sendiri. Nasihat juga perlu dilakukan demi meneruskan perjuangan yang dibawa oleh Rasulullah saw. Jika ditanya apakah yang perlu dinasihati, maka jawapannya adalah cukup mudah, apa sahaja yang dimaksudkan dengan kalimah ad-din, ia termasuk perkara yang perlu dinasihati. Ia melibatkan apa sahaja yang disebut agama, aqidah, syariah, akhlak, jihad, kenegaraan dan sabagainya.

Ia juga bermaksud, kerja nasihat adalah kerja agama. Jika seorang muslim diminta memberi nasihat, maka tidak sewajarnya dia menolak dan tidak memenuhinya. Ia sebahagian daripada kerja agama yang ditinggalkan jika keadaan sebegitu berlaku. Ia bermakna, satu kewajipan agama telah ditinggalkan oleh individu tersebut.

Seterusnya Nabi memberitahu, nasihat juga perlu dihalakan kepada pimpinan dan anggota, pemerintah dan rakyat, ketua dan pengikut. Dalam keadaan negara yang menjalankan fahaman sekularisme, meletakkan nilai agama terperosok ke celah-celah lorong kehinaan, Islam terumbang-ambing, murtad berleluasa, siapakah pimpinan yang perlu dinasihati oleh umat Islam di Malaysia? Apakah pimpinan negara yang tidak langsung dipandang mulia oleh Allah dan Rasul, lantaran kelalaian mereka meneruskan kerja kepimpinan Nabi dan sahabat? Sudah tentu tidak. Adakah cukup sekadar menasihati pimpinan tempat kerja, maka kita telah memenuhi desakan hadis di atas? Sudah tentu tidak.

Nabi dengan jelas menyatakan, mereka yang perlu dinasihati ialah pemimpin muslimin, yang bukan seperti Pak Lah, bukan Khir Toyo, tetapi pemimpin yang betul-betul membawa maksud kalimah imam dan memimpin umat Islam bertepatan dengan ruh nasihat kerana Allah dan Rasul. Bagi kita, mereka adalah pimpina Pas di semua peringkat.

Untuk mengaitkan dengan persoalan awal, saya tegaskan bagaimana mungkin seorang individu muslim yang memahami agama, beriltizam terhadap kerja-kerja agama yang tertentu sahaja, tetapi boleh menjauhkan diri daripada Pas -setelah menerima Pas sebagai galang ganti kepada khilafah yang telah lama lenyap- dan tidak mahu tunduk di bawah kepimpinan jemaah malah bergerak bersendirian tanpa dipimpin oleh jemaah? Jika kita melihat daripada satu aspek yang terlalu kecil ini pun, kita telah melihat dengan jelas, bergerak bersendirian bercanggah dengan tuntutan syara’ kerana jika bersendirian, mustahil anda memiliki pemimpin untuk menasihatinya.

Ia membawa maksud syariat sendiri meminta semua muslimin menggabungkan diri dengan penggabungan yang jelas dan terikat terhadap umat Islam dan kepimpinan mereka, ( baca: Pas ) Oleh itu, tindakan kita yang sekadar mengisi borang keahlian, tetapi kemudiannya bebas menggunakan kebijaksaan sendiri, adalah sangat salah. Itu belum lagi dikira soal ketaatan dan wala’ serta bara’.

Sudah tidak boleh dipertikaikan lagi, jika anda bersendirian, lepas bebas menggunakan akal yang sangat cetek dan terbatas itu untuk menjalankan kerja Islam, bermakna dalam masa yang sama anda telah meninggalkan kewajipan mentaati, menumpahkan rasa patuh dan setia, sayang kepada kepimpinan, benci kepada pemimpin thoghut, dengan makna yang diajar oleh Nabi Muhammad saw.

Itu belum lagi dihitung kewajipan bermesyuarat, bermunaqashah, bertukar pandangan dan seumpanya yang juga merupakan tuntutan Islam. Akhirnya, dengan kelemahan diri yang menguasai diri, ditambah dengan keseorangan tanpa kaitan, individu sebegini hanya merasakan dirinya telah menyempurnakan kewajipan Islam pada kaca matanya yang terbatas, tetapi tidak pada pandangan Allah dan Rasul. Dia akan syok sendiri dengan Islam ciptaannya, tetapi bukan itulah yang dimahukan oleh syariat Islam.

Malah jika dilihat dalam skop perjalanan jemaah itu sendiri, kemahiran mereka tidak boleh ditumpang langsung, kelemahan kita tidak dibaiki mereka, sebaliknya dikritik dari jarak jauh dan anak-anak mereka tidak membesar seperti mana yang ditetapkan oleh manhaj tarbiah jemaah. Akhirnya anak-anak ini tidak akan membesar untuk memimpin jemaah. Jika menjadi seorang yang soleh, maka hanya soleh untuk diri sendiri, yang sebenarnya bukan soleh di sisi Allah.

Kesannya, masalah yang sedia ada akan berterusan, Pas kawasan akan terus lemah, kepimpinan rapuh, ahli lintang-pukang dan fikrah berserabut, tetapi serentak itu, saya percaya mereka senang dengan kerja yang mengumpul wang yang banyak, dan melakukan kerja ( Islam ? ) dengan begitu selesa dan menyeronokkan, setelah tiada kaitan dengan Pas.

Apakah mereka tidak pernah membaca Rasulullah memboikot sahabat yang tidak perihatin terhadap arahannya supaya bersiap awal berperang ke Tabuk, yang akhirnya tertinggal? Mungkinkah situasi itu sama seperti ahli yang suka bersendirian, bebas, tidak mahu tunduk dan patuh, mahu bekerja bersendirian untuk Islam?

Jika pilihan ini diterima oleh Allah dan Rasul, bukan setakat mereka, malah saya yakin ramai yang akan meninggalkan jemaah dan tumpu kepada kerja masing-masing untuk mencari duit. Serta akan sekali-sekala melakukan kerja dakwah yang paling seronok dan menggembirakan, tanpa diganggu oleh pemerintah. Nikmatnya kerja Islam sebegini….Biarkan Pas dengan orang lain, aku berdakwah bersendirian.

No comments: